Wednesday, November 12, 2008

Bahasa Penyejuk Badan

Penggunaan kata panggilan yang sesuai amat penting semasa proses komunikasi interpersonal berlangsung. Kata panggilan perlu bersesuaian dengan status sosial, umur dan persekitaran tempat kita berkomunikasi. Faktor usia dilihat lebih penting untuk dititik beratkan kerana kesilapan memilih kata ganti diri untuk orang yang berlainan usia akan menyebabkan kita dilihat sebagai tidak sopan. Contohnya kata panggilan 'pakcik' tidak sesuai digunakan kepada lelaki berusia yang berkerjaya atau mempunyai status sosial yang tinggi dalam masyarakat. Bagi golongan ini lebih sesuai dipanggil 'encik'. Kesukaran sering berlaku bagi memanggil wanita yang berusia. Kerana terdapat banyak kata panggilan untuk wanita yang hanya dibezakan oleh status peribadinya, seperti berkahwin, bujang atau janda, atau wanita berkerjaya, pemimpin masyarakat dan sebagainya. Wanita berkerjaya dan berkahwin lebih sesuai dipanggil 'puan'. Jika dia mempunyai gelaran anugerah iktisas seperti berkelulusan Phd. atau doktor perubatan lebih sesuai dipanggil doktor. Bagi wanita yang berusia tetapi masih belum berkahwin, apakah kata panggilan yang sesuai untuk mereka? 'Puan', 'cik' atau apa? Kadang-kadang ada wanita yang sensitif dengan kata panggilan ini. Walaupun mereka belum berkahwin tetapi usianya menjangkau akhir 40-an atau 50-an, mereka lebih selesa dipanggil 'puan'. Tambahan lagi jika mereka berkerjaya. Bagaimana pula dengan janda? Apa kata panggilan yang sesuai untuk mereka? Puan atau cik atau cik puan?

No comments: