Friday, April 6, 2012

Article Review - Konflik Perkauman @ Sengketa Kelas

Artikel tulisan Prof Shamsul Amri Baharuddin yang termuat dalam Dewan Masyarakat keluaran September 1981, membincangkan konflik tafsiran dan persepsi antara masalah perkauman dan kelas.


Sesuai dengan masa ia ditulis iaitu di awal perkembangan ekonomi Malaysia dan perubahan tumpuan masyarakat ketika itu kepada pembangunan ekonomi yang lebih terbuka, bukan lagi membezakan kaum berdasarkan aktiviti ekonominya.


Aktikel ini menjelaskan masalah perkauman di Malaysia yang dicanang oleh penjajah dan pemerintah selepas merdeka adalah satu alat yang digunakan oleh kelompok atasan bagi kepentingan ekonomi mereka. Kelompok atasan semua bangsa perlu mengambil kesempatan daripada label ekonomi berasaskan kaum yang wujud dalam kalangan masyarakat bawahan agar perbezaan tersebut memberi laba kepada mereka.


Hakikatnya masyarakat di Tanah Melayu dan Malaysia terpisah bukan saja dari kaum yang berbeza. Tetapi kelas yang wujud dalam semua kaum utama. Kelas ialah kumpulan yang terbentuk berasaskan ekonomi. Iaitu kelas atasan bagi kumpulan pemodal dan elit pemerintah. Manakala kelas bawahan adalah kumpulan miskin dan terpisah yang membekalkan bahan kepada kumpulan atasan. Kumpulan menengah pula adalah kumpulan yang menghubungkan antara atasan dan bawahan.


Di peringkat atasan, semua kaum amat erat dan bekerjasama atas faktor ekonomi. Kumpulan bawahan tidak diberi peluang untuk bekerjasama. Mereka dipisahkan sejak dari zaman British sehinggalah selepas merdeka. Kumpulan inilah yang melahirkan ekonomi berasaskan kaum. British berjaya pisahkan kumpulan berdasarkan aktiviti ekonomi masing-masing. Keterpisahan inilah yang digunakan oleh kumpulan atasan bagi mengekalkan kuasa ekonomi dan politik mereka. Isu perkauman sentiasa digunakan bagi meraih sokongan kumpulan bawahan, yang merupakan bilangan terbanyak dalam masyarakat.


Apa yang dibincangkan melalui artikel ini adalah berkaitan isu perkauman di awal tahun 80-an. Oleh itu kemungkinan faktor yang dinyatakan itu tidak lagi relevan pada masa sekarang. Setelah pelbagai dasar dan pendekatan dicadangkan serta dilaksanakan dalam tempoh tersebut sehingga kini, masalah perkauman tidak lagi menjadi isu. Walau bagaimanapun, perbezaan kelas yang berasaskan ekonomi seperti yang dibincangkan oleh artikel tersebut dilihat masih berlaku. Cuma isu kesempatan yang digunakan oleh kumpulan atasan seperti ahli politik dan pemerintah menggunakan modal perkauman sebagai alat mengekalkan kuasa politik seperti berulang kembali.


Published with Blogger-droid v2.0.4

No comments: