Monday, April 30, 2012

Subjek Kenegaraan

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia mewajibkan kepada pelajarnya mengambil subjek bersifat kenegaraan dengan hasrat topik-topik yang dipelajari oleh pelajar akan meniupkan semangat patriotisme dan cinta negara lebih tinggi. Jika di peringkat sekolah menengah rendah dan atas para pelajar didedahkan dengan subjek Sejarah yang menghuraikan topik kenegaraan dan sejarah negara, juga berhasrat memupuk semangat cinta negara dengan kefahaman yang jelas. Di peringkat IPT pelajar sekali lagi disogok dengan topik kenegaraan.

IPT swasta juga tidak terkecuali dari menawarkan subjek kenegaraan ini kepada pelajarnya. Subjek ini menjadi salah satu keperluan bagi pelajar untuk melengkapkan kursus di peringkat ijazah pertama. Ia bukan saja wajib diikuti malah subjek ini merupakan subjek wajib lulus. Antara subjek kenegaraan yang ditawarkan di IPT adalah Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan di beberapa IPTS terdapat juga subjek seperti Perlembagaan Malaysia (Malaysian Constitution).

Semua subjek-subjek ini jika dilihat dari segi topik-topiknya hampir sama. iaitu menjelaskan kepada pelajar berkaitan sejarah negara bermula dari zaman sebelum penjajahan, menuntut kemerdekaan, penubuhan Malaysia, keadaan ekonomi, politik, sosial di Malaysia dan semua perkara yang berkaitan dengan Malaysia. Cuma tumpuannya berbeza berdasarkan fokus subjek tersebut.

Persoalannya, berjayakan subjek-subjek kenegaraan ini mencapai objektif penawarannya. Objektif utamanya untuk memupuk, mendidik, dan menggalakkan pelajar menyayangi negaranya serta wujud semangat partiotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar yang mengikutinya. Semangat patriotisme ini diharap mampu dicapai setelah para pelajar memahami dengan jelas setiap topik yang dibincangkan melalui subjek ini. Hal ini amat berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berlangsung di IPT tersebut. Sejauh mana pencapaian pelajarnya terhadap subjek ini boleh diukur kepada sejauh mana pencapaian proses P&P berlangsung.

No comments: