Tuesday, July 8, 2014

Bayar dan Terima Zakat

      Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, antara perkataan yang paling popular adalah zakat. Setiap hari di media massa sering menonjolkan peri pentingnya setiap Muslim yang berkemampuan itu berzakat. Tambahan pula zakat fitrah adalah satu perkara yang wajib ditunaikan oleh umat Islam pada bulan Ramadhan ini. Manakala zakat yang lain boleh dilakukan sepanjang tahun pada bila-bila masa. Namun persoalannya sejauhmana pengetahuan tentang zakat itu mampu dipupuk dengan pelbagai kempen dan iklan di media massa?
      



      Zakat dari sudut perkataannya bermakna suci, bersih, subur dan berkat. Ini bermakna proses berzakat adalah satu proses untuk mensucikan harta dan pendapatan yang kita perolehi. Sesuai dengan prinsip keindahan Islam yang sentiasa mementingkan semua orang termasuk dalam aspek rezeki yang kita perolehi perlu dikongsi bersama dengan semua masyarakat yang memerlukannya. Islam memeberi kredit yang besar terhadap umatnya yang sentiasa berkongsi suka duka dengan semua orang. Atau dengan kata lain sentiasa prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling.

        Memberi zakat atau berzakat adalah rukun Islam yang keempat. Sebagai rukun ia adalah wajib bagi setiap umat Islam. Tarafnya sama penting dengan rukun Islam yang lain seperti Solat,Puasa dan menunaikan Haji di Makkah. Kepentingan berzakat ini telah banyak kali didedahkan oleh pelbagai agensi berwajib dan para ustaz di sekolah. Ditambah pula kini dengan perkembangan teknologi komunikasi, kempen dan kesedaran tentang berzakat telah meningkat dengan baik.

        Kesedaran tentang kepentingan berzakat rasanya tidak menjadi masalah besar dalam masyarakat kini. Dengan pelbagai kemudahan teknologi terkini, semua orang mampu berzakat hanya dengan menekan butang telefon bimbit sahaja. Semua kemudahan telah sampai ke hujung jari masing-masing. Bukan itu sahaja, kaunter pembayaran zakat juga berlambak-lambak di merata tempat telah dibuka oleh pelbagai agensi yang berkaitan. Segala kemudahan ini tidak mungkin akan menjadi penghalang kepada pembayar zakat untuk menunaikan kewajiban berzakat.

        Bagaimana pula dengan penerima zakat? Adakah kemudahan berteknologi kepada penerima zakat untuk memperolehi wang yang telah dizakatkan oleh pembayar zakat tadi? Perkara ini yang menjadi persoalan. Kita rancak menghebahkan pelabagai kempen menggunakan pelbagai media massa yang hebat tentang peri pentingnya berzakat. Namun bagaimana pula kempen tentang penerima zakat? Adakah urusan mereka dipermudahkan?

       Isu penerima zakat telah berlarutan sejak lama dahulu lagi. Sehingga ada segelintir masyarakat sudah hilang kepercayaan terhadap institusi yang menguruskan proses berzakat. Walau bagaimanapun kita tidak boleh sewenangnya menyalahkan segelintir  masyarakat ini. Kerana proses penerimaan wang zakat sebelum ini dilihat tidak 'mesra pengguna'.

       Sesuai dengan perkembangan teknologi kini, pihak berkaitan perlu memanfaatkannya agar memudahkan proses permohonan wang zakat bagi golongan yang layak memohon. Teknologi canggih ini sepatutnya bukan sahaja digunakan untuk memudahkan proses pemungutan zakat malah perlu juga memudahkan proses permohonan wang zakat tersebut. Jika kita mampu dan berusaha bertungkus-lumus untuk memungut zakat maka sebaiknya kita juga perlu bertungkus-lumus mengagihkan wang zakat kepada yang layak menerimanya.

       Walau bagaimanapun, tahniah diucapkan kepada agensi berkaitan zakat dengan pelbagai inovasi terbaru yang diperkenalkan bagi memudahkan pembayar zakat. Begitu juga kempen yang efektif di semua saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Hasilnya kesedaran yang tinggi daripada masyarakat tentang pentingnya berzakat.

No comments: