Tuesday, December 8, 2009

Perlukah Pelajar diMotivasi? (2)


Pelajar adalah manusia yang belajar. Kelompok ini terdiri daripada golongan yang terpilih yang belajar secara formal di satu-satu institusi pembelajaran. Mereka akan memilih satu bidang khusus yang relevan dan sesuai dengan kehendak hati mereka. Atau memilih bidang yang menjadi kehendak hati ibubapa mereka. Atau bidang yang menjadi kehendak hati pasaran pekerjaan sekarang. Atau persekitaran kehidupan mereka yang memaksa mereka memilih satu-satu bidang tersebut.


Motivasi pelajar pasti berbeza berdasarkan apa matlamat pembelajaran mereka sebenarnya. Ada pelajar berharap setelah tamat belajar akan dapat menjawat satu jawatan yang hebat dan mampu membalas kembali jasa ibubapa mereka. Pelajar ini kemungkinan besar akan bersemangat untuk menghabiskan pengajian. Atau ada pelajar yang sekadar memenuhi masa lapang dari duduk saja di rumah dan datang ke tempat pembelajaran hanya untuk suka-suka. Untuk bersosial sahaja. Walau bagaimanapun kelompok ini mungkin sedikit. Saya pasti pelajar kini tidak kira dari latar keluarga senang , sederhana atau susah kebanyakannya belajar dengan satu matlamat yang jelas.


Tetapi kenapa pelajar masih perlu dimotivasikan?


Terdapat banyak halangan dan gangguan yang mengganggu pelajar di sepanjang perjalanan menuju ke puncak kejayaan. Terlalu banyak sehingga ada pelajar yang tewas dan tidak mampu untuk berdiri kembali. Jika kuat mereka mampu menangkis dan cuba bertatih, berjalan dan berlari kembali.


Kawan, persekitaran, suasana, masa, keluarga, pensyarah, universiti adalah antara punca yang menjadi tembok dan halangan yang akan menggangu pelajar. Bagaimana?


bersambung...

Monday, December 7, 2009

Perlukah Pelajar Dimotivasi?

Jumaat lepas (4/12/2009) saya terlibat sebagai trainer untuk program PEEP. Satu program untuk memotivasikan pelajar. Program ini pada asasnya disediakan untuk pelajar yang bermasalah dengan keputusan peperiksaan. Target peserta adalah dari kalangan pelajar yang dibawah pemerhatian atau mempunyai CGPA di bawah paras bahaya (1.0 ke bawah).

Walau bagaimanapun jumaat lepas peserta yang datang bukanlah dari kalangan pelajar yang bermasalah. Tetapi pelajar tahun asas yang terdiri daripada pelajar cemerlang. Cuma 2-5 orang sahaja pelajar yang bermasalah.

Program ini adalah program sukarela. Pesertanya cuma dicadangkan supaya menghadirinya. Tiada kesan sampingan berupa denda dan sebagainya jika tidak hadir. Ia adalah inisiatif pelajar sendiri sama ada mahu hadir atau sebaliknya. Oleh itu apabila perserta yang datang itu dengan jumlah yang kecil saya tertanya-tanya apakah pelajr memerlukan motivasi sebenarnya?

Perlukah pelajar dimotivasi? Adakah pelajar kita kurang bermotivasi? Kenapa result peperiksaan pelajar merosot? Apa masalah sebenarnya? Apa? Kenapa? Bagaimana? Dan... Macam-macam soalan lagi berkeliaran...

bersambung...?

Tajuk 1 (MASB113): Sejarah dan Politik

satu

Tajuk ini akan membincangkan perkara yang berkaitan dengan sistem pentadbiran yang pernah dugunapakai oleh pentadbir di Kepulauan Melayu (Nusantara). Bermula dengan zaman kerajaan pertama yang maju dan berjaya di Kepulauan Melayu seperti Kerajaan Srivijaya, kemudian diikuti dengan Kerajaan Majapahit dan diteruskan dengan Kerajaan Melayu Melaka, seterusnya Kerajaan Islam Acheh. Walau bagaimanapun kursus ini hanya akan memberi fokus yang lebih kepada Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan lain hanya akan disentuh secara sepintas lalu sahaja.

Bagi pelajar, untuk memberi kefahaman yang lebih tentang skop pembelajaran ini adalah lebih baik meneliti susur galur sejarah ini dari awal. Ini akan memberi kefahaman yang lebih jelas dan teratur. Kerana setiap satu perkara yang berlaku itu mempunyai kaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh pengasas Kerajaan Melayu Melaka, Parameswara adalah berasal dari keturunan Kerajaan Srivijaya- yang meneruskan sistem kerajaan Melaka menggunakan sistem yang hampir sama dengan Kerajaan Srivijaya.

Tajuk ini mempunyai frame masa yang agak panjang, iaitu dari tahun 1400-an - 1900-an. Tetapi tidak semua perkara yang berlaku dan dicatatkan dalam tempoh tersebut akan disentuh. Kursus ini hanya akan zoom kepada bentuk pentadbiran yang digunapakai sahaja. Serta beberapa perkara penting yang relevan dengan topik sejarah dan politik.