Beberapa tahun dulu semasa bertugas di Universiti Malaya (UM), universiti ini pernah tercatat sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia berdasarkan QS World University Rankings. Selepas itu kedudukan UM dalam ranking universiti dunia terus menjunam.
Pada tahun 2010 UM termasuk dalam kedudukan 207 dalam ranking tersebut. Namun pada 2011 UM kembali kepada kedudukan 167 terbaik dunia. Dan merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang tercatat dalam kedudukan 200 terbaik. UKM (279), USM (335), UPM (358), UTM (401-450), UIA (451-500), UiTM (601+).
Ranking ini dinilai berdasarkan sumbangan setaip ahli universiti (akademik, pelajar dan kakitangan pentadbiran) kepada pembangunan pengajaran dan penyelidikan universiti. Mungkin bagi sesetengah pihak kedudukan dalam ranking ini tidak memberi makna apa-apa kepada sesebuah universiti. Atau ada juga yang prejudis berkaitan ranking ini dengan mengatakan nilai seseorang graduan bukan semata-mata diukur dari kedudukan ranking universiti yang menganugerahkan. Memang, nilai graduan biasanya diukur dari aspek kemahiran dan kebijaksanaan graduan tersebut menterjemahkan ilmu yang dipelajari ke alam pekerjaan/ kerjaya. Namun graduan dari universiti ternama biasanya akan berbeza cara pembawaannya berbanding yang lain.
Harapan, kejayaan UM ini bukan sahaja dilihat sebagai satu isu yang perlu dipolemikkan. Kejayaan ini seharusnya dilihat secara positif. Sebagai salah satu cara kita menilai mutu pendidikan tinggi di Malaysia. Bagi IPT lain jadikan kejayaan UM ini sebagai satu kayu ukur yang menjadi target peningkatan mutu pendidikan tinggi di negara kita. Peluang ini bukan sahaja untuk IPT milik kerajaan sepenuhnya, malah IPTS juga seharusnya berusaha untuk menempatkan diri antara institusi pendidikan tinggi terbaik di dunia.