Thursday, December 13, 2012
Nota Pengajian Malaysia
Terima kasih kepada kumpulan pelajar MASB113 section 1.
Monday, December 3, 2012
nota MSTD113 (Diploma)
Untuk pelajar MSTD113 sila klik pada link di atas untuk download nota.
Monday, October 29, 2012
Nota 1-3 MASB113
Klik pada link di atas untuk download nota.
Sunday, October 28, 2012
RAYA YANG AKU RASA
Waktu cuti dimanfaatkan dengan ziarah menziarahi keluarga dan taulan. Sama ada yang jauh, dekat serta saudara terdekat atau bau bau bacang. Rakan sekerja, sahabat lama, teman sejiran, atau kenalan sepermainan. Semuanya dikunjungi dan dirai.
Banyak perkara boleh dipelajari daripada cuti ini. Hubungan kekeluargaan, semangat kejiranan, dan keutamaan sebenar di musim perayaan.
Ramai orang menggunakan tempoh perayaan ini untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga yang telah lama berjauhan. Namun tidak kurang juga berlaku kerenggangan hubungan tersebut di musim perayaan. Sikap tidak mudah memafkan orang lain, ego, dendam, kecil hati, ambil hati, sensitif, bangga diri antara sikap yang menyumbang kepada renggangnya hubungan kekeluargaan. Masing-masing menggunakan hari raya sebagai medan untuk menjadikan diri sebagai orang yang 'paling' dalam keluarga. Iaitu paling hebat, paling bergaya, paling berada, paling pemurah dan berbagai paling lagi sehingga menampakkan dirinya seperti sombong dan riak.
Begitu juga semangat kejiranan yang semakin kurang dibajai. Tumpuan yang lebih kepada anak-anak dan keluarga sehingga lupa semangat kejiranan.
Sebenarnya budaya mengagungkan materialistik ini telah membunuh keindahan sambutan hari raya yang murni. Ramai orang menggunakan tempoh perayaan ini sebagai medan mempamerkan keberadaan masing-masing sehingga lupa semangat dan kesucian hari raya yang sebenar.
Hendaknya kita sentiasa menggunakan peluang ini untuk mengeratkan lagi kasih sayang antara kita. Kasih sayang anak dan ibubapa, kasih sayang adik-beradik, saudara mara, sahabat handai serta jiran tetangga.
Tidak salah jika kita berkereta baru. Jika kita berpakaian mahal. Jika kita berlagak seperti jutawan yang pulang dari kota. Tetapi pastikan kemewahan kita itu adalah selari dengan kemampuan sebenar kita. Jangan hanya kerana sambutan hari raya kita menimbulkan masalah lain selepas hari raya. Berayalah semampu yang kita ada. Berlagaklah seupaya yang kita mampu. Walau apapun kita, jangan sambutan ini menjadi medan wujudnya pelbagai rasa negatif dalam kalangan ahli keluarga.
Tuesday, October 2, 2012
Friday, September 7, 2012
Patriotisme Melalui Subjek Sejarah
Semalam Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu jawatan kuasa bagi membincangkan silibus / kurikulum baru bagi subjek Sejarah di sekolah. Penubuhan jawatan kuasa ini antara lain bermatlamat menerapkan unsur patriotisme dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah melalui subjek Sejarah.
Sebelum ini subjek Sejarah telahpun dinaiktarafkan sebagai salah satu subjek wajib dipelajari di peringkat SPM. Oleh itu apabila kementerian memilih subjek ini sebagai medium penerapan eleman penting patriotisme kepada golongan pelajar adalah sesuatu yang wajar.
Mengapa perlunya usaha yang tegas dan menyeluruh untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar? Adakah pelajar kini sudah luntur patriotismenya? Jika ya, mengapa?
Persoalan yang timbul seolah silibus sejarah sebelum ini masih tidak mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar kita. Bukan saja subjek sejarah yang membincangkan pentingnya nilai baik terhadap negara, agama dan bangsa. Malah hampir semua subjek yang ditawarkan di sekolah mempunyai hasrat / objektif kursus untuk mewujudkan pelajar yang cintakan negara dan keamanan.
Di mana silapnya apabila kita terpaksa merenung kembali kurikulum pelajaran kita? Adakah kurikulum yang tidak sesuai atau proses P&P yang tidak berkesan?
Jawatan kuasa yang bertanggungjawab perlu melihat semua persoalan ini sebagai keutamaan utama. Harapan dari semua pihak agar semakan ini membuahkan hasil yang positif tanpa dipengaruhi oleh eleman lain yang mendukacitakan.
Pentingnya nilai patriotisme ini bukan sahaja perlu diterap melalui kurikulum subjek sejarah malah boleh juga dilihat melalui subjek lain seperti bahasa Malaysia, Pendidikan Islam / Moral dan sebagainya.
Moga objektif murni yang digariskan oleh kementerian akan terlaksana sebaiknya.
Sunday, August 26, 2012
Saturday, August 4, 2012
Pelajar IPT dan Aktiviti Ko-kurikulum
Suatu masa dulu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan agen kepada masyarakat. Iaitu perantara masalah masyarakat dengan pihak berkuasa. Mereka adalah juara yang menyelesaikan isu isu yang dihadapi oleh orang ramai.
Mengapa begitu?
Pelajar di zaman itu terdedah dengan perkara diluar kampus, kerana aktiviti pembelajaran di dalam kampus adalah terhad dan mengambil masa yang panjang. Setiap semester pengajian berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk beraktiviti. Selain daripada itu terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi keterlibatan pelajar dalam aktiviti seperti ini.
Namun tempoh masa yang agak padat dan terhad bagi pelajar kini bukanlah alasan untuk mereka terkecuali dari aktiviti diluar kelas.
Ramai ahli akademik telah mengulas berkaitan kepentingan aktiviti pelajar di luar kelas yang boleh mempengaruhi kecemerlangan pelajar di dalam kelas.
Penglibatan aktiviti di luar bilik darjah yang bermanfaat mampu mencorak masa depan dan kehidupan pelajar selepas tempoh embelajaran di kampus.
Di setiap IPT termasuk UNITEN telah menyediakan pelbagai kemudahan dan galakan kepada pelajar untuk aktif dalam aktiviti ko kurikulum.
Sejak dari peringkat TahunAsas lagi pelajar UNITEN didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang bermatlamat membentuk pelajar yang hebat di dalam dan luar kelas.
Mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah cemerlang bersama masyarakat.
Antara aktiviti ko kurikulum yang diwajibkan di peringkat Tahun Asas adalah melalui subjek Kor UNITEN. Iaitu subjek yang menggabungkan teori dan aktiviti berbentuk fizikal secara bersama.
Di peringkat kolej pula, CFGS UNITEN pada setiap semester merancang aktiviti ko kurikulum berbentuk persatuan, kelab dan melalui subjek. Ini penting bagi membentuk sahsiah yang lengkap sebelum mereka memasuki pengajian peringkat degree.
Umumnya keperluan aktiviti ko kurikulum di peringkat IPT amat penting kepada pembangunan pelajar. Proses pembelajaran secara lengkap dan menyeluruh hanya boleh dicapai melalui gabungan aktiviti kurikulum dan ko kurikulum.
Pada peringkat ini pelajar perlu diterapkan dengan aktiviti yang seimbang bagi persediaan menghadapi masyarakat di akhir pengajian nanti. Sistem pendidikan kita yang menekankan kepada peperiksaan akademik bermula dari sekolah rendah hingga ke IPT hanya berjaya melahirkan pelajar bijak di dalam kelas tapi sepi dan malu bila berada dalam masyarakat.
Penambahbaikan dalam sistem pendidikan kini diharap mampu mengubah keadaan tersebut.
Petikan berita: Akaun facebook
Berita Harian: Facebook banyak akaun meragukan
Tuesday, July 31, 2012
Phd.
Pass habis darjah? Tahap tertinggi dalam tingkat akademik. Matlamat terakhir bagi semua yang cintakan pendidikan. Tapi untuk mencapainya tidak semudah yang dijangka.
Phd. adalah proses pembelajaran ke tahap yang tertinggi bagi satu satu bidang pengkhususan. Kepakaran ini hanya perlu diterokai sepenuhnya melalui proses penyelidikan yang menyeluruh.
Proses ini memerlukan tahap disiplin yang hebat. Disiplin terhadap masa, jadual kerja, ilmu yang ditekuni serta masyarakat sekeliling. Keharmonian proses ini akan memungkinkan kejayaan mencapai matlamat terakhirnya.
Perjalanan ke arah itu tidak mudah dijangka. Tidak mudah diteroka dan amat susah dikuasai. Pengorbanan pada tahap yang maksimum dari semua perkara perlu ditangani sebaiknya.
Ilmu pengkhususan itu hanya laluan yang perlu dilalui. Prosesnya adalah usaha dalam pelbagai cara. Keperitannya adalah asam garam yang perlu ditempuhi.
Akhirnya tidak semua berjaya ke garisan terakhir. Walaupun proses ini bukanlah satu perlumbaan antara satu sama lain tetapi jika tewas sebelum ke garisan terakhir ia adalah satu kerugian yang besar.
Di mana tahap aku sekarang? Di awal garisan, pertengahan atau entah di mana mana. . .
*gambar di atas sekadar meminjam jubah phd. untuk suntikan semangat!!!
Menanti
Sepatutnya temujanji ini berlaku pada jam 10 pagi. Oleh itu aku perlu tiba di sini sebelum waktu itu. Tapi sekarang aku tiba jam 10.45 pagi. Terlebih 45 minit dari yang dijanji. Kebiasaannya jika terlewat akan ada sedikit rungutan daripada yang menanti. Yang peliknya di sini tiada rungutan seperti kebiasaan itu. Pasangan kekasih akan pasti memuncungkan bibirnya jika berlaku begini. Di sini pihak yang menanti lebih selesa jika yang dijanji memungkirinya.
Kerana terlewat aku terpaksa menanti untuk tempoh yang agak lama sebelum mendapat layanan yang sepatutnya. Walaupun begitu aku tetap selesa menanti pabila disambut dengan senyuman mesra petugas di sini. Sebaik melanglah melintasi pintu kaca yang bersih dan berkilat aku terus disapa dengan ucapan selamat yang mesra. Sejuk mata memandang walaupun aku kepanasan kerana mengejar masa yang kelewatan tadi. Melangkah terus kebangku selepas menekan punat angka giliran. Disisi mesin pencetak angka giliran terpacak satu mesin pembancuh kopi. Oh capuchino! Biasanya jika sebelum ini aku akan membancuh segelas capuchino putih bagi melegakan saat menanti nombor dipanggil. Tapi hari ini masih ramadhan. Aku hanya mampu menjeling ke arah mesin tersebut.
Melabuhkan punggung kebangku separa lembut. Mata masih menjeling mesin pembancuh kopi, sambil menelan liur yang bergema. Deretan kereta honda model terbaru disusun kemas bagi menarik perhatian pelanggan. Honda: jenama yang diminati hanya pada nama. Rakyat Malaysia memberi persepsi yang baik terhadap jenama ini. Walaupun keretanya biasa saja. Berbanding saingannya yang lain Honda seperti ketinggalan. Terutama aksesorinya. Tapi jenama honda tetap laris kerana kualitinya. Harganya sedikit mahal tetapi kepuasan memandunya seperti memiliki isteri yang jelita!
Seperti kebanyakan kita memilih berdasarkan persepsi. Pandangan pertama yang meyakinkan akan memikat hati naluri kita. Ditambah dengan pandangan masyarakat yang sentiasa memuji mujinya. Termasuk juga aku.
WUS8024!!! Laungan nombor plat keretaku dipanggil. Tersentak aku dari renungan kearah CRV yang seksi. Aku mengiyakan dan terus bergegas ke kaunter persis ke kaunter farmasi di klinik. Dengan nilai yang ditetapkan aku mengeluarkan not kelabu asap sebanyak 7 keping. Wah!! boleh tahan nilainya untuk aku menanti. Menanti untuk memberi nilai not yang berkeping itu.
Sekarang aku didalam kerata yang baru selesai diservice. Ternyata berbaloi penantian aku sebentar tadi. Kini keretaku meluncur melebihi had laju yang ditetapkan oleh JPJ. Harga sebuah kerja menanti! Hahaa
Sunday, July 15, 2012
Friday, July 6, 2012
Sistem banyak semester setahun
Kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta telah mengubah sistem pengambilan pelajar agar selari dengan sistem di IPTA.
Sejak pengambilan pelajar sesi 2010/11 pelajar di IPTA bermula pada September. Sebelum ini pengambilan pelajar akan bermula pada Jun atau Julai.
Manakala di IPTS biasanya pengambilan akan bermula pada Mei dan Dicember/Januari.
Perubahan ini menyebabkan IPTS memperkenalkan pengambilan yang lebih kerap agar selari dengan kelender di IPTA. Misalnya di kebanyakan IPTS merangka kelender bermula pada Januari, Mei, Julai, September dan Dicember.
Bayangkan setiap semester berlangsung dalam 14 minggu tanpa henti. Tidak ada lagi cuti semester yang biasanya pada minggu ke 8 setiap semester.
Perubahan ini memaksa pelajar dan pengajar lebih laju dan pantas menangani setiap subjek yang dipelajari. Tidak ada lagi gaya sambil lewa di awal semester. Setiap minggu ada sahaja ujian, tugasan dan sebagainya yang perlu dihadapi.
Positifnya, sistem ini menjadikan tempoh belajar lebih singkat. Lebih cepat maknanya pelajar akan lebih teruja untuk menghadapi dunia kerjaya. Persedian seawal semester pertama lagi perlu disediakan.
Bagi pelajar yang masih lagi terikut ikut dengan gaya belajar yang lama untuk tempoh yang panjang akan ketinggalan. Setiap subjek yang diikuti perlukan perhatian serius walaupun hanya subjek wajib universiti.
Thursday, June 28, 2012
Terkenangkan arwah ayah
Tiba-tiba semalam teringatkan arwah ayah. Bukan bermakna sebelum ini dilupakan. Bukan juga kerana tidak mengingatinya. Aku tetap ingat setiap saat bersama arwah ketika manis dan juga sedih.
Ayah seorang yang tegas. Dalam tegasnya ada bicara yang penuh bermakna. Falsafahnya mudah terhadap keluarga. Setiap ahli perlu saling sayang dan pesan berpesan. Yang salah sama dibetul, yang betul sama diikut. Jangan bergaduh adik beradik. Hormat ayah dan emak selamanya. Keluarga kecil perlu dijaga. Gembirakan setiap ahli keluarga terlebih dahulu sebelum berfikir untuk gembirakan orang lain.
Ayah tak perlu pukul anak-anaknya untuk jadikan kami berjaya. Cukup sekadar tenungan tajam menusuk kalbu terus bertindak. Istimewanya ayah dalam mendidik kami adik beradik. Cukup bekalan untuk hidup tanpa susahkan orang lain.
Ayah, kami bangga menjadi anak anak ayah.
(catatan sempena rasa amat rindu pada arwah ayah, saat perlukan nasihat dan pedoman darimu. Aku berserah. Al-fatihah)
Wednesday, June 6, 2012
Tempah Teksi Guna SMS
Hailing a cab now just an app away - General - New Straits Times
Sunday, May 6, 2012
Gangguan seksual di IPT
Di mana manapun aktiviti kurang sihat yang berkait dengan maksiat boleh berlaku. Jika hati telah rosak akan memudahkan lagi seseorang itu terdorong melakukannya. Walaupun di mana. Sama ada tempat yang sesuai atau tidak sesuai.
Di IPT ruang yang tenang dan kondusif telah disalah guna oleh warganya untuk memuaskan hati seketika dengan cara yang salah.
Gangguan seksual di IPT boleh berlaku di dalam atau di luar kelas. Sama ada antara sesama pelajar ataupun pelajar dan pensyarah.
Gangguan seksual merujuk kepada keadaan tidak selesa yang dirasai oleh seseorang hasil daripada tindakan seseorang yang berunsur lucah. Gangguan ini boleh secara lisan, fizikal atau tindakan yang lebih agresif.
Bagi pelajar perempuan yang tidak selesa dengan pensyarahnya yang sering berlawak lucah di dalam kelas adalah contoh gangguan seksual secara lisan.
Bagi pelajar lelaki yang tidak selesa dengan pakaian pensyarah perempuannya yang berpakaian mencolok mata juga contoh gangguan seksual secara pakaian atau penampilan.
Bagaimanakah cara mengatasi atau mengelak perkara ini berlaku?
Bagi pelajar jika perkara seumpama ini berlaku antara cara untuk mengelak ialah dengan membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab. Sebaiknya laporkan kepada Ketua Jabatan, Timbalan Dekan Akademik, atau Dekan, atau jumpa kaunselor untuk minta nasihat sebenarnya.
Jika perkara tersebut berlaku secara berulang adalah dinasihatkan membuat laporan secepat mungkin.
Hal ini boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar. Jika tidak dibendung secara berhemah ia akan memudaratkan banyak pihak. Pelajar, pensyarah, dan universiti juga akan terjejas.
Monday, April 30, 2012
Subjek Kenegaraan
IPT swasta juga tidak terkecuali dari menawarkan subjek kenegaraan ini kepada pelajarnya. Subjek ini menjadi salah satu keperluan bagi pelajar untuk melengkapkan kursus di peringkat ijazah pertama. Ia bukan saja wajib diikuti malah subjek ini merupakan subjek wajib lulus. Antara subjek kenegaraan yang ditawarkan di IPT adalah Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan di beberapa IPTS terdapat juga subjek seperti Perlembagaan Malaysia (Malaysian Constitution).
Semua subjek-subjek ini jika dilihat dari segi topik-topiknya hampir sama. iaitu menjelaskan kepada pelajar berkaitan sejarah negara bermula dari zaman sebelum penjajahan, menuntut kemerdekaan, penubuhan Malaysia, keadaan ekonomi, politik, sosial di Malaysia dan semua perkara yang berkaitan dengan Malaysia. Cuma tumpuannya berbeza berdasarkan fokus subjek tersebut.
Persoalannya, berjayakan subjek-subjek kenegaraan ini mencapai objektif penawarannya. Objektif utamanya untuk memupuk, mendidik, dan menggalakkan pelajar menyayangi negaranya serta wujud semangat partiotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar yang mengikutinya. Semangat patriotisme ini diharap mampu dicapai setelah para pelajar memahami dengan jelas setiap topik yang dibincangkan melalui subjek ini. Hal ini amat berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berlangsung di IPT tersebut. Sejauh mana pencapaian pelajarnya terhadap subjek ini boleh diukur kepada sejauh mana pencapaian proses P&P berlangsung.
Thursday, April 26, 2012
Bertuahnya menjadi rakyat Malaysia
Bab 1 buku 'Notes to the Prime Minister' karya Wong Sulong menggambarkan suasana kegembiraan, kejayaan, dan keharmonian masyarakat Malaysia menyambut tahun baru 1997.
Digambarkan kehebatan ekonomi Malaysia ketika itu. Gaya hidup golongan kelas menengah yang agak mewah hasil daripada pelbagai dasr ekonomi yang diperkenalkan oleh pemerintah seperti DEB. Golongan ini hidup di bandar bandar besar seperti Kuala Lumpur dengan cara hidup yang mewah. Digambarkan masyarakat Malaysia di bandar besar sentiasa keluar makan di restoran mewah bersama keluarga dan kawan kawan. Berhujung minggu di pusat membeli belah yang besar yang tumbuh di segenap ceruk bandar. Juga bercuti di luar negara. Mampu memiliki kereta mewah dan tinggal di perumahan yang hebat, paling kurangpun memiliki rumah teres yang mewah.
Gambaran ekonomi masyarakat Malaysia pada awal tahun 1997 itu bukan saja menampakan kemewahan hidup rakyatnya. Malah masyarakat asing juga iaitu imigran yang bekerja di sini digambarkan hidup secara senang dan berusaha agar kekal lama di Malaysia.
Kehebatan Malaysia menurut penulis buku ini banyak bergantung kepada kepemimpinan yang menerajuinya. Senarai pemimpin negara bermula daripada Perdana Menteri pertama sehinggalah yang terkini semuanya memiliki keupayaan dan kehebatan tersendiri, terutamanya dalam pengurusan sumber dan ekonomi negara. Berbanding dengan negara Asian yang lain Malaysia secara relatifnya lebih berjaya dalam pengurusan negara.
Buku ini adalah catatan berkaitan kejayaan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara negara Asian di akhir tahun 1997. Krisis tersebut dapat dikendalikan dengan baik oleh beliau tanpa bantuan daripada badan dunia seperti IMF sebagaimana yang dipraktikan di negara lain. Catatan kejayaan itu dibukukan dalam tersebut.
Tuesday, April 24, 2012
Seni Meniru
Kebanyakan pelajar di peringkat pengajian tinggi akan terpikat untuk meniru semasa peperiksaan. Walaupun di peringkat sekolah juga berlaku gejala ini. Namun meniru yang berseni lebih banyak berlaku di IPT.
Persoalannya kenapa meniru?
Meniru adalah satu aktiviti menyalin, mengambil, dan mengaplikasikan sesuatu yang dilihat, dibaca atau disembunyikan dalam satu keadaan ia tidak sepatutnya berbuat demikian seperti waktu peperiksaan dan ujian.
Di peringkat IPT seni meniru pastinya berbeza dengan meniru di sekolah. Bezanya pelajar IPT akan menggunakan teknik yang lebih kreatif. Kekreatifan ini boleh dikategorikan sebagai seni. Walaupin aktiviti tersebut adalah seni yang tidak bermoral.
Teknik meniru berkait rapat dengan jenis dan bentuk soalan yang disediakan. Soalan objektif kebiasaannya agak mudah untuk meniru berbanding soalan subjektif.
Teknik menjeling, menegakkan leher, menggelengkan kepala, batuk, isyarat tangan dan sebagainya adalah antara seni meniru yang popular.
Bagi soalan subjektif biasanya teknik kertas jatuh, sakit perut, jelingan mata, nota kecik dan terbaru alat elektronik seperti handphone.
Meniru sebenarnya lebih susah daripada berfikir sendiri tentang jawapannya. Buat sendiri, selesaikan secara matang soalan yang dikemukakan adalah lebih senang berbanding menggunakan seni meniru. Kepakaran meniru akan meninggalkan kesan secara psikologi kepada pelajar. Kesan ini akan berlarutan untuk tempoh yang lama jika jawapan yang ditiru itu tidak tepat atau salah.
Peniru dan pemberi tiru adalah dua individu yang sama tarafnya. Sama sama tidak mampu berdikari menjawab secara ilmiah dan kefahaman. Oleh itu kesan psikologi akan dirasai oleh kedua dua watak ini. Cuma pemberi tiru biasanya akan mengalami kesan yang leboh berbanding peniru.
Banyak kes meniru semasa peperiksaan dapat dikesan dengan mudah oleh pengawas peperiksaan. Kerana seni meniru bersifat global dan neutral. Ia satu aktiviti yang kebanyakan orang tahu dan mempunyai pengalaman berkaitannya. Oleh itu amat mudah untuk mengesan aktiviti ini. Mungkin juga teknik baru masih lagi tidak mampu dicipta oleh pencinta seni meniru.
Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Nasib baik kita terlepas. Namun aktiviti meniru ini kebnyakkannya bernasib tidak baik, dan ditangkap. Memang tidak berbaloi jika terperangkp dengan aktiviti ini.
Yakin pada diri. Pasti ada jalan penyelesaiannya tanpa perlu meniru.
Friday, April 20, 2012
AUKU - Benarkah mengongkong kebebasan pelajar
Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tempoh pentadbiran Dr Mahathir sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mencadangkan satu akta bagi menghalang pelajar pengajian tinggi dari terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan di luar kampus, terutamanya parti politik.
Suasana politik ketika itu menjadikan pelajar universiti begitu ghairah untuk membela masyarakat sekeliling yang dihimpit pelbagai masalah ekonomi dan sosial.
Waktu itu pelajar universiti merupakan kumpulan yang dihormati serta diyakini oleh masyarakat sebagai anak muda yang bijak dan mampu menyelesaikan masalah mereka. Kesannya pelajar universiti lebih banyak terlibat dengan aktiviti persatuan di luar kampus yang tidak berkait secara langsung denhan pembelajaran mereka di universiti.
Atas alasan menghidarkan pelajar dari menghabiskan banyak masa menyelesaikan masalah masyarakat sehingga terganggu pembelajaran mereka di universiti, Dr Mahathir mencadangkan satu akta yang sesuai iaitu AUKU.
Akta ini telah dipinda pada tahun 1975 dan1995. Bagi disesuaikan dengan keadaan semasa.
Kini isu berkaitan AUKU bergema lagi sehingga mewujudkan polemik di kalangan pelajar universiti yang terlibat secara langsung dengan akta ini, serta orang awam yang melihat akta ini seperti mengongkong kebebasan pelajar.
Pelajar universiti adalah kelompok anak muda yang relatifnya berumur sekitar 20-an. Kumpulan ini merupakan harapan setiap masyarakat sebagai pemimpin, pentadbir dan pembela negara pada masa akan datang. Oleh itu kejayaan dan kegagalan negara pada masa depan terletak sepenuhnya kepada keupayaan masyarakat kini membentuk masyarakat akan datang.
Secara umumnya sistem pendidikan kita telah melahirkan kimpulan terpelajar yang terpisah dengan masyarakat. Bermula seawal sekolah menengah rendah pelajar cemerlang telah diasingkan dengan menempatkan mereka di asrama penuh. Dari sekolah berasrama penuh mereka terus ke universiti. Dalam situasi tersebut apabila mereka keluar dari universiti kita mengharapkan mereka faham dan menyelesaikan masalah dalam masyarakat. Berjayakah mereka?
AUKU perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Mungkin benar alasan pengenalannya dulu bagi memberi peluang kepada pelajar menumpukan kepada pelajaran di universiti daripada terlibat masalah di luar kampus. Namun pelaksanaan akta tersebut menyebabkan pelajar kita tidak peka situasi di luar kampus. Dengan senario sistem pendidikan sekolah kita tadi, agak sukar kita melahirkan pelajar yang bijak diluar kampus. Atau mampu menjadi pembela masalah dalam masyarakat.
Thursday, April 19, 2012
Basmi Kemiskinan cara DEB dan DPN
Dua dasar ekonomi jangka panjang yang diperkenalkan oleh pemerintah ini bermatlamat untuk membasmi kemiskinan. Pemerintah merasakan antara punca utama berlaku masalah dalam perpaduan kaum disebabkan oleh kemiskinan rakyatnya. Oleh itu apabila berlaku rusuhan kaum pada 13 mei 1969, pemerintah terus sahaja memperkenalkan DEB sebagai salah satu ubat mengatasi masalah perpaduan. Namun setelah tamat tempoh DEB dilaksanakan dan diteruskan dengan DPN, pemerintah masih lagi meletakkan matlamat basmi kemiskinan sebagai perkara yang penting. Dan dasar-dasar ekonomi yang lain juga diperkenalkan sebagai sambungan kepada dua dasar ini masih juga menjadikan kemiskinan sebagai masalah sehingga ke hari ini. Kenapa? Siapakah kumpulan miskin yang ingin dibela oleh DEB dan DPN? Adakah kumpulan sasar tersebut telah keluar daripada zon kemiskinan setelah tamat tempoh pelaksanaannya?
Inilah persoalannya. Bagaimanakah cara DEB dan DPN membela kumpulan termiskin.
Pemerintah mentafsirkan kumpulan utama yang miskin adalah masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar. Oleh itu DEB diperkenalkan dengan fokus membantu masyarakat luar bandar. Pelbagai agensi ditubuh dan dinaik taraf bagi memberi tumpuan yang lebih terhadap masyarakat luar bandar. Agensi seperti Felda, Felcra, Risda dan sebagainya digiatkan fungsinya agar mampu memberi bantuan kepada kumpulan misksin di luar bandar. Contoh agensi-agensi ini berfungsi agar masyarakat yang tidak mempunyai tanah dan rumah mampu memilikinya apabila mengikuti sekim yang diperkenalkan.
Manakala DPN pula memberi tumpuan yang lebih meluas termasuk masyarakat miskin di bandar. Peranan sektor swasta juga digalakkan terlibat sama dalam proses pembangunan negara. Pendidikan dan latihan menjadi teras utama pelaksanaan DPN khususnya dalam aspek membasmi kemiskinan.
Dua dasar ini secara terperincinya memberi fokus kepada aspek kemiskinan. Walaupun matlamat tersebut tidak sepenuhnya berjaya dilaksanakan namun peranannya sedikit sebanyak berjaya mengubah ekonomi masyarakat.
Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, masyarakat Malaysia sebenarnya bukan sepenuhnya bermasalah dari segi perpaduan kaum. Tetapi masalah tafsiran pemerintah terhadap kumpulan masyarakat, yang dilihat hanya pada bangsa sahaja tetapi tidak kepada kelas ekonomi masyarakatnya.
Thursday, April 12, 2012
Ketegasan diri dan Kepuasan hidup
Ramai orang tidak memberi perhatian yang baik terhadap aspek kepuasan diri. Bagi yang bersikap sambil lewa terhadap diri sendiri akan sentiasa hidup berdasarkan apa yang akan terjadi. Maknanya perjalanan hidup mereka ditentukan oleh masa dan keadaan. Bukan berdasarkan apa yang dirancang serta dicita-citakan.
Ketegasan diri adalah kebolehan seseorang menentukan kehendak dan permintaan diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain ataupun persekitaran.
Manakala kepuasan diri pula merujuk kepada keadaan seseorang yang gembira dengan apa yang diperolehinya. Walaupun perasaan ini berbentuk subjektif namun ukurannya dapat dinilai dari pencapaian yang dikecapinya.
Biasanya, kepuasan diri seseorang amat berkait dengan ketegasan diri mereka. Dan apabila kepuasan diri dikecapi makanya pencapaian seseorang akan meningkat.
Friday, April 6, 2012
Article Review - Konflik Perkauman @ Sengketa Kelas
Artikel tulisan Prof Shamsul Amri Baharuddin yang termuat dalam Dewan Masyarakat keluaran September 1981, membincangkan konflik tafsiran dan persepsi antara masalah perkauman dan kelas.
Sesuai dengan masa ia ditulis iaitu di awal perkembangan ekonomi Malaysia dan perubahan tumpuan masyarakat ketika itu kepada pembangunan ekonomi yang lebih terbuka, bukan lagi membezakan kaum berdasarkan aktiviti ekonominya.
Aktikel ini menjelaskan masalah perkauman di Malaysia yang dicanang oleh penjajah dan pemerintah selepas merdeka adalah satu alat yang digunakan oleh kelompok atasan bagi kepentingan ekonomi mereka. Kelompok atasan semua bangsa perlu mengambil kesempatan daripada label ekonomi berasaskan kaum yang wujud dalam kalangan masyarakat bawahan agar perbezaan tersebut memberi laba kepada mereka.
Hakikatnya masyarakat di Tanah Melayu dan Malaysia terpisah bukan saja dari kaum yang berbeza. Tetapi kelas yang wujud dalam semua kaum utama. Kelas ialah kumpulan yang terbentuk berasaskan ekonomi. Iaitu kelas atasan bagi kumpulan pemodal dan elit pemerintah. Manakala kelas bawahan adalah kumpulan miskin dan terpisah yang membekalkan bahan kepada kumpulan atasan. Kumpulan menengah pula adalah kumpulan yang menghubungkan antara atasan dan bawahan.
Di peringkat atasan, semua kaum amat erat dan bekerjasama atas faktor ekonomi. Kumpulan bawahan tidak diberi peluang untuk bekerjasama. Mereka dipisahkan sejak dari zaman British sehinggalah selepas merdeka. Kumpulan inilah yang melahirkan ekonomi berasaskan kaum. British berjaya pisahkan kumpulan berdasarkan aktiviti ekonomi masing-masing. Keterpisahan inilah yang digunakan oleh kumpulan atasan bagi mengekalkan kuasa ekonomi dan politik mereka. Isu perkauman sentiasa digunakan bagi meraih sokongan kumpulan bawahan, yang merupakan bilangan terbanyak dalam masyarakat.
Apa yang dibincangkan melalui artikel ini adalah berkaitan isu perkauman di awal tahun 80-an. Oleh itu kemungkinan faktor yang dinyatakan itu tidak lagi relevan pada masa sekarang. Setelah pelbagai dasar dan pendekatan dicadangkan serta dilaksanakan dalam tempoh tersebut sehingga kini, masalah perkauman tidak lagi menjadi isu. Walau bagaimanapun, perbezaan kelas yang berasaskan ekonomi seperti yang dibincangkan oleh artikel tersebut dilihat masih berlaku. Cuma isu kesempatan yang digunakan oleh kumpulan atasan seperti ahli politik dan pemerintah menggunakan modal perkauman sebagai alat mengekalkan kuasa politik seperti berulang kembali.
1Malaysia dalam konteks Perpaduan Kaum
Slide tutorial Kumpulan Pahlawan section 1
Peranan YDPA - nota MASB
Slide tutorial dari Kumpulan Choon, section 1.
Terima kasih.
Monday, April 2, 2012
Sunday, April 1, 2012
Perpaduan Nasional di Malaysia
Selain daripada pecahan kumpulan berdasarkan kedudukan geografi seperti semenanjung Malaysia dan Borneo, Sabah dan Sarawak, masyarakat Malaysia juga boleh dipisahkan oleh keadaan sosioekonomi yang terdapat di Malaysia. Pecahan sosioekonomi ini merupakan faktor utama yang boleh menggugat kestabilan kaum di Malaysia. Pecahan ini disebut sebagai sektor moden dan sektor tradisi. Dua sektor ini mewakili kaum-kaum tertentu dalam masyarakat. Yang berpotensi menjadi jurang perkauman yang besar antara kaum jika tidak diurus dengan baik.
Keadaan perpaduan di Malaysia pada tempoh awal kemerdekaan dan pasca tragedi 13mei dapat dikupas melalui dokumen Rancangan Malaysia ke -2. Dasar jangka panjang kerajaan tersebut adalah satu-satunya dokumen yang boleh dijadikan rujukan bagi menilai keadaan perpaduan di Malaysia.
Dasar penting yang terkandung dalam RM2 tersebut adalah Dasar Ekonomi Baru. DEB yang bermatlamat untuk untuk menstrukturkan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Keadaan masyarakat yang bagaimanakah yang ingon distrukturkan melalui dasar ini? Jawapannya adalah realiti sebenar keadaan perpaduan pada ketika itu.
Masalah utama dalam proses perpaduan adalah faktor ekonomi. Jurang ekonomi yang besar antara kaum akan berpotensi untuk meruntuhkan perpaduan. Oleh yang demikian tumpuan khusus kerajaan melalaui DEB untuk menstrukturkan masyarakat dan membasmi kemiskinan adalah satu cara yang tepat. Dasar ini berusaha untuk mengurangkan jurang yang wujud antara sektor moden dan sektor tradisi yang berlaku dalam masyarakat.
Bahasa dan masyarakat
Beliau membincangkan hubungan antara bahasa dan masyarakat pengguna bahasa. Menurut beliau bahasa boleh digunakan sebagai alat utama dalam proses pembentukan masyarakat sesuatu negara terutama masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. Bahasa yang menjadi eleman penting dalam satu-satu budaya mampu mengintegrasikan semua kaum tanpa melemahkan kaum yang dominan dalam masyarakat.
Walau bagaimanapun proses pembentukan perpaduan tersebut memerlukan usaha dari peringkat awal terutamanya melalui sistem pendidikan. Tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap bahasa juga perlu dititikberatkan.
Menurut beliau lagi masyarakat kini melihat bahasa hanya sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah sahaja. Walaupun sebenarnya peranan bahasa terutamanya BM bukan sekadar itu. Ia adalah alat perpaduan dan penyatuan bangsa.
Bagaimana BM mampu menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia? Jawapannya adalah melalui pendidikan. Walau bagaimanapun pendidikan bahasa di dalam sistem pendidikan kita peelu mengaitkan peranan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian bukan saja memberi penekanan terhadap aspek nahu yang menakutkan masyarakat awam.
Di akhir tulisannya penulis menyarankan agar kajian lanjut berkaitan peranan bahasa dalam masyarakat ini dijalankan bagi melihat aspek sosiolinguistik yang penting dalam pembentukan negarabangsa.
Saturday, March 24, 2012
Faktor Kewujudan DEB
1. Dasar Pecah Perintah British - petempatan berasaskan.
2. Peristiwa 13 Mei 1969 - kemuncak masalah kaum
3.Pendudukan Jepun pada perang dunia2 - dasar anti cina di Tanah Melayu
4. Singapura berpisah dari Malaysia - sikap pemimpin Singapura mempengaruhi minda masyarakat.
5. MAGERAN - Paerlimen digantung 16/5/1969
6. Majlis Perundingan Negara - memantau keberkesanan MAGERAN, meneliti masalah perpaduan negara - perpaduan perlu melibatkan penyatuan ekonomi.
Pembentangan Tugasan- Hub. Etnik dan DEB
DEB diperkenalkan dalam RMK2 bermatlamat mengubah kedudukan ekonomi berasaskan kaum. Label ekonomi berasaskan kaum telah mengakibatlan pandangan negatif antara kaum.
Program ini berlangsung pada jangka masa panjang, yang melibatkan 3 orang PM.
Dasar Penswastaan diperkenalkan - RMK4
Penekanan ekonomi yang stabil - RMK5
Sektor pelancongan digalakkan - hotel mula dijadikan bisnes.
Hari Terbuka UNITEN
Hari ini 24/3/2012 berlangsung hari terbuka UNITEN bertempat di College of IT UNITEN. Program sehari ini merupakan acara tahunan dalam kalender aktiviti di sini. Matlamat utama program untuk memberi peluang kepada para lepasan SPM, STPM, A-Level, Diploma dan setaraf dengannya memohon untuk melanjutkan pelajaran ke UNITEN.
Sebagai sebuah universiti yang telah berpengalaman melahirkan graduan bermutu saban tahun UNITEN menjanjikan satu peluang keemasan kepada bakal-bakal pelajar.
Sempena hari terbuka ini pelbagai aktiviti diatur bagi mendedahkan para calon pelajar berkaitan dengan kehidupan kampus di UNITEN. Selain daripada pameran dari pelbagai jabatan di UNITEN, aktitiviti berbentuk suai kenal juga diajalankan semasa hari terbuka ini.
Ras & Etnik
Ras merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri fizikal yang sama yang diwarisi secara biologikal.
Etnik pula merujuk kepada pembahagian kumpulan berasaskan aspek sosial seperti kepercayaan, kebudayaan dan adat serta peraturan.
Perbezaan yang jelas antara dua konsep ini adalah pembahagian berasaskan biologikal dan sosial.
Berdasarkan pembahagian ini bolehkah kita menjelaskan makna ras dan etnik dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.
Friday, March 23, 2012
INTEGRASI & PERPADUAN NASIONAL
Manakala perpaduan pula adalah proses menyatukan pelbagai bangsa dalam sesebuah negara supaya mempunyai hasrat dan cita-cita yang sama tentang negaranya.
Perpaduan rakyat Malaysia adalah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses pembangunan negara. Selain daripada aspek ekonomi, politik, perpaduan juga merupakan agenda penting dalam kemajuaan sesebuah negara. Relatifnya, ekonomi dan politik yang stabil akan memberi sumbangan yang besar dalam proses perpaduan.
Di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan berbagai-bagai usaha untik mencapai matlamat perpaduan. Antaranya; pembentukan sosioekonomi yang membolehkan semua kaum dan etnik turut serta dalam proses pembangunan negara. 2; Penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru iaitu dengan memberi fokus kepada membasmi kemiskinan berasaskan kaum. 3; Penglibatan golongan miskin dalam pelbagai corak pembangunan ekonomi dengan menubuhkan beberapa agensi yang berkaitan seperti MARA, FELDA, UDA dan sebagainya. 4; Sistem pendidikan digunalan sebagai medium utama pembentukan perpaduan dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagao bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia di semua peringkat pengajian dari pendidikan rendah, menengah rendah, menengah atas, dan pengajian tinggi.
Wednesday, March 21, 2012
Langkah Perpaduan dan Integrasi
Selepas tragedi 13 Mei 1969, pihak pemerintah telah mula memberi perhatian yang serius terhadap proses perpaduan dan integrasi nasional. Proses ini boleh dilihat dari 3 aspek iaitu, aspek sosial, politik dan ekonomi.
Dari aspek sosial, pemerintah melancarkan satu prinsip utama negara iaitu Rukun Negara (RN). RN dilancarkan pada Ogos 1971 yang bertujuan memupuk muafakat di kalangan masyarakat pelbagai etnik. RN ini menetapkan 5 perkara utama yang terkandung dalam prinsip tersebut.
Aspek ekonomi pula pihak pemerintah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menstrukturkan kembali masyarakat. DEB dilancarkan pada 1971, yang merupakan dasar jangka panjang (20 tahun) kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kedua. Dasar ini memberi tumpuan khusus kepada masalah kemiskinan yang difikirkan sebagai faktor utama menghalang proses perpaduan kaum. Melalui dasar ini beberapa program, dasar dan agensi telah diperkenalkan oleh pemerintah. Antaranya menubuhkan IPT seperti UKM, UTM, ITM dan UPM. penubuhan IPT bagi mewujudkan kedudukan yang seimbang antara kaum di IPT.
Dari segi politik, pemerintah telah meminda beberapa akta. Antaranya pindaan terhadap Akta Hasutan. Pindaan akta ini bagi menghalang orang awam dari membincangkan perkara yang sensitif berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan raja-raja Melayu. Larangan ini bagi mencegah berlakunya pertentangan pendapat secara umum yang boleh memudaratkan perpaduan kaum.
Tuesday, March 20, 2012
Negarabangsa
Negarabangsa secara umumnya satu proses pembentukan matlamat dan cita-cita bersama antara seluruh rakyat pelbagai bangsa terhadap negaranya. Dari segi politiknya proses ini berkait dengan dengan perpaduan kaum. Pendapat ahli sosiologi menjelaskan bahawa proses ini sentiasa menimbulkan masalah walaupun rakyatnya terdiri dari satu bangsa. Masalah semakin tinggi bagi negara yang berbilang bangsa.
Dalam konteks Malaysia, proses pembinaan negarabangsa ini bermula sejak dari zaman pentadbiran British di Tanah Melayu. Proses tersebut banyak dipengaruhi oleh faktor pendidikan yang berkembang pada zaman tersebut. Sistem pendidikan yang diperkenal oleh pentadbiran British di Tanah Melayu seperti peluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara telah menjadi antara faktor meningkatlan kesedaran nasionalisme dan negarabangsa di kalangan rakyat.
Proses ini berterusan sehingga Tanah Melayu merdeka. Walau bagaimanapun proses ini adalah satu proses yang mencabar dan kritikal. Banyak rintangan dan faktor yang menjejaskan proses pembinaan negarabangsa.
Tuesday, March 6, 2012
Bacaan Tambahan MASB113
http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan_malaysia
Contoh Soalan MASB113
Sunday, February 26, 2012
Berkorban Demi Ilmu
Proses pembelajaran ini tanpa mengira usia, jantina dan jarak. Walau berapa angka usia kita, sama ada lalaki atau wanita, dan jarak yang jauh namun keinginan untuk belajar itu bukan menjadi halangan.
Misalnya Program Pengijazahan bagi Guru guru yang dijalankan di beberapa IPT, seperti OUM, UPM, USOM dan lain lain.
Program ini melibatkan guru yang kebanyakannya telah berkeluarga dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap keluarga dan kerjaya. Tambahan pula kelas untuk kumpulan ini diadakan pada hujung minggu. Dengan jarak tempat tinggal dan pusat pengajian yang jauh menyebabkan mereka terpaksa berkorban masa dan tenaga memandu pada jarak dan tempoh yang lama.
Yang paling dekat dengan saya adalah isteri saya sendiri yang perlu memandu dari Kajang ke UTM Skudai, Johor hamapir 2 kali sebulan, untuk memenuhi keperluar pembelajaran Master yang diikutinya. Itulah pengorbanan. Selain dari jarak yang jauh banyak lagi cabaran yang perlu dihadapinya.
Benarlah kata pepatah tiada kejayaan tanpa pengorbanan.
Thursday, February 23, 2012
Bolasepak dan Patriotisme
Itulah bolasepak. Peminat pasukan bolasepak. Mereka akan dapat bersama berkongsi minat dan cerita berkaitan pasukan mereka dengan sesiapa sahaja. Tanpa mengira latarbelakang, agama dan kepercayaan, warna kulit dan fahaman politik masing-masing.
Menariknya apabila pasukan kebangsaan negara bertanding dalam apa saja kejohanan semua rakyat Malaysia akan bersatu memberi sokongan. Sebagai tanda sokongan mereka sanggup berbelanja membeli jersi, topi, dan cenderamata yang berlogokan pasukan Malaysia. Semasa perlawanan mereka sanggup menconteng muka dengan warna Jalur Gemilang. Semangat yang tinggi terhadap negara melalui sukan bolasepak ini amat membanggakan.
Sesuai dengan definisi patriotisme iaitu satu semangat yang hadir dalam setiap warganegara terhadap negaranya dengan rasa cinta dan sayang pada tahap yang tinggi.
Nilai patriotisme yang tercetus daripada sukan bolasepak ini sepatutnya diambil perhatian oleh pihak yang berkewajiban dan bertanggungjawab membina nilai bangsa bagi sebuah negarabangsa Malaysia.
Apa kata anda?
Friday, February 17, 2012
Kerja Sambil Belajar
Kerja sepenuh masa dan belajar secara sambilan. Atau belajar sepenuh masa kerja secara sambilan.
Kedua-dua ini mempunyai implikasi yang berbeza. Iaitu kesan terhadap aktiviti hakiki kita. Sama ada kita belajar atau bekerja secara sepenuh masa ia akan terjejas bila dicampur dengan aktiviti sambilan.
Ramai orang menyarankan agar pelajar di IPT khususnya belajar menjana pendapatan sendiri dengan bekerja secara sambilan. Adakah ini berbaloi atau sesuai dengan target utama kita melahirkn graduan yang hebat akademiknya.
Banyak aspek yang perlu dilihat dalam hal ini. Bukan saja laba dari segi kewangan tetapi kesan psikologi juga perlu dilihat. Kerana tahap keupayaan dan kemahiran setiap peljar berbeza. Tidak semua pelajar boleh melakukan dua kerja dalam satu masa. Jika tidak disusun sebaiknya akan menyebabkan berlaku kekurangan dalam salah satu bahagian.
Apa yang penting adalah keupayaan individu sendiri. Kemahiran memilih dan menyesuaikan keutamaan dalam jadual seharian.
Tuesday, February 7, 2012
Azam Baru
Semester baru maknanya pelajar baru yang akan dijumpa, dididik dan dikongsi cerita ttg Malaysia. Rasanya semester kali ini jumlah pelajar tidak seramai semester sebelumnya. Pertama ramai pelajar yang tidak mendaftar kerana terdapat penaja yang tidak membiayai untuk semester ini kerana ini adalah semester pendek / short sem. Tambahan pula kali ini jumlah pelajar maksimum dikurangkan daro 120 kepada 60 orang sahaja untuk satu kelas.
Kelas yang kecil akan memudahkan interaksi dengan setiap pelajar. Mungkin juga kali ini saya akan ingat nama setiap pelajar di kelas.
Prestasi pelajar yg merosot semester lepas perlu diberi perhatian dan post mortem segera. Azamnya semester ini prestasi pelajar akan kembali seperti sebelum sebelumnya.
Sebenarnya bukan sj pelajar baru dan pendekatan baru utk semester ini, malah gandingan pensyarah juga berubah. Jika sebelum ini sy bersama En Mohd Noor tetapi beliau telahpun bersara. Kali ini sy bersama Pn. Rosima pula. Moga segala yg dirancang untuk semester ini akan membuahkan hasil yg positif.
Kerja-kerja pentadbiran sebagai Ketua Jabatan juga memerlukan sedikit perubahan yg positif. Tumpuan kepada kerja pengurusan berkaitan akademik pelajar akan disusun dengan teliti.
Sebagai pelajar pula, jadual dan pembahagian masa yg sebaiknya perlu dilaksanakan sebijak mungkin. Semester lepas prestasi kajian sy masih ditakuk lama. Pembaharuan dan ketekinan yang berganda perlu diaplikasikan.
Semuanya azam dan perancangan. InsyaAllah, semuanya akan berjalan berjalan sebaiknya. Moga di akhir tahun 2012 sy akan menulis ttg kejayaan melaksanakan semua yg dirancang dan diazamkan ini.