Alhamdulillah.
Segala puji dan syukur setingginya kepada Tuhan Yang Maha Esa, di atas kesempatan yang diberikan untuk sekali lagi menjalani hari-hari yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan Al Mubarak, bulan puasa yang berkat dan ajaib.
Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang diwajibkan kepada seluruh umat Islam untuk berpuasa. Iaitu menahan diri dari mengikut hawa nafsu yang melampau. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk merasai kehidupan yang sederhana dalam semua perkara. Siangnya kita dilarang makan dan minum serta ditegah dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Manakala di malamnya kita digalakkan menghidupkan suasana malam dengan beribadah serta berserah diri kepada Tuhan sebaiknya dan semampunya.
Bulan ini adalah pentas latihan untuk kita menjalani kehidupan yang tersusun pada sebelas bulan yang lain. Bulan ini juga adalah ujian kepada semua umat Islam tentang kesetiaan dan kesediaan kita mengubah gaya hidup seharian dengan bercirikan kehidupan seorang yang beragama Islam yang terbaik.