Friday, June 10, 2011

Petikan



Menangani Pemandu Emosi, Agresif Di Malaysia – Mstar online (9/6/2011)



KUALA LUMPUR: Yusof, 21, adalah seorang penuntut institut pengajian tinggi dan seperti rakan yang lain beliau memiliki sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan seharian.
Bagaimanapun, bagi Yusof, menunggang motosikal juga membantu beliau menenangkan emosi.


"Apabila saya menghadapi masalah atau berasa bosan, saya menunggang secara semberono untuk melepaskan emosi yang terpendam. Walaupun dalam mood riang, saya suka menunjukkan rasa teruja saya semasa menunggang atau memandu.


"Saya ada kalanya melakukan perkara yang menakutkan di atas jalan. Bagi saya, adalah menyeronokan kalau dapat mengatasi pemandu lain. Ia juga menyeronokan untuk meninggalkan pemandu lain di belakang apabila bermula dari lampu trafik.


"Saya suka memotong kereta lain di lebuh raya walaupun saya tidak mempunyai alasan untuk sampai dengan cepat. Saya memaki hamun pemandu lain atas jalan. Saya naik marah terhadap mereka yang memandu perlahan. Saya potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik. Saya sentiasa menunggang atau memandu melampaui had laju.


"Saya menerima lima hingga tujuh saman sejak tiga tahun yang lepas. Terbabit dalam dua hingga empat kemalangan jalan raya, dan kebanyakannya kerana kecuaian sendiri," kata Yusof, seorang daripada pemandu/penunggang 'Emosi-Agresif' yang dikenal pasti semasa satu kajian profil pemandu muda berisiko tinggi.


Kajian ini dikendalikan oleh Dr Hasrina Mustafa dan Profesor Madya Dr Adnan Hussein, kedua-duanya dari Sekolah Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), dan Mohd Yusof Abdul Ghani dari Institut Malaysia bagi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).
Kajian psiko-sosial ini dijalankan ke atas 390 penuntut USM pada Januari 2010 untuk menilai pemandu muda di Malaysia bagi tujuan kempen keselamatan jalan raya berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkah-laku semasa memandu.


Kajian ini mengenalpasti ciri-ciri psiko-sosial utama pada pemandu/penunggang berisiko tinggi di Malaysia yang lazimnya mengalami kemurungan yang tinggi, cenderung mencari sensasi atau melepaskan geram atas jalan raya.


Oleh itu masalah mereka ini dapat dilihat dalam bentuk gaya memandu agresif atau berbahaya seperti memandu dengan laju, potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik dan tidak berhenti di lampu merah.


Kumpulan berisiko tinggi ini sebahagian besarnya terdiri daripada lelaki dengan pengalaman memandu yang tidak seberapa.


Keselamatan jalan raya adalah isu besar di Malaysia. Statistik oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya baru-baru ini menunjukkan bahawa secara purata 18 orang maut setiap hari kerana kemalangan jalan raya.


Kemalangan jalan raya adalah punca utama kelima bagi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas beberapa penyakit dan punca utama ketiga bagi kematian di kalangan lelaki dan kesepuluh dalam kalangan wanita.



1 comment: