Kita hampir berpesta menyambut hari kemerdekaan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pesta kemerdekaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada pemerintah ataupun pihak swasta dan badan bukan kerajaan. Sambutan yang dipenuhi dengan macam-macam cara dan pendekatan. Ada yang menganjurkan konsert, perta jualan amal, pesta sukan, pertandingan kreatif dan sebagainya. Namun adakah kemeriahan yang diwar-warkan itu merupakan manifestasi semangat patriotik pesertanya atau sekadar memenuhi kelender sahaja.
Pihak pemerintah beberapa hari ini mengeluh dengan sambutan yang lembab dari kalangan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Orang ramai kini kurang berminat untuk mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya di premis masing-masing ataupun di kenderaan mereka. Amat jarang kita dapat lihat kemeriahan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang berbanding semasa 'pesta' piliharaya baru-baru. Pada tempoh kempen pilihanraya baru-baru ini kita dapat lihat keghairahan penyokong parti politik memasang bendera parti masing-masing di kenderaan mereka. Tetapi bila tiba sambutan kemerdekaan yang sepatutnya lebih meriah daripada pilihanraya, masyarakat tidak menjadi ghairah.
Keghairahan dan keinginan untuk meraikan kemerdekaan negara adalah satu perasaan yang hadir secara sendiri tanpa dipaksa-paksa. Ia akan muncul setelah kita merasakan perlunya merayakan tarikh yang memberi makna yang besar dalam hidup kita. Seperti kita menyambut hari ulangtahun kelahiran, perkahwinan, hari pertama bekerja, hari pertama masuk universiti dan seumpamanya. Semua tarikh-tarikh ini begitu penting dalam mencorak kehidupan kita. Sebab itu setiap kali tibanya tarikh tersebut kita akan bersungguh-sungguh menyambut dan meraikannya. Bagaimana dengan tarikh kemerdekaan negara?
Masyarakat tidak merasakan tarikh kemerdekaan sebagai sesuatu yang penting dalam kitaran hidup mereka. Tiada makna yang besar terhadap mereka terutamanya bagi generasi yang lahir selepas tarikh tersebut. Generasi selepas merdeka tidak diberi pendedahan yang jelas tentang kesusahan dan keperitan generasi sebelum ini menuntut kemerdekaan. Laluan sukar yang dihadapi generasi pejuang negara tidak didedahkan secara terperinci dalam sistem pendidikan sekolah kita. Buku sejarah di sekolah sekadar menjelaskan pihak tertentu sahaja yang berunding dan berdiplomasi dengan pihak penjajah untuk menuntut kemerdekaan. Gambaran kesusahan rakyat keseluruhannya tidak dijelaskan secara ilmiah dan terbuka bagaimana proses menuntut kemerdekaan berlangsung. Kesilapan ini memungkinkan rasa gembira untuk menyambut tarikh kemerdekaan menjadi layu. Perjuangan kemerdekaan yang hanya dikaitkan dengan kumpulan tertentu sahaja menyebabkan kegembiraan rakyat menjadi terhad hanya dalam kalangan pemuja kumpulan tersebut sahaja. Sambutannya tidak menyeluruh ke dalam hati sanubari setiap rakyat Malaysia.
Rugi rasanya apabila tarikh yang penting dalam sejarah negara tidak dirai sewajarnya. Rasa bangga untuk menyambut kehadiran tarikh keramat 31 Ogos setiap tahun yang sepatutnya muncul tanpa dipaksa-paksa perlu ditangani sebaiknya. Pihak yang bertanggungjawab dan berkuasa untuk mengubah persepsi ini perlu bertindak cepat. Dibimbangi suatu masa nanti masyarakat tidak lagi menghiraukan kehadiran tarikh penting ini.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia!!!
No comments:
Post a Comment