Kita hampir berpesta menyambut hari kemerdekaan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pesta kemerdekaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada pemerintah ataupun pihak swasta dan badan bukan kerajaan. Sambutan yang dipenuhi dengan macam-macam cara dan pendekatan. Ada yang menganjurkan konsert, perta jualan amal, pesta sukan, pertandingan kreatif dan sebagainya. Namun adakah kemeriahan yang diwar-warkan itu merupakan manifestasi semangat patriotik pesertanya atau sekadar memenuhi kelender sahaja.
Pihak pemerintah beberapa hari ini mengeluh dengan sambutan yang lembab dari kalangan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Orang ramai kini kurang berminat untuk mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya di premis masing-masing ataupun di kenderaan mereka. Amat jarang kita dapat lihat kemeriahan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang berbanding semasa 'pesta' piliharaya baru-baru. Pada tempoh kempen pilihanraya baru-baru ini kita dapat lihat keghairahan penyokong parti politik memasang bendera parti masing-masing di kenderaan mereka. Tetapi bila tiba sambutan kemerdekaan yang sepatutnya lebih meriah daripada pilihanraya, masyarakat tidak menjadi ghairah.