Cerdik pandai sering menyarankan agar kita mengajar apa yang kita tahu untuk mendapat lebih kefahaman tentang sesuatu. Ini bermakna kita akan menjadi lebih faham dan arif tentang sesuatu perkara jika kita berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain. Sama ada melalui perbincangan kumpulan atau sembang-sembang akademik secara tidak formal. Secara teknikalnya kita lebih bersedia apabila berbincang tentang sesuatu yang kita telah mendalami dan memahami isu atau topik
tersebut.Ini adalah salah satu teknik belajar yang berkesan untuk diamalkan dalam pengajian pelbagai peringkat. Teknik ini bukan sahaja terhad kepada pelajar di peringkat sekolah, malah berkesan juga untuk pengajian peringkat tinggi sehingga ke peringkat doctor falsafah.
Pembelajaran adalah satu proses. Iaitu bermula dari tidak tahu kepada berpengatahuan dan bijaksana. Proses ini memerlukan persediaan yang betul. Oleh itu teknik yang tepat dan berkesan perlu dipilih serta diaplikasikan sebaiknya. Dalam konteks ini, mengajar adalah satu pilihan untuk memahami apa yang dipelajari.
Mengajar secara formal biasanya dijalankan oleh guru atau pensyarah yang mahir, dengan menggunakan teknik pengajaran yang bersesuaian. Namun mengajar sebagai satu teknik untuk belajar boleh dijalankan secara tidak formal. Setiap pelajar mampu untuk mengajar apa yang dipelajari kepada kawan sepengajian masing-masing, berdasarkan bidang pengajian yang ditekuni oleh mereka.
Teknik mengajar dan belajar ini berkesan untuk mempelajari semua subjek, sama ada subjek berbentuk teknikal ataupun deskreptif. Ini kerana proses persediaan untuk mengajar dan berbincang sesuatu topik itu menjadikan seseorang pelajar itu perlu membaca dan mentelaah topik tersebut secara terperinci. Sebelum mengajar pastinya kita perlu bersedia dengan maklumat yang lengkap untuk dikongsi/ mengajar kepada kawan atau ahli kumpulan belajar kita.
Proses ini bermula secara personal, iaitu belajar sendiri serta memahami dengan terperinci, kemudian berkongsi dengan kawan dan ahli kumpulan belajar. Proses mengajar akan ada sesi soal jawab yang mampu memantapkan lagi pemahaman terhadap topik yang dibincang. Secara tidak langsung kita mampu memahami sesuatu topik dengan cepat, berkesan dan santai.
Teknik mengajar dan belajar ini memerlukan komitmen yang tinggi dari setiap ahli kumpulan yang dibentuk. Setiap pelajar perlu mempunyai kumpulan belajar mereka sendiri untuk subjek tertentu. Sebaiknya kumpulan belajar terdiri daripada ahli yang sama bidang pengajian, ini penting agar setiap ahli dapat memanfaatkan semua subjek yang dipelajari hanya dengan satu kumpulan belajar yang sama.
Ini adalah salah satu teknik belajar yang boleh digunakan oleh pelajar. Namun ini bukanlah satu-satunya teknik belajar yang terbaik dan berkesan. Banyak lagi teknik belajar yang lain boleh diaplikasikan oleh para pelajar. Apa yang penting teknik belajar itu sesuai dengan cara belajar kita secara peribadi.
No comments:
Post a Comment