Saturday, June 11, 2011

Bola,bola,bola, mari sepak bola.




11 Jun 2011 adalah tarikh penting yang akan dikenang oleh seluruh peminat bola sepak tempatan. Khususnya peminat bolasepak Terengganu dan Kelantan. Pada tarikh ini dua pasukan dari kedua-dua negeri ini akan bertarung merebut salah satu piala kebanggaan di Malaysia iaitu Piala FA.

Perlawanan akhir yang akan berlangsung pada tarikh ini sebenarnya satu pertemuaan yang menarik. Bukan saja kerana mempertemukan dua pasukan bolasepak dari Pantai Timur dan negeri berjiran, malah pertemuaan ini juga merupakan ulangan kepada pertemuaan di peringkat Liga yang baru saja berlaku pada isnin yang lalu. Tempo dan gerak serangan pada perlawanan tempoh hari masih lagi diingati oleh peminat bolasepak tempatan. Yang berkesudahan pasukan Kelantan berjaya menewaskan pasukan Terengganu dengan 3-0.


Keputusan isnin lalu juga menjadikan perlawanan akhir FA Cup ini lebih menarik kerana semua peminat bolasepak tempatan akan menanti corak permainan kedua-dua pasukan sama ada Terengganu mampu bangkit dan memberi persembahan sebenar mereka ataupun Kelantan tetap juga mampu mengekalkan corak menyerang yang dipamerkan tempoh hari.


Yang pasti kedua-dua pasukan akan menurunkan pemain terbaik masing-masing. Jika perlawanan isnin lalu terdapat pemain utama yang menyertai pasukan kebangsaan, tapi untuk perlawanan akhir ini mereka mungkin akan diturunkan.


Pasukan pilihan saya? He hehe... tengok plat no kereta saya!







Friday, June 10, 2011

Petikan



Menangani Pemandu Emosi, Agresif Di Malaysia – Mstar online (9/6/2011)



KUALA LUMPUR: Yusof, 21, adalah seorang penuntut institut pengajian tinggi dan seperti rakan yang lain beliau memiliki sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan seharian.
Bagaimanapun, bagi Yusof, menunggang motosikal juga membantu beliau menenangkan emosi.


"Apabila saya menghadapi masalah atau berasa bosan, saya menunggang secara semberono untuk melepaskan emosi yang terpendam. Walaupun dalam mood riang, saya suka menunjukkan rasa teruja saya semasa menunggang atau memandu.


"Saya ada kalanya melakukan perkara yang menakutkan di atas jalan. Bagi saya, adalah menyeronokan kalau dapat mengatasi pemandu lain. Ia juga menyeronokan untuk meninggalkan pemandu lain di belakang apabila bermula dari lampu trafik.


"Saya suka memotong kereta lain di lebuh raya walaupun saya tidak mempunyai alasan untuk sampai dengan cepat. Saya memaki hamun pemandu lain atas jalan. Saya naik marah terhadap mereka yang memandu perlahan. Saya potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik. Saya sentiasa menunggang atau memandu melampaui had laju.


"Saya menerima lima hingga tujuh saman sejak tiga tahun yang lepas. Terbabit dalam dua hingga empat kemalangan jalan raya, dan kebanyakannya kerana kecuaian sendiri," kata Yusof, seorang daripada pemandu/penunggang 'Emosi-Agresif' yang dikenal pasti semasa satu kajian profil pemandu muda berisiko tinggi.


Kajian ini dikendalikan oleh Dr Hasrina Mustafa dan Profesor Madya Dr Adnan Hussein, kedua-duanya dari Sekolah Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), dan Mohd Yusof Abdul Ghani dari Institut Malaysia bagi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).
Kajian psiko-sosial ini dijalankan ke atas 390 penuntut USM pada Januari 2010 untuk menilai pemandu muda di Malaysia bagi tujuan kempen keselamatan jalan raya berdasarkan kepada jenis personaliti, sikap dan tingkah-laku semasa memandu.


Kajian ini mengenalpasti ciri-ciri psiko-sosial utama pada pemandu/penunggang berisiko tinggi di Malaysia yang lazimnya mengalami kemurungan yang tinggi, cenderung mencari sensasi atau melepaskan geram atas jalan raya.


Oleh itu masalah mereka ini dapat dilihat dalam bentuk gaya memandu agresif atau berbahaya seperti memandu dengan laju, potong masuk dan keluar semasa menyusuri aliran trafik dan tidak berhenti di lampu merah.


Kumpulan berisiko tinggi ini sebahagian besarnya terdiri daripada lelaki dengan pengalaman memandu yang tidak seberapa.


Keselamatan jalan raya adalah isu besar di Malaysia. Statistik oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya baru-baru ini menunjukkan bahawa secara purata 18 orang maut setiap hari kerana kemalangan jalan raya.


Kemalangan jalan raya adalah punca utama kelima bagi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas beberapa penyakit dan punca utama ketiga bagi kematian di kalangan lelaki dan kesepuluh dalam kalangan wanita.



Thursday, June 9, 2011

MASB113: Tajuk 1 (Merdeka dan Pembentukan Malaysia



Bermula pilihanraya pertama yang memilih wakil untuk Majlis Tempatan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 1951 dan 1952 British bersetuju untuk mengadakan pilihanraya peringkat persekutuan pada 1955. Pilihanraya ini bagi menilai tahap penerimaan penduduk tempatan terhadap pemimpin tempatan pada masa itu. British berhak untuk tahu tahap penerimaan itu jika Tanah Melayu berhasrat untuk berunding tentang kemerdekaan.


Pilihanraya Persekutuan yang pertama itu telah mempertaruhkan 52 kerusi untuk direbut oleh beberapa parti politik ketika itu. Sejak tahun 1940-an di Tanah Melayu mula wujud kesedaran di kalangan pemimpin tempatan untuk berjuang membela kumpulan masing-masing berlandaskan parti politik. Maka ketika itu wujud parti-parti politik yang pada asalnya ditubuhkan sebagai sebuah badan kebajikan yang membela kaum dan kelompok masing-masing. Perubahan iklim politik ketika itu dengan cadangan dari British untuk melaksanakan Malayan Union. Keadaan ini telah membangkitkan semangat masyarakat tempatan berjuang berlandaskan parti politik.


UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum utama di Tanah Melayu ketika itu telah sepakat untuk bersama-sama menyertai pilihanraya 1955 secara berpasukan dengan nama Perikatan. Gabungan ini ternyata berjaya dalam pilihanraya tersebut apabila Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Manakala 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS.


Kejayaan gabungan Perikatan dalam pilihanraya ini telah membuka ruang untuk British berbincang berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu. Penerimaan penduduk tempatan terhadap perjuangan gabungan Perikatan memberi makna yang besar terhadap suasana politik ketika itu. Juga memberi makna terhadap hubungan sosial masyarakat di Tanah Melayu. Kesepaduaan masyarakat juga diambil kira oleh British untuk memberi kemerdekaan kepada sesebuah tanah jajahannya.


Suruhanjaya Reid ditubuhkan juga hasil daripada perkembangan terkini tentang keadaan politik di Tanah Melayu ketika itu. Suruhanjaya ini ditubuhkan bagi membincangkan satu Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Suruhanjaya yang dianggotai oleh beberapa wakil dari pemimpin tempatan dan juga wakil dari negara Komenwelth dan diketuai oleh Lord Reid. Apabila suruhanjaya ini selesai dengan tugas mereka bermakna Tanah Melayu telah hampir kepada kemerdekaan.


31 Ogos 1957 - Merdeka!


*kredit gambar dari casamidacrew.blogspot.com

Wednesday, June 8, 2011

Makan




Ramai orang yang bekerja mengabaikan keperluan tubuh badan mereka. Bagi mereka cukup sekadar mengisi perut agar tidak kelaparan. Apa yang dipentingkan adalah kerja yang berkesan bagi memenuhi tuntutan material yang semakin mencabar. Keperluan badan sebenarnya lebih daripada sekadar makan sahaja. Malah makan juga perlu mengikut cara dan disiplin yang betul agar tahap kesihatan tubuh badan kita sentiasa sempurna dan bertenaga.


Berdasarkan kajian oleh pakar kesihatan menyatakan bahawa pengambilan sarapan pagi yang berkesan akan menentukan tahap dan mutu kerja seseorang sepanjang hari itu. Kepentingan mengambil sarapan pagi ini telah kerap kali dibincangkan di media. Namun masih ramai golongan yang bekerja mengabaikan sarapan pagi. Tabiat ini juga turut diamalkan oleh pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi. Mereka mula 'skip' pengambilan sarapan dengan alasan mempunyai kelas yang bermula seawal jam 8 pagi. Tabiat ini dibimbangkan akan mempengaruhi keupayaan pelajar-pelajar ini mengikuti proses pembelajaran mereka.
Peningkatan harga makanan kesan daripada kenaikan harga bahan mentah juga menjadi alasan bagi kumpulan pelajar di IPT untuk mengurangkan pengambilan makanan termasuk sarapan pagi. Jadual makan mereka selalu dijamakkan, iaitu makan pagi digabung dengan makan tengahari ataupun makan malam sekali dengan makan tengahari. Fenomena ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tahap tumpuan pelajar terhadap pembelajaran mereka.

Semua pihak harus melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang serius, kerana untuk menjadi sebuah negara yang maju bukan sahaja memerlukan persediaan dari segi fizikal yang kuat malah mental yang baik. Semua ini akan terhasil hanya dengan pemakanan yang berkhasiat.



Tuesday, June 7, 2011

Bila ada masa...


Bila ada masa yang tidak diisi dengan apa-apa perkara yang berfaedah, ada baiknya kita membaca. Aktiviti membaca tidak pernah dikelaskan sebagai membazir masa. Jika kita penat dengan bacaan yang terlalu banyak fakta dan nombor yang perlu diingat maka ada baik juga kita memilih untuk baca bacaan yang santai sifatnya. Tetapi tetap[ juga bermaklumat. Buku-buku motivasi misalnya boleh juga meningkatkan kembali semangat kita. Cadangan salah satu buku untuk dibaca bila masa kita rasa diri kita kurang menghargai diri sendiri dan orang-orang yang mengambil berat tentang kita buku ini amat sesuai.

Buku ini disampaikan secara bersahaja. Disertakan dengan cerita-cerita dari kisah benar masyarakat. Dan pengalaman tokoh-tokoh yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Salah satu key-word yang boleh dipetik dari buku ini ialah 'jangan sekali-kali kita menghukum diri kita untuk semua kesalahan kita, tetapi kita bermula dengan satu usaha baru bagi mengelak dari kita lakukan kesalahan yang sama'.