‘Apakah cita-cita anda?’ Ramai dalam kalangan
mahasiswa tidak mampu menjawab dengan baik soalan di atas. Bagi mereka ini
adalah satu soalan yang hanya layak ditanya kepada pelajar sekolah rendah.
Kebanyakan mahasiswa merasakan tidak penting untuk mereka menjawab soalan
tersebut.
Pertama kali semasa di kelas guru akan bertanya
cita-cita kita. Dengan bangganya kita akan menjawab; apabila besar nanti saya bercita-cita
menjadi seorang doktor, guru, polis, bomba dan pelbagai lagi kerjaya yang dekat
dengan fikiran kita. Iaitu kerjaya yang biasa kita lihat, sama ada ia adalah
kerjaya ibu bapa kita, saudara-mara kita ataupun jiran tetangga kita.
Namun apabila kita melangkah ke sekolah menengah, kita
mula beranggapan bahawa soalan ini kurang penting untuk dijawab secara langsung
dengan apa-apa sahaja kerjaya seperti jawapan yang diberikan semasa di bangku
sekolah rendah. Perkara ini berulang
kembali sebaik kita berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian
tinggi, sama ada ke kolej mahupun ke universiti. Mahasiswa di institusi pengajian
tinggi kebanyakkannya akan ketawa sebaik sahaja soalan, ‘apakah cita-cita
anda?’ dikemukakan oleh pensyarah. Jika perlu juga menjawab soalan berkaitan
cita-cita ini mahasiswa akan memberi jawapan yang umum seperti, ‘saya
bercita-cita menjadi seorang yang berjaya’. Ada juga menjawab sebegini; ‘saya
akan berusaha menjadi seorang yang boleh dibanggakan oleh keluarga’. Jawapan
yang umum sebegini tidak akan memberi impak yang besar terhadap kerjaya
seseorang pada masa hadapan.
Mengapa penting kita menjawab soalan; ‘apakah
cita-cita anda?’ sebaik dan seikhlas hati? Jawapan perlu diberi secara tersusun
dan tepat sebaik sahaja ditanya oleh seseorang. Ini kerana jawapan tersebut
akan menjadi panduan sebenar ke mana arah tujuan seseorang selepas itu.
Cita-cita merujuk kepada harapan, perancangan,
keinginan seseorang berdasarkan kemampuan yang realistik untuk kehidupan pada
masa akan datang. Tempoh masa ini boleh sahaja jangka pendek selama lima tahun
akan datang ataupun sepuluh tahun yang mendatang. Cita-cita sering dikaitkan
dengan tempoh masa yang sesuai untuk kehidupan yang sebenar. Iaitu sebuah
kehidupan yang berkaitan dengan kerjaya, keluarga dan masyarakat. Cita-cita
seseorang akan melibatkan peluang kerjaya, pembinaan keluarga dan hubungan
seseorang itu sebagai ahli masyarakat. Dengan kata lain, cita-cita adalah
kehidupan seseorang selepas melalui satu tempoh ujian dan transisi seperti di
alam persekolahan dan pengajian tinggi ke alam masyarakat.
Penentuan sebuah kehidupan selepas melalui tempoh
transisi dari alam persekolahan secara formal kepada kehidupan yang melibatkan
sistem keluarga, sistem ekonomi, sistem sosial dan politik serta sosio-budaya
memerlukan perancangan yang terbaik. Perkara ini akan menentukan kejayaan
seseorang sepanjang kehidupannya yang akan diwarisi oleh keturunannya dari satu
generasi ke satu generasi akan datang. Penentuan kejayaan ini adalah
perancangan yang dimotivasikan oleh pembentukan cita-cita semasa tempoh usia
remaja.
p/s: teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2015 - terbitan Dewan Bahasa & Pustaka