Friday, June 17, 2011

Teknologi: Mangsa atau menguasainya?

KEPINTARAN telefon pintar tidak dapat dinafikan apabila kini perkakas ini menjadi teman 24 jam sehari kepada penggunanya.
Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga tahun 2010, 50 peratus daripada 33.4juta pengguna telefon bimbit di Malaysia telah beralih arah dari telefon mudah alih kepada telefon pintar.
“Dari jumlah ini, 30 peratus menggunakan 3G dan hanya 15 peratus pengguna yang benar-benar menggunakan sepenuhnya aplikasi yang ditawarkan telefon pintar.
“Selebihnya sekadar memiliki, guna untuk buat panggilan dan hantar pesanan ringkas (sms) sahaja,” kata Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia, Azli Paat kepada Mingguan mStar.
Azli berkata situasi seperti ini berlaku kerana penggunaan telefon pintar di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia menjurus kepada trend dan gaya hidup, bukan mengikut keperluan dan fungsi.
“Telefon pintar tak dapat dipisahkan dengan Internet. Tanpa Internet, telefon pintar tak lagi dianggap pintar,” katanya.
Situasi yang berlaku ini menyimpang daripada matlamat sebenar telefon pintar dicipta iaitu bagi memudahkan manusia menjalani rutin harian, tidak sekadar memberi hiburan semata-mata.
Pengguna yang memanfaatkan sepenuhnya telefon pintar akan melayari Internet, menghantar emel, melayari laman sosial, mencari peta dan kedudukan, merakam gambar dan video serta memuat turun lagu.

“Tidak hairanlah caj servis dan langganan yang dikenakan syarikat telekomunikasi agak tinggi menyebabkan kebanyakan pengguna telefon pintar hanya mampu membeli tetapi tidak mampu menanggung bil bulanan,” katanya.

Tambahnya, pengaruh jenama dan pemilik telefon pintar sekeliling juga membuatkan kebanyakan pengguna teruja memilikinya walau tidak tahu memanfaatkannya.
“Pengguna Blackberry misalnya, mereka tak langgan pelan data yang membolehkan mereka berhubung dengan pengguna Blackberry lain secara percuma.
“Pengguna iPhone pula ada yang tak ambil servis Internet sedangkan iPhone dicipta khusus untuk mereka yang sering melayari Internet,” katanya.
Kuatnya tarikan telefon pintar
Kegilaan pengguna terhadap telefon pintar mempunyai kaitan dengan perubahan zaman, pangkat dan kedudukan.
Azli berkata teknologi yang sentiasa berkembang dan aplikasi telefon pintar yang sering dinaik taraf menyebabkan sesebuah model telefon mampu bergelar ‘pintar’ hanya dalam tempoh enam hingga lapan bulan sahaja.
Jika 10 tahun lalu jenama atau kereta mewah melambangkan ketinggian status seseorang, kini telefon bimbit turut menjadi kayu pengukur status.
“Telefon pintar boleh dibawa ke mana-mana tak macam kereta atau banglo besar. Walau tanpa bateri atau tanpa servis Internet, tapi bila ia diletakkan atas meja di kedai makan, secara tak langsung pelanggan sekeliling akan melihat individu tersebut sebagai individu berstatus tinggi.
“Dulu, kita tak rasa hairan kalau emel lambat dibalas, tapi hari ini kita akan rasa pelik bila si penerima emel susah membalas emel,” dia memberi contoh.
Kepintaran telefon bimbit jenis ini juga tidak dapat dinafikan apabila ia mampu mengubah tabiat masyarakat dan konsep penggunaan laman sosial.
Dalam diam telefon pintar menjadi sebahagian daripada Facebook, Twitter, Foursquare dan sebagainya.“Masa khutbah Jumaat, biasanya khatib berpesan supaya jemaah tak berkata-kata. Bila ada telefon pintar, wujud pula larangan menghantar sms atau melayari Internet,” katanya.
Pintar dan sensitif
Walaupun setiap individu berhak memilih sama ada mahu menggunakan telefon pintar atau sebaliknya, mahu melanggan pakej Internet atau tidak untuk telefon pintar masing-masing, kepintaran penggunanya tetap dianggap penting.
Menurut Azli, pengguna perlu mempelajari selok-belok telefon pintar mereka kerana tanpa kebijaksanaan, tidak mustahil mereka akan mengalami kerugian dan mungkin tertipu sama ada secara sedar atau tidak.
Aspek yang patut diketahui termasuklah penjagaan, kecekapan memilih pakej mengikut kegunaan dan kemampuan mengawal penggunaannya.
Berbanding telefon bimbit biasa, telefon pintar lebih sensitif dan memerlukan penjagaan rapi kerana banyak perisian dan komponen kecil dimasukkan ke dalamnya.
“Guna telefon pintar sama macam guna komputer. Bezanya guna komputer ada kelas belajar komputer, tapi guna telefon pintar tak ada kelas,” katanya.
Jelasnya ramai pengguna seolah-olah tidak ambil tahu caj-caj yang dikenakan syarikat telekomunikasi terhadap mereka sehingga menyebabkan berlakunya ‘kebocoran wang’.
“Telefon pintar tidak sekadar panggilan keluar-masuk, tetapi juga melibatkan penggunaan data. Tidak seperti panggilan telefon yang dicaj mengikut minit, penggunaan data pula sukar dikesan saiznya.
“Muat turun data yang melebihi had membuatkan pengguna perlu membayar lebih,” katanya.
Tambahnya, pengguna telefon pintar perlu arif tentang servis, pakej dan langganan dari syarikat telekomunikasi.
“Syarikat komunikasi biasanya tak akan beritahu pelanggan kalau mereka ubah tarif. Begitu juga penggunaan melebihi had,” katanya.

Ubahsuai dari penulis asal; IZRA ABD RAHMAN (izra@thestar.com.my)

Thursday, June 16, 2011

MASB113: Pilihan Raya

Pilihan raya adalah satu proses pemilihan pemimpin negara oleh rakyat. Proses ini adalah antara unsur penting dalam sistem kerajaan demokrasi. Objektif utama proses pilihanraya ini supaya rakyat dapat menggunakan hak mereka untuk memilih corak Kerajaan yang boleh memerintah dengan baik dan adil. Melalui pilihan raya ini parti politik ( kumpulan parti politik) yang mendapat majoriti kemenangan akan mendapat mandat untuk mentadbir negara selama 5 tahun atau sehingga piluhan raya yang baru diadakan.

Di Malaysia, tanggungjawab untuk menguruskan proses pilihan raya diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Menurut Perlembagaan Peresekutuan (Malaysia) Perkara 113 sebuah badan bebas (SPR) perlu dibentuk untuk mengendalikan proses pilihan raya secara adil.

Setiap warganegara Malaysia yang telah mencapai usia 21 tahun ke atas adalah layak untuk mendaftar sebagai pengundi. Proses pendaftaran pengundi juga menjadi tanggungjawab SPR.

Proses pilihan raya ini akan bermula apabila Dewan Rakyat dibubarkan di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi peringkat negeri.

Tuesday, June 14, 2011

Persidangan Antarabangsa Pendidikan Pengajaran dan Pembelajaran 2011



International Conference on Teaching and Learning Education 2011 (ICTLE’11)

Gaya Pembelajaran dan Pengajaran Subjek Major dan Bukan Major di kalangan Pelajar Kejuruteraan di UNITEN.

Oleh:
Noor Azam bin Abdul Rahman, Mohd Norizan bin Hashim, Azmi bin Ahmad
Kolej Pengajian Asas dan Umum, UNITEN.


Abstrak

Gaya pembelajaran dan pengajaran memberi impak yang penting dalam kejayaan seseorang pelajar. Gaya pembelajaran ini dipengaruhi juga oleh bidang yang dipelajari. Ini kerana bidang teknikal dan bidang sains sosial contohnya, adalah satu perkara yang berbeza oleh itu gaya pembelajaran juga pastinya berbeza.

Kajian ini akan melihat hubungan gaya pembelajaran pelajar dalam subjek major dan bukan major yang diambil oleh para pelajar kejuruteraan di UNITEN. Selain daripada subjek-subjek major yang memfokus kepada bidang tertentu dalam kejuruteraan, pelajar ini juga diwajibkan mengambil subjek universiti dan subjek yang ditentukan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), seperti Pengajian Malaysia. Subjek ini adalah subjek sains sosial yang berbeza dengan subjek major kejuruteraan yang bersifat teknikal. Perbezaan gaya pembelajaran dan pengajaran tersebut akan dihuraikan dalam kajian ini. Kajian ini adalah berbentuk deskriptif yang menggunakan kaedah penyelidikan asas berpandukan borang soal selidik dan temubual.

Hasil kajian mendapati pelajar kejuruteraan di UNITEN mempunyai gaya pembelajaran dan pengajaran yang berbeza berdasarkan subjek major dan bukan major. Bagi subjek bukan major majoriti (75%) pelajar ini menggunakan gaya pembelajaran individu, manakala bagi subjek major pula majoriti menggunakan gaya pembelajaran berkumpulan.


Keyword: Gaya Pembelajaran dan Pengajaran, Sains Sosial, Kejuruteraan

Monday, June 13, 2011

MASB113 Tajuk 2: Ciri-ciri Asas Perlembagaan Malaysia

Antara ciri asas Perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut;


- Mengasaskan Malaysia sebagai sebuah persekutuan

- Sebagai negara berpelembagaan

-Sebagai negara demokrasi berparlimen

- Memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, namun menjamin kebebasan beragama

- memperuntukkan ketinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang

- Memperuntukkan pengasingan kuasa ketiga-tiga cabang pentadbiran iaitu Perundangan, Eksekutif dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiganya mempunyai status yang sama, tiada satupun yang lebih tinggi daripada yang lain dan setiap satunya mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang berbeza.

- memperuntukkan sebuah badan kehakiman yang berasingan dan bebas daripada kawalan Parlimen dan Eksekutif pula mempunyai bidang kuasa yang ekslusif untuk menentukan pertikaian dan hak-hak serta liabiliti lain dalam perlembagaan.


Latihan 1:


Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri pemerintahan tradisi di Tanah Melayu yang masih kekal di dalam Perlembagaan Malaysia?

Sunday, June 12, 2011

FA Cup

Akhirnya piala ini akan singgah ke Kuala Terengganu dan berehat di situ untuk satu musim. Walaupun pada awalnya dilihat seakan-akan terus ke Kota Bharu dari Bukit Jalil. Inilah bola sepak. Kadang-kadang ia menjadi permainan sukan yang paling kejam. Permainan yang boleh menimbulkan banyak emosi dalam satu masa. Gembira, ketawa, bersorak, sugul, termenung, geleng kepala dan sedih. semua emosi ini datang bertali arus.

Apa yang boleh kita belajar dari permainan bola sepak?

Banyak! Bola sepak bukan sekadar permainan berebut bola dan tendang ke pintu gol. Bukan sahaja permainan berlari-lari dan mengejar. Bukan hanya itu. Banyak yang kita boleh pelajari dari permainan ini. Bola sepak adalah permainan kehidupan. Perjalanan hidup kita sama saja dengan permainan ini. Pada satu masa kita boleh bersorak kegembiraan dan dalam masa yang lain pula kita dikutuk hanya kerana kesilapan kecil kita. Permainan ini memerlukan banyak kebijaksanaan. Bijak mengawal bola, bijak berkomunikasi dengan kawan, bijak membaca tektikal lawan dan bijak merebut peluang menjaringkan gol. Itulah kehidupan.

Dalam melayari kehidupan seharian kita amat memerlukan semua kemahiran dalam permainan bola sepak. Kita perlukan kawan dan masyarakat untuk membantu kita mencapai kejayaan. Hubungan ini memerlukan cara komunikasi yang baik. Ketika kita berjaya dalam hidup banyak cabaran yang kita perlu tempuhi, sama seperti semasa kita berjaya membawa bola. Ketika bola di kaki kita ramai lawan yang cuba merampasnya dari kita. Namun jika kita bijak kita akan lorongkan bola itu kepada kawan kita sebelum bola itu dapat dirampas oleh lawan, kerana jika lambat bola mungkin hilang atau kita mungkin akan tercedera. Dan jika lorongan kita itu betul bola tersebut akan mampu dijaringkan ke dalam gol. Seperti kehidupan kita, jika kita berkerjasama menjayakan sesuatu pastinya pihak lawan tidak mampu menggugat kita dan pastinya akan mencapai kejayaan iaitu apa yang menjadi goal kita.

Mungkin pasukan Kelantan agak lega semasa mendahului dengan 1-0 sehingga waktu kecederaan mereka berasakan seperti telah berada diambang kejayaan. Dan ketika ini pihak lawan mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol. Dalam realiti kehidupan kita sering berkeadaan begitu. Di saat kita hampir mencapai kejayaan kita mula leka dengan perasaan yang macam-macam sehingga kita sering terlepas peluang untuk mengecapinya. Kita sering memberi peluang kepada orang lain untuk mencapai kejayaan kerana kebanyakan dari kita lebih senang melihat kejayaan daripada merasai kejayaan itu sendiri.

Tahniah pasukan Terengganu kerana mempunyai kekuatan mental untuk bertarung sehingga ke wisel yang terakhir.

Pasukan Kelantan juga, sekalung Tahniah kerana mempunyai peluang untuk merangkul kejayaan ini. Hari ini (ahad) telah diishtiharkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan.

Saya tetap menyokong pasukan yang sama!