Tuesday, July 1, 2014

Ajaibnya Ramadhan

Alhamdulillah.
Segala puji dan syukur setingginya kepada Tuhan Yang Maha Esa, di atas kesempatan yang diberikan untuk sekali lagi menjalani hari-hari yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan Al Mubarak, bulan puasa yang berkat dan ajaib.


Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang diwajibkan kepada seluruh umat Islam untuk berpuasa. Iaitu menahan diri dari mengikut hawa nafsu yang melampau. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk merasai kehidupan yang sederhana dalam semua perkara. Siangnya kita dilarang makan dan minum serta ditegah dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Manakala di malamnya kita digalakkan menghidupkan suasana malam dengan beribadah serta berserah diri kepada Tuhan sebaiknya dan semampunya.


Bulan ini adalah pentas latihan untuk kita menjalani kehidupan yang tersusun pada sebelas bulan yang lain. Bulan ini juga adalah ujian kepada semua umat Islam tentang kesetiaan dan kesediaan kita mengubah gaya hidup seharian dengan bercirikan kehidupan seorang yang beragama Islam yang terbaik.Islam itu indah. Islam itu sederhana dan terbaik. Cara hidup Islam itu tersusun dan sistematik yang sesuai sepanjang zaman, juga sesuai untuk semua generasi. Keindahan Islam terserlah melalui cara hidup umatnya yang sentiasa positif dalam semua perkara. Namun semua ini hanya terjadi apabila kita berjaya menjalani kehidupan di bulan Ramadhan berdasarkan garis panduan yang betul. Setiap iktibar dan pengajaran dari Ramadhan mampu kita hayati sepenuhnya.


Rutin harian kita pasti berubah sepanjang bulan Ramadhan. Jadual tidur malam kita telah bertukar dari tidur lewat malam dan bangkit pagi yang lewat kepada tidur awal dan bangkit awal pagi untuk bersahur. Selepas bersahur kita terus sahaja solat subuh dan bersiap ke tempat kerja. Solat subuh pastinya akan tepat pada masanya. Ini sesuatu yang positif. Kita lebih peka pada masa dan waktu solat, terutamanya waktu magrib (untuk berbuka) dan waktu subuh (untuk tamat bersahur). Sepanjang ramadahan juga kita berusaha untuk tidak melakukan perkara yang membazir seperti berbual kosong, mengumpat, lepak di tempat awam dan sebagainya. Sebagai ganti kita akan cuba untuk penuhi masa kita dengan sesuatu yang bersifat kerohanian iaitu kita cuba membaca al-Quran, solat Jemaah di Masjid dan membaca buku-buku keagamaan. Inilah ajaibnya Ramadhan.


Keajaiban Ramadhan memang terserlah dalam masyarakat kita. Sepanjang bulan ini kita dapat lihat betapa senangnya kita mendapat rezeki (murah rezeki). Bagi yang minat berniaga, kita mampu berniaga apa sahaja sepanjang bulan ini dan pastinya akan mendapat sambutan yang baik. Jika kita seorang pelajar, dalam tempoh Ramadhan ini juga idea dan kefahaman kita lebih jitu, kerana kita mempunyai masa yang tersusun untuk belajar. Masjid dan surau juga sentiasa penuh pada setiap kali waktu solat. bagi sesiapa yang sebelum Ramadhan jarang ke masjid juga akan tergerak hati untuk solat berjemaah di masjid. Suasana sepanjang bulan ini sungguh indah dan harmoni.


Bagi yang menghayati keberkatan Ramadhan pastinya dapat melihat keajaiban bulan istimewa ini dengan jelas. Keajaiban bulan ini sebaiknya diteruskan pada bulan-bulan yang lain dengan amalan yang sama. Perkara ini memerlukan kekuatan hati setiap dari kita. Hati kita perlu istiqamah dan konsisten.


Ajaibnya Ramadhan.
Alhamdulillah.





1 comment:

b.tan said...

assalamualaikum en. azam...
selamat menjalani ibadah puasa yang penuh barokah ini. semoga mendapat lailatul qadar yang dijanjikan oleh Allah kepada kita semua. Amiin...