Tragedi
dalam sistem peperiksaan di Malaysia telah berlaku sepanjang tempoh
perlaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) baru-baru hari. Peperiksaan UPSR 2014 telah mencatatkan sejarah
baru dalam kalender penilaian negara. Sejarah kerana peperiksaan yang bertujuan
untuk menilai pada peringkat awal di sekolah rendah juga berlaku kebocoran
soalan.
Soalan
bocor bermakna calon mendapat maklumat berkaitan soalan bagi mata pelajaran tertentu
lebih awal sebelum peperiksaan sebenar bermula. Maklumat yang bocor boleh
sahaja sepenuhnya, sebahagian ataupun hanya satu soalan sahaja. Namun ia memberi kesan kepada potensi calon
untuk menjawab peperiksaan tersebut. Potensi berlakunya peniruan ini
menjejaskan matlamat sebenar proses peperiksaan dijalankan. Sehingga pihak yang
bertangungjawab mengendalikan peperiksaan terpaksa menjadualkan kembali
peperiksaan bagi mata pelajaran berkaitan.
Setakat
ini dua mata pelajaran telah disahkan akan dijalankan pada tarikh lain yang
telah ditetapkan. Kertas Bahasa Inggeris dan Sains telah dijadualkan semula
pada hujung bulan ini. Bagi kertas Bahasa Inggeris, peperiksaan sebenar telahpun
dijalankan baru-baru ini. Manakala mata
pelajaran Sains belum sempat dijalankan.
Persoalannya
mengapa berlaku? Semua pihak bising
dengan soalan ini. Pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat semuanya menimbulkan
persoalan, mengapa? Dan semua pihak yang
berkaitan juga mula menuding jari masing-masing mengarahkan kepada sesiapa
sahaja. Budaya ‘bangau oh bangau’ sentiasa berlaku apabila sesuatu kes terjadi di Malaysia.
Masing-masing akan menyalahkan antara satu sama lain. Sehingga bola kesalahan
itu melantun ke merata-rata tempat yang sukar untuk dicari, akhirnya akan
hilang dan senyap begitu sahaja. Kemudian isu yang sama tidak mustahil akan
berlaku kembali.
Isu
ini adalah isu nasional yang melibatkan hak masyarakat. Oleh itu jika kita
ingin menyelesaikan isu ini perlu
dilihat pada peringkat yang paling asas dalam masyarakat
kita. Soalan-soalan asas berkaitan isu
ini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum memikirkan cara penyelesaian yang
terbaik.
Ibarat
sebuah perniagaan, isu ini juga berkait dengan permintaan dan penawaran. Soalan bocor kerana wujudnya permintaan yang tinggi terhadap soalan
tersebut. Bayangkan jika tiada
permintaan adakah individu atau pihak tertentu mengambil risiko yang
besar untuk membocorkan soalan. Kebocoran soalan ini pastinya berbaloi bagi
yang terlibat. Dengan risiko yang besar mereka sanggup melakukan juga kerana
permintaan terhadap soalan ini sangat tinggi.
Logiknya
bagaimana masih terdapat individu atau pihak tertentu yang sanggup melakukan perkara ini dalam suasana nilai integriti yang
dipandang tinggi oleh semua pihak. Pelbagai usaha dan kempen telah berjaya
mewujudkan suasana integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita hari
ini. Namun masih ada pihak yang sanggup mengorbankan integriti dalam soal
kebocoran soalan ini.
Mengapa
permintaan terhadap soalan UPSR ini
tinggi? Ini hanyalah UPSR. Iaitu satu
proses penilaian yang asas bagi pelajar sekolah rendah. Kejayaan di peringkat
ini akan menempatkan pelajar ke sekolah terpilih di Malaysia. Kejayaan
cemerlang dalam UPSR dijadikan tanda aras bagi pelajar untuk diasingkan
mengikut tahap keupayaan mereka di peringkat sekolah menengah.
Walaupun
UPSR hanya proses penilaian bagi penempatan pada peringkat sekolah menengah kemudiannya, namun nilai kejayaan itu diletak
pada tingkat yang penting oleh masyarakat. Ibubapa sanggup melakukan apa sahaja
demi kejayaan anak-anak mereka di peringkat UPSR. Kelas tusyen bermula dari tahun satu persekolahan, latih
tubi yang bertubi-tubi dan pelbagai usaha lain dengan satu matlamat agar anak
mereka beroleh keputusan cemerlang dalam UPSR.
Masyarakat
kita telah memberi nilai kejayaan yang maha besar kepada setiap peperiksaan
yang dijalankan di peringkat sekolah. Nilai ini termasuk juga bagi UPSR. Dengan
nilai yang melampau ini telah meletakkan pelajar yang beroleh
kejayaan cemerlang dipandang sebagai pelajar terhebat dan mempunyai bintang
masa depan yang amat cerah. Bagi pelajar yang gagal, walaupun di peringkat UPSR
akan dilihat sebagai tidak berguna dan malap masa depan mereka. Tetapi
realitinya amat berbeza. Kerana UPSR hanyalah saringan awal dalam proses persekolahan di Malaysia.
Saringan ini bukan indicator yang tepat bagi menilai kejayaan seseorang pada
masa hadapan.
Budaya
masyarakat terhadap peperiksaan ini telah mewujudkan rasa resah dan keinginan yang tinggi dari kalangan ibubapa terhadap kejayaan anak-anak
mereka. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila permintaan untuk berjaya dalam peperiksaan
tersebut sangat tinggi sehingga terdapat ibubapa yang sanggup melakukan apa
sahaja demi kejayaan anak-anak mereka, termasuk mendapatkan soalan awal dari
pihak tertentu (soalan bocor).
Asasnya
adalah persepsi masyarakat tentang peperiksaan. Masyarakat meletakkan kejayaan
dalam sistem persekolahan di Malaysia pada nombor-nombor tertentu yang menentukan
gred sesesorang. Penilaian diukur dari berapa banyak ‘A’ yang diperolehi. Semakin
banyak ‘A’ yang berjaya dikumpul
bermakna semakin hebat dan bertuahlah ibubapa yang membesarkan anak-anak
mereka. Ukuran berjaya-gagal yang dinilai adalah berdasarkan ukuran yang objektif.
Walaupun ukuran objektif selamanya tidak tepat untuk mengukur sesuatu yang
subjektif seperti kejayaan dalam hidup.
Persepsi
hanya dapat diubah dengan
pemupukan nilai –nilai hidup yang berasaskan agama dan
kepercayaan. Bermula dengan pegangan
yang kukuh terhadap nilai kepercayaan agama akan melahirkan nilai budaya
yang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat. Oleh itu dalam menyelesaikan apa
sahaja isu dalam masyarakat, perlu ditangani dengan konsep agama dan
kepercayaaan. Nilai kejayaan dari perspektif agama akan sendirinya membentuk
budaya dalam masyarakat.
Namun
proses ini terlalu panjang dan berperingkat-peringkat. Bermula dari rumah dan membentuk ahli
masyarakat, seterusnya negara. Proses ini yang perlu disuburkan kembali dalam kalangan
masyarakat kita hari ini. Persepsi nilai
kejayaan pelajar perlu diberi definisi baru oleh masyarakat. Agar kita tidak
terlalu taksub dengan sistem gred yang objektif, yang pastinya tidak tepat dan
berbagai-bagai.
Dalam
isu ini, apabila soalan UPSR telah
terlepas kepada pihak tertentu dan
dikongsi bersama melalui pelbagai media terutamanya media sosial popular,
bermakna masyarakat memang memerlukan soalan tersebut. Jika ada kesempatan
mereka akan menggunakannya. Permintaan dan keinginan terhadap gred yang bagus
dalam peperiksaan telah mendorong mereka untuk berkongsi maklumat berkaitan
soalan tersebut. Ini yang dikatakan berkait dengan nilai hidup dan persepsi
masyarakat terhadap peperiksaan itu sendiri.
Cara
terbaik untuk mengatasinya, disarankan pelbagai pihak mengubah persepsi tentang
peperiksaan itu sendiri. Peperiksaan bukan sekadar menghitung jumlah gred yang
berjaya dikumpul malah ia juga proses pembentukan kematangan
pelajar. Para pelajar perlu diberi ruang dan peluang bagi mereka memilih
kecenderungan yang mereka ada untuk masa depan mereka. Penilaian pula bukan
hanya melalui bilangan ‘A’ yang berjaya dikumpul.
Sebaiknya,
semua pihak mengambil pengajaran daripada isu ini. Hendaknya ini adalah kes
terakhir yang membabitkan kebocoran soalan peperiksaan utama dalam sistem
pendidikan kita. Tumpuan dan usaha pelbagai pihak termasuk ibubapa, guru dan
masyarakat dalam menangani isu ini perlu juga mengambil kira emosi dan perasaan
calon peperiksaan yang terpaksa menempuh sekali lagi demam peperiksaan yang
telah ditunda. Sama-sama kita berfikir dan bersimpati untuk mereka.
No comments:
Post a Comment