Sunday, October 11, 2015

Jaga Diri Jaga Kesihatan Jaga Emosi

Rasa sihat secara fizikal dan mental memerlukan sedikit usaha yang berterusan. Istiqamah. Konsisten. Untuk mencapai matlamat hidup yang digariskan memerlukan fizikal dan mental yang sihat. Ramai daripada kita lebih mementingkan penjagaan kesihatan fizikal berbanding kesihatan mental. Hingga akhirnya fizikal kita nampak sihat namun mempunyai peribadi yang tidak sihat kesan daripada mental yang 'berpenyakit'.
Statistik menunjuk bahawa setiap tahun berlaku peningkatan terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental, terutamanya di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Penang dan Johor Bharu. Antara punca fenomena ini berlaku disebabkan oleh kesilapan dalam mengurus emosi dengan baik.
Kesihatan mental bermakna pengurusan emosi, sifat dalaman dan spiritual yang baik hingga menghasilkan mental yang sihat walafiat. Penjagaan mental yang sihat memerlukan keseimbangan yang baik antara hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan manusia serta hubungan dengan alam. Kejayaan mengurus hubungan yang baik antara tiga eleman utama ini akan menghasilkan kesihatan mental yang juga baik.

Jaga Diri.
Sama-sama berpesan kepada diri sendiri dan individu yang dekat dengan kita agar sentiasa menjaga diri. Menjaga keadaan fizikal dari diancam oleh perkara yang memudaratkan. Melindungi diri secara fizikal agar tidak terdedah dengan perkara yang boleh merosakkan keindahan fizikal kita. Menjaga diri agar sentiasa sihat dan kuat. Agar sentiasa terhindar daripada segala penyakit yang boleh mengganggu impian yang lebih besar dalam hidup.
 
Jaga Kesihatan.
Bila berpenyakit banyak perkara akan terganggu. Banyak impian tidak mampu dicapai dengan baik. Usaha yang dilakukan sejak dari kecil berpotensi untuk gagal bila kita diserang penyakit. Penyakit biasanya mudah menjangkiti individu yang terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat seperti pemakanan yang tidak berkhasiat, kawasan tempat tinggal yang tidak bersih dan persekitaran yang tidak selesa. Kesihatan fizikal mampu dijaga dengan cara pemakanan yang sihat dan betul. Banyak penyakit yang dihidapi kini berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat. Waktu makan yang tidak teratur serta cara makan yang tidak betul. Jaga kesihatan dengan disiplin diri yang baik terhadap pemakanan. Sentiasa lakukan senaman fizikal yang berkala dan terancang.
 
Jaga Emosi.
Kesihatan mental yang baik berpunca daripada kawalan emosi yang baik. Kawalan emosi yang baik pula mampu dilakukan dengan hubungan yang baik dengan Tuhan, orang yang rapat dengan kita (keluarga, kawan-kawan) serta alam sekitar. Jaga emosi agar tidak terganggu dengan perkara yang remeh seperti sifat dengki dan cemburu. Rasa tidak selesa dengan persekitaran yang melibatkan orang lain hingga mengganggu emosi. Adalah sesuatu yang sia-sia bila kita merosakkan emosi hanya kerana dipengaruhi oleh emosi orang lain. Contohnya orang yang sentiasa merendahkan keupayaan kita, tidak perlu dibuktikan dengan emosi seperti bermasam muka, kecewa atau merajuk atau berputus asa. Sebaliknya emosi yang baik akan menerima tanggapan tersebut sebagai cabaran yang baik yang mampu meningkatkan motivasi hingga Berjaya.

No comments: