Minggu ini massa berpolemik berkaitan BR1M. Pelbagai pendapat dan tafsiran telah dihujahkan bagi mempertahankan pendapat masing-masing. Kebanyakannya meluahkan pendapat berdasarkan motif dan kedudukan masing-masing. Apa kapasiti yang ada semasa memberi pendapat itu yang menentukan definisi terhadap BR1M ini. Pihak Pemerintah mempunyai pandangannya sendiri tentang kewajaran bantuan tersebut diberi kepada rakyat. Manakala pihak Oposisi juga mengemukakan pandangannya dari sudut tafsiran yang pasti memberi faedah politik kepada pihak mereka. Kecelaruan pendapat yang pelbagai ini menjadikan massa keliru antara yang benar, baik, haram, tidak baik dan sebagainya.
Terlalu banyak pendapat yang bercanggah akan menjadikan suasana masyarakat tidak kondusif, apatah lagi jika yang dibincangkan melibatkan soal halal dan haram. Soal hukum adalah sesuatu yang besar kesannya jika tidak dijelaskan sebaiknya oleh pihak yang sepatutnya. Berpolemik secara terbuka dengan nada berbaur politik akan menjadikan rakyat massa muak dan 'malas' untuk mengambil tahu tentang isu tersebut. Kesannya kedudukan sebenar isu tersebut tidak dapat dikongsi kebaikannya kepada seluruh rakyat.
Isunya apabila Pemerintah mula memperkenalkan pemberian wang secara tunai kepada rakyat dengan pelbagai jenama. Program pemberian wang tunai ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Sama ada golongan tua, ibu tunggal, pelajar, belia, mahasiswa dan lain-lain lagi dengan pelbagai jenama berkonsepkan 1Malaysia. Pemberian wang tunai @ baucer ini menjadikan masyarakat teruja dan kecoh. Kerana sebelum ini tiada program seumpama ini dijalankan oleh pemerintah.
Sesuai dengan suasana pilihanraya yang hampir tiba, pemberian wang tunai @ baucer ini ditafsirkan oleh pihak oposisi sebagai umpan pilihanraya dari pihak pemerintah. Ada logiknya kerana kesan daripada pelaksanaan program ini adalah positif jika diukur dari segi sokongan kepada pemerintah. Rakyat yang sememangnya memerlukan bantuan seumpama itu akan rasa berterima kasih kepada pihak pemerintah yang memperkenalkan program tersebut. Dengan andaian begitu, pihak oposisi merasakan pemerintah telah menggunakan program tersebut sebagai salah satu cara untuk memancing undi.
Dari sudut tafsiran pihak oposisi, pemberian wang tunai @ baucer secara berleluasa ini akan memberi kesan jangka panjang yang negatif, terutamanya dari sudut pembangunan sosio-ekonomi masyarakat. Program sebegini hanya akan memberi kesan positif untuk jangka pendek sahaja. Oleh itu timbul pelbagai tafsiran dan hukum yang dikaitkan dengan program ini. Ada pendapat mengatakan ianya haram, ada pula halal, tidak kurang juga mengatakan 'ok' saja.
Sebagai rakyat kita mungkin keliru dengan polemik ini. Tambahan pula apabila ia dikaitkan dengan hukum agama Islam. Ia akan menjadi lebih serius bagi orang Islam jika program ini disahkan 'haram'. Pihak yang berkecuali perlu menjadi 'orang tengah' bagi membetulkan definisi serta pelaksanaan program ini. Jika ia benar memudaratkan masyarakat adalah lebih baik diberhentikan. Namun jika masih boleh diperbaiki dan diperbetulkan adalah perlu disegerakan. Sebagai rakyat kita perlukan suasana negara yang aman yang tidak menjadikan semua perkara itu isu politik yang boleh dipolemikkan. Cukuplah selama ini semua perkara kita telah politikkan.
No comments:
Post a Comment