Saturday, September 28, 2013

Baca dan Membaca

Sejak dari kecil kita didedahkan dengan kebaikan membaca. Langkah pertama menjejakkan kaki ke sekolah kita telah diwarwarkan dengan kebaikan membaca. Membaca jambatan ilmu, membaca meluaskan pandangan, nikmati pengalaman dengan membaca. Ini adalah sebahagian slogan indah tentang aktiviti membaca dan kebaikannya.

Di sekolah kita membaca kerana wajib membaca. Aktiviti membaca bukan sesuatu yang menarik dan dilakukan secara sukarela. Waktu itu aktiviti membaca bermatlamat untuk mengetahui sebagai persediaan untuk ditanya kembali dalam peperiksaan dan sebagainya. Oleh itu proses membaca lebih kepada aktiviti mengingat dan menghafal sesuatu. Biasanya aktiviti menghafal tidak akan memberi pengajaran yang lebih daripada mengingat sahaja. Maknanya seseorang akan mengingati apa sahaja yang dibaca untuk tempoh tertentu sehingga segala yang diingat itu diluahkan atau dikemukakan semula seperti dalam peperiksaan contohnya. setelah selesai peperiksaan kebiasaannya kita akan lupa kembali apa sahaja yang diingat dan dihafal sebelumnya. Ini adalah hasil daripada proses membaca di sekolah. Iaitu membaca untuk tujuan peperiksaan. Oleh itu tidak menjadi sesuatu yang pelik jika pelajar kita hari ini dilihat sebagai pelajar cemerlang tetapi tidak berpengetahuan. Mereka dilihat bijak jika diukur dari keputusan peperiksaan utama, tetapi tidak faham dan tahu perkara lain yang berkaitan dengan ilmu yang dipelajari yang diluar silibus yang dihafal. Mereka juga lemah dari segi penggunaan pengalaman membaca untuk mengemukakan pendapat sendiri berkaitan sesuatu isu penting.

Jika tidak diuji dengan peperiksaan berkemungkinan pelajar kita tidak akan membaca serajin sekarang. Mereka mampu membaca kesemua topic yang disediakan mengikut sukatan mata pelajaran yang dipelajari. Mereka juga sanggup membaca bahan lain yang berkaitan dengan sukatan mata pelajaran tersebut. Mereka memang rajin membaca, namun semuanya adalah persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Tumpuan, teknik, dan kaedah yang diaplikasikan berlandaskan topic yang telah ditetapkan. Perkara yang diluar bidang dan topic kebiasaannya tidak diberi tumpuan dan bacaan mereka.
Proses membaca pasca peperiksaan berbeza daripada sebelumnya. Keinginan untuk memahami serta mengetahui apa yang dibaca melebihi ketakutan dan gemuruh menghafal serta mengingati untuk peperiksaan. Nilai ini menjadikan proses tersebut lebih kekal dan berguna kepada pembaca. Bahan yang dibaca kebiasaannya mampu untuk mengubah pemikiran, ideology, pegangan serta pemikiran seseorang, yang mampu diterjemahkan dalam bentuk amalan seharian.

Perbezaan yang ketara dalam proses membaca dan keinginan untuk membaca. Motivasi yang berbeza dalam proses pembacaan telah menghasilkan kesan yang juga berbeza. Pada peringkat awal proses pembacaan di sekolah juga boleh dipupuk sehingga menjadi amalan dan kebiasaan yang mampu menggerakkan minat untuk terus membaca walaupun tidak lagi diuji dengan peperiksaan.

Jom membaca!