Thursday, February 23, 2012

Bolasepak dan Patriotisme

Lihat saja stadium apabila perlawanan bolasepak berlangsung. Pasti penuh dengan penyokong yang pelbagai ragam. Tanpa mengira usia dan latarbalakang masing-masing boleh duduk bersama memberi sokongan kepada pasukan pilijan mereka. Sama ada kelab di peringkat negeri, kebangsaan ataupun antarabangsa sikap dan minat itu tetap sama. Senario yang sama pasti berlaku. Dan kemungkinan untuk mempertahankan pasukan sokongan masing-masing amat tinggi sehingga sanggup mencetuskan perbalahan demi mempertahankan pasukan yang diminati.
Itulah bolasepak. Peminat pasukan bolasepak. Mereka akan dapat bersama berkongsi minat dan cerita berkaitan pasukan mereka dengan sesiapa sahaja. Tanpa mengira latarbelakang, agama dan kepercayaan, warna kulit dan fahaman politik masing-masing.
Menariknya apabila pasukan kebangsaan negara bertanding dalam apa saja kejohanan semua rakyat Malaysia akan bersatu memberi sokongan. Sebagai tanda sokongan mereka sanggup berbelanja membeli jersi, topi, dan cenderamata yang berlogokan pasukan Malaysia. Semasa perlawanan mereka sanggup menconteng muka dengan warna Jalur Gemilang. Semangat yang tinggi terhadap negara melalui sukan bolasepak ini amat membanggakan.
Sesuai dengan definisi patriotisme iaitu satu semangat yang hadir dalam setiap warganegara terhadap negaranya dengan rasa cinta dan sayang pada tahap yang tinggi.
Nilai patriotisme yang tercetus daripada sukan bolasepak ini sepatutnya diambil perhatian oleh pihak yang berkewajiban dan bertanggungjawab membina nilai bangsa bagi sebuah negarabangsa Malaysia.

Apa kata anda?