Sunday, May 29, 2011

Cuti Hujung Minggu

Di Malaysia, walaupun kita telah merdeka lebih daripada 50 tahun namun cuti hujung minggu kita masih tidak dapat diseragamkan di setiap negeri di Malaysia. Perkara yang dilihat paling 'simple' dan mudah untuk diubah namun kita masih tidak lagi mampu berbuat demikian.

Kesan pentadbiran penjajah, khususnya pada zaman pentadbiran British di Tanah Melayu masih lagi digunapakai sehingga kini. Ketika British mentadbir Tanah Melayu, negeri-negeri di Tanah Melayu telah diasingkan kepada 3 kumpulan, iaitu Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Singapura), Negeri Melayu Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, N. Sembilan), Negeri Melayu Tidak Bersekutu ( Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor). Pecahan kelompok negeri-negeri ini memberi kesan terhadap cara British mentadbir. Kesan tersebut masih dapat dilihat sehingga kini, selepas kita merdeka. Antaranya adalah berkaitan cuti hujung minggu. Negeri Melayu Bersekutu sehingga kini melaksanakan cuti hujung minggunya pada hari Sabtu dan Ahad, manakala Negeri Melayu Tidak Bersekutu pada hari Jumaat dan Sabtu. Cuma negeri Johor sahaja telah mengubah cuti hujung minggunya sama seperti Negeri Melayu Bersekutu.

Walaupun kini tiada lagi kelompok Negeri Melayu Bersekutu atau sebagainya, kini semua negeri satu Malaysia adalah di bawah pentadbiran kerajaan Malaysia yang telah merdeka lebih 50 tahun, tetapi kita masih lagi melaksanakan sistem yang dimulakan oleh penjajah pada zaman Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Perkara ini dilihat remeh bagi sesetengah pihak. Ia cuma cuti hujung minggu. Cuma berkaitan pemilihan hari untuk bercuti setelah seminggu bekerja keras di tempat kerja masing-masing. Namun ini secara tidak langsung sedikit mencacatkan kemeriahan kita meraikan tempoh kemerdekaan kita yang dicanang telah mampu mentadbir secara sendiri dengan pemimpin tempatan yang berwibawa.

Ini adalah contoh kecil yang kita dapat lihat kesan pentadbiran British di Tanah Melayu. Jika kita meninjau ke dalam sistem pendidikan yang kita gunapakai sekarang pastinya kita akan lihat contoh-contoh lain yang kita warisi dari penjajah.

Di kebanyakan negara yang pernah dijajah oleh kuasa besar akan mewarisi cara dan konsep pentadbiran yang dipraktiskan oleh penjajah tersebut. Hal ini termasuklah Malaysia. Kita tidak dapat berbeza 100% daripada kuasa yang pernah mentadbir kita. Mungkin tempoh lebih 50 tahun masih tidak cukup untuk kita berubah secara total. Kerana ada juga sistem yang digunakan oleh penjajah itu masih relevan dengan masa kini yang boleh terus dipraktiskan di Malaysia pada zaman ini. Tidak semua perkara yang dilaksanakan oleh British khususnya dan penjajah lain di Tanah Melayu sebelum ini perlu dibuang. Mungkin cuti hujung minggu yang kita warisi hingga kita dilihat tidak perlu diubah berdasarkan faktor-faktor yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sehingga kini.

Tidak kira hari apa yang kita pilih untuk bercuti hujung minggu apa yang lebih penting ialah bila tiba hari untuk kita memulakan kembali kerja kita telah bersedia dengan semangat dan idea baru, kesan dari rehat dan rekreasi kita semasa berhujung minggu. Dilihat di Malaysia cuti hujung minggu ini tidak memeberi kesan yang negatif kepada produktiviti kerja kita walau hari apapun yang kita berhujung minggu. Mungkin sebab itu rasanya tidak perlu kita bazirkan masa berfikir tentang hari cuti ini.