Sunday, March 8, 2015

"Apakah Cita-cita anda?"- Soalan yang masih relevan kepada remaja


‘Apakah cita-cita anda?’ Ramai dalam kalangan mahasiswa tidak mampu menjawab dengan baik soalan di atas. Bagi mereka ini adalah satu soalan yang hanya layak ditanya kepada pelajar sekolah rendah. Kebanyakan mahasiswa merasakan tidak penting untuk mereka menjawab soalan tersebut.

Pertama kali semasa di kelas guru akan bertanya cita-cita kita. Dengan bangganya kita akan menjawab; apabila besar nanti saya bercita-cita menjadi seorang doktor, guru, polis, bomba dan pelbagai lagi kerjaya yang dekat dengan fikiran kita. Iaitu kerjaya yang biasa kita lihat, sama ada ia adalah kerjaya ibu bapa kita, saudara-mara kita ataupun jiran tetangga kita.

Namun apabila kita melangkah ke sekolah menengah, kita mula beranggapan bahawa soalan ini kurang penting untuk dijawab secara langsung dengan apa-apa sahaja kerjaya seperti jawapan yang diberikan semasa di bangku sekolah rendah.  Perkara ini berulang kembali sebaik kita berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, sama ada ke kolej mahupun ke universiti. Mahasiswa di institusi pengajian tinggi kebanyakkannya akan ketawa sebaik sahaja soalan, ‘apakah cita-cita anda?’ dikemukakan oleh pensyarah. Jika perlu juga menjawab soalan berkaitan cita-cita ini mahasiswa akan memberi jawapan yang umum seperti, ‘saya bercita-cita menjadi seorang yang berjaya’. Ada juga menjawab sebegini; ‘saya akan berusaha menjadi seorang yang boleh dibanggakan oleh keluarga’. Jawapan yang umum sebegini tidak akan memberi impak yang besar terhadap kerjaya seseorang pada masa hadapan.

Mengapa penting kita menjawab soalan; ‘apakah cita-cita anda?’ sebaik dan seikhlas hati? Jawapan perlu diberi secara tersusun dan tepat sebaik sahaja ditanya oleh seseorang. Ini kerana jawapan tersebut akan menjadi panduan sebenar ke mana arah tujuan seseorang selepas itu.

Cita-cita merujuk kepada harapan, perancangan, keinginan seseorang berdasarkan kemampuan yang realistik untuk kehidupan pada masa akan datang. Tempoh masa ini boleh sahaja jangka pendek selama lima tahun akan datang ataupun sepuluh tahun yang mendatang. Cita-cita sering dikaitkan dengan tempoh masa yang sesuai untuk kehidupan yang sebenar. Iaitu sebuah kehidupan yang berkaitan dengan kerjaya, keluarga dan masyarakat. Cita-cita seseorang akan melibatkan peluang kerjaya, pembinaan keluarga dan hubungan seseorang itu sebagai ahli masyarakat. Dengan kata lain, cita-cita adalah kehidupan seseorang selepas melalui satu tempoh ujian dan transisi seperti di alam persekolahan dan pengajian tinggi ke alam masyarakat.

Penentuan sebuah kehidupan selepas melalui tempoh transisi dari alam persekolahan secara formal kepada kehidupan yang melibatkan sistem keluarga, sistem ekonomi, sistem sosial dan politik serta sosio-budaya memerlukan perancangan yang terbaik. Perkara ini akan menentukan kejayaan seseorang sepanjang kehidupannya yang akan diwarisi oleh keturunannya dari satu generasi ke satu generasi akan datang. Penentuan kejayaan ini adalah perancangan yang dimotivasikan oleh pembentukan cita-cita semasa tempoh usia remaja.
p/s: teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2015 - terbitan Dewan Bahasa & Pustaka