Saturday, August 17, 2013

Cabaran orang Hebat

Masalah besar menjadi orang yang hebat adalah menjaga diri dan hati agar sentiasa merendah diri. Rasa hebat selalunya akan menyuburkan sifat sombong dan memandang rendah pada orang lain, terutamanya terhadap orang yang kurang hebat.

Kehebatan seseorang adalah keistimewaan yang dimiliki oleh seseorang yang diperolehi dari sumber yang pelbagai. Sama ada melalui pembelajaran, pengalaman dan anugerah. Kehebatan yang diperolehi daripada proses pembelajaran kebiasaannya menjadikan seseorang lebih tinggi rasa kehebatannya kerana sepanjang tempoh tersebut seseorang akan sentiasa menghadapi ujian dan peperiksaan yang akan menentukan kehebatannya. Kejayaan menghadapi peperiksaan itu secara tidak langsung membentuk rasa bangga dan tinggi diri tanpa disedari. Rasa hebat ini akan meningkat setiap kali meningkatnya nilai peperiksaan yang dihadapi, sehingga ke satu tahap tertinggi dalam proses pembelajaran yang diuji melalui peperiksaan/penulisan/penyelidikan.


Cabaran utama menjadi orang yang hebat adalah mengawal diri dan hati dari menjadi sombong. Perhubungan serta pergaulan seharian antara kita dan orang lain sentiasa menguji keupayaan kita mengawal diri dari terjerumus ke kancah sombong dan bongkak.

Umumnya masyarakat mendefinisikan sombong sebagai bangga diri, bongkak, tidak menghormati orang lain serta sentiasa memandang rendah terhadap orang lain. Masyarakat sentiasa tidak menyukai terhadap orang yang diberi jolokan sombong ini. Namun masyarakat juga sentiasa terdedah dengan sifat sombong dan bongkak ini.

Kita lebih seronok menuding jari ke arah orang lain dengan melabelkan dia lebih sombong dari yang ini dan itu dan ini... Sifat melabelkan orang juga termasuk dalam kategori orang yang sombong. Inilah kesukaran dan cabaran bagi orang yang hebat apabila tidak menyedari dirinya juga terjerumus dalam sifat kesombongan. Sebab itu kita sering bertemu dengan ahli masyarakat yang hebat berpidato, memotivasikan orang lain, berceramah serta menasihati orang lain tetapi dalam masa yang sama kurang berjaya mengawal diri dari bersifat sombong. Kumpulan ini hebat memberi nasihat namun selepas selesai berceramah terus mengangkat muka sambil berjalan tanpa sedikitpun terukir senyum dibibir, mata pula menjeling hina apabila melihat orang yang kurang/masih belum berubah.

Masalah bagi orang hebat juga sering menghina orang yang kurang hebat. Hebat juga diberi makna sebagai baik oleh masyarakat. Orang yang baik pula adalah orang yang mengikut arahan agama serta budaya setempat. Kegagalan meletakkan diri sehala dengan arahan agama dan budaya masyarakat menjadikan seseorang dilabel sebagai kurang baik dan tidak hebat. Kebiasaannya kumpulan yang tidak hebat ini tidak mendapat tempat yang baik dalam masyarakat. Mereka sering dipandang hina dan dilabel sebagai golongan yang berdosa!

Orang hebat seharusnya menjadi pembimbing yang baik kepada orang yang kurang hebat. Mereka perlu menjadi contoh serta tauladan yang baik bagi masyarakat. Sifat menghina orang yang kurang hebat menjadikan mereka lebih hina dari kumpulan yang mereka hinakan. Perlu diingat bahawa kehebatan seseorang bukan hanya diukur daripada ketinggian ilmu, pengalaman dan kebendaan yang dimiliki tetapi lebih besar ia diukur dengan akhlak, peribadi dan sahsiah diri. Keupayaan seseorang meletakkan dirinya dalam masyarakat dengan menggunakan ilmu yang dimiliki menjadikannya lebih hebat dari yang lain-lain.

Pokoknya, hati yang mengawal diri perlu diasuh menjadi lebih tenang apabila berurusan dengan Pencipta, manusia dan alam. Hati yang bersih pastinya akan melahirkan peribadi yang jelas kehebatannya, yang bukan hanya hebat berkata-kata namun disisi lain tidak mampu mengaplikasikan kebaikan yang diucap pada diri sendiri.

Susahnya jadi orang hebat. Namun lebih susah jika tidak hebat. Bersih hati, bersih jiwa, akhirnya jadilah hebat dengan hati yang hebat juga!

No comments: