KEPINTARAN telefon pintar tidak dapat dinafikan apabila kini perkakas ini menjadi teman 24 jam sehari kepada penggunanya.
Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga tahun 2010, 50 peratus daripada 33.4juta pengguna telefon bimbit di Malaysia telah beralih arah dari telefon mudah alih kepada telefon pintar.
“Dari jumlah ini, 30 peratus menggunakan 3G dan hanya 15 peratus pengguna yang benar-benar menggunakan sepenuhnya aplikasi yang ditawarkan telefon pintar.
“Selebihnya sekadar memiliki, guna untuk buat panggilan dan hantar pesanan ringkas (sms) sahaja,” kata Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia, Azli Paat kepada Mingguan mStar.
Azli berkata situasi seperti ini berlaku kerana penggunaan telefon pintar di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia menjurus kepada trend dan gaya hidup, bukan mengikut keperluan dan fungsi.
“Telefon pintar tak dapat dipisahkan dengan Internet. Tanpa Internet, telefon pintar tak lagi dianggap pintar,” katanya.
Situasi yang berlaku ini menyimpang daripada matlamat sebenar telefon pintar dicipta iaitu bagi memudahkan manusia menjalani rutin harian, tidak sekadar memberi hiburan semata-mata.
Pengguna yang memanfaatkan sepenuhnya telefon pintar akan melayari Internet, menghantar emel, melayari laman sosial, mencari peta dan kedudukan, merakam gambar dan video serta memuat turun lagu.
“Tidak hairanlah caj servis dan langganan yang dikenakan syarikat telekomunikasi agak tinggi menyebabkan kebanyakan pengguna telefon pintar hanya mampu membeli tetapi tidak mampu menanggung bil bulanan,” katanya.
Tambahnya, pengaruh jenama dan pemilik telefon pintar sekeliling juga membuatkan kebanyakan pengguna teruja memilikinya walau tidak tahu memanfaatkannya.
“Pengguna Blackberry misalnya, mereka tak langgan pelan data yang membolehkan mereka berhubung dengan pengguna Blackberry lain secara percuma.
“Pengguna iPhone pula ada yang tak ambil servis Internet sedangkan iPhone dicipta khusus untuk mereka yang sering melayari Internet,” katanya.
Kuatnya tarikan telefon pintar
Kegilaan pengguna terhadap telefon pintar mempunyai kaitan dengan perubahan zaman, pangkat dan kedudukan.
Azli berkata teknologi yang sentiasa berkembang dan aplikasi telefon pintar yang sering dinaik taraf menyebabkan sesebuah model telefon mampu bergelar ‘pintar’ hanya dalam tempoh enam hingga lapan bulan sahaja.
Jika 10 tahun lalu jenama atau kereta mewah melambangkan ketinggian status seseorang, kini telefon bimbit turut menjadi kayu pengukur status.
“Telefon pintar boleh dibawa ke mana-mana tak macam kereta atau banglo besar. Walau tanpa bateri atau tanpa servis Internet, tapi bila ia diletakkan atas meja di kedai makan, secara tak langsung pelanggan sekeliling akan melihat individu tersebut sebagai individu berstatus tinggi.
“Dulu, kita tak rasa hairan kalau emel lambat dibalas, tapi hari ini kita akan rasa pelik bila si penerima emel susah membalas emel,” dia memberi contoh.
Kepintaran telefon bimbit jenis ini juga tidak dapat dinafikan apabila ia mampu mengubah tabiat masyarakat dan konsep penggunaan laman sosial.
Dalam diam telefon pintar menjadi sebahagian daripada Facebook, Twitter, Foursquare dan sebagainya.“Masa khutbah Jumaat, biasanya khatib berpesan supaya jemaah tak berkata-kata. Bila ada telefon pintar, wujud pula larangan menghantar sms atau melayari Internet,” katanya.
Pintar dan sensitif
Walaupun setiap individu berhak memilih sama ada mahu menggunakan telefon pintar atau sebaliknya, mahu melanggan pakej Internet atau tidak untuk telefon pintar masing-masing, kepintaran penggunanya tetap dianggap penting.
Menurut Azli, pengguna perlu mempelajari selok-belok telefon pintar mereka kerana tanpa kebijaksanaan, tidak mustahil mereka akan mengalami kerugian dan mungkin tertipu sama ada secara sedar atau tidak.
Aspek yang patut diketahui termasuklah penjagaan, kecekapan memilih pakej mengikut kegunaan dan kemampuan mengawal penggunaannya.
Berbanding telefon bimbit biasa, telefon pintar lebih sensitif dan memerlukan penjagaan rapi kerana banyak perisian dan komponen kecil dimasukkan ke dalamnya.
“Guna telefon pintar sama macam guna komputer. Bezanya guna komputer ada kelas belajar komputer, tapi guna telefon pintar tak ada kelas,” katanya.
Jelasnya ramai pengguna seolah-olah tidak ambil tahu caj-caj yang dikenakan syarikat telekomunikasi terhadap mereka sehingga menyebabkan berlakunya ‘kebocoran wang’.
“Telefon pintar tidak sekadar panggilan keluar-masuk, tetapi juga melibatkan penggunaan data. Tidak seperti panggilan telefon yang dicaj mengikut minit, penggunaan data pula sukar dikesan saiznya.
“Muat turun data yang melebihi had membuatkan pengguna perlu membayar lebih,” katanya.
Tambahnya, pengguna telefon pintar perlu arif tentang servis, pakej dan langganan dari syarikat telekomunikasi.
“Syarikat komunikasi biasanya tak akan beritahu pelanggan kalau mereka ubah tarif. Begitu juga penggunaan melebihi had,” katanya.
Ubahsuai dari penulis asal; IZRA ABD RAHMAN (izra@thestar.com.my)
No comments:
Post a Comment