Gemuk berkait rapat dengan pemakanan. Secara ralatifnya kita akan jadi gemuk apabila tabiat makan kita melampaui jumlah makanan yang biasa. Walau bagaimanapun tidak semua kegemukan fizikal seseorang berlaku kerana tabiat pemakanan. Ada juga berasaskan kepada keturunan dan emosi seseorang.
Bahayakah jika kita gemuk? Menurut pakar kesihatan kegemukan boleh menjadi punca utama kepada banyak penyakit berbahaya. Bagaimana dengan kurus? Adakah orang yang kurus tidak mudah dihinggapi penyakit? Kurus yang melampau juga mudah menghidapi penyakit. Asasnya perkara yang tidak seimbang akan sentiasa terdedah kepada pelbagai penyakit.
Islam sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan. Sederhana dalam semua perkara. Sederhana bermakna kita melakukan apa sahaja sekadar fitrah sahaja. Iaitu memenuhi tuntutan sebagai manusia. Dalam konteks makan juga sama. Kita makan sekadar memenuhi keperluan perut yang menjadi fitrah manusia. Makan ketika lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Prinsip dan cara makan yang disunnahkan juga telah menunjukkan cara yang terbaik. Makan dimulakan dengan sesuatu yang manis. Kunyah sehingga hancur dan makan secara perlahan-lahan. Manakala semasa makan tidak diselangi dengan minum. Cara ini terbukti amalan yang baik jika dilihat dari aspek sains pemakanan.
Asasnya apa juga aktiviti yang kita jalankan sepanjang hari adalah lebih baik berpandukan cara Islam. Islam itu merangkumi semua perkara tentang hidup. Ia sempurna dan lengkap. Cuma kadang-kadang kita terlalai dan terpesong dari landasan yang telah disediakan.
-azamrahman/ 16 nov 2010
60 peratus rakyat Malaysia gemuk - Menteri
Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, ia merangkumi semua peringkat umur, manakala jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
"Kita perlu lihat kesihatan badan tu sebagai sesuatu yang penting kerana ia adalah pintu masuk kepada segala jenis penyakit yang berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat.
"Fenomena ini membimbangkan kerana ia secara langsung berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung, buah pinggang, darah tinggi, barah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di Kuala Lumpur hari ini.
Sehubungan itu, Tiong Lai menggesa rakyat supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal termasuk bersenam, berjoging dan bersukan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment