Saturday, July 18, 2015

Perpaduan Kaum Rapuh?

Minggu terakhir umat Islam berpuasa tempoh hari Negara kita telah dikejutkan dengan berita kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat, iaitu pusat membeli belah yang terkenal di ibu kota yang menjadi tempat tumpuan penggemar gajet serta peralatan elektronik dan komputer. Bagi yang biasa ke sana akan faham tentang situasi serta ragam penjual dan pembeli berkomunikasi semasa berurus niaga. Bagi yang tidak biasa atau pertama kali ke sana akan terkejut dengan layanan yang 'mesra' daripada peniaga dalam proses memikat pelanggan. Hubungan mesra ini boleh menimbulkan ketidak selesaan dalam kalangan pelanggan yang tidak biasa.
 
Peristiwa kekecohan yang berlaku baru-baru ini telah digambarkan sebagai pergaduhan kaum. Terdapat aksi yang tidak sepatutnya telah berlaku dengan kecederaan yang melampau melebihi tengking menengking hingga ada yang berdarah.  Perkara tersebut merebak hingga kepada perhimpunan daripada satu pihak di hadapan pusat membeli belah tersebut.
 
Ini satu contoh peristiwa terbaru yang berlaku di Malaysia. Ramai pihak telah memberi pendapat dan komen masing-masing berkaitan peristiwa tersebut. Hingga ada yang mengklasifikasikan peristiwa tersebut sebagai kesan daripada masalah perpaduan kaum. Apa yang cuba diketengahkan adalah isu perkauman. Benarkah perpaduan kaum semakin rapuh di Malaysia?
 
Di Malaysia, apa sahaja isu yang berlaku akan cuba dikaitkan dengan keadaan politik Negara yang berpusat kepada individu dan juga parti politik. Ini adalah masalah yang lebih besar daripada isu perkauman yang cuba diketengahkan. Masyarakat Malaysia lebih gemar berbincang semua isu yang berlaku dan ditudingkan jari untuk mencari kesalahan bagi satu pihak. Hal ini termasuk juga dalam isu berkait perkauman. Ramai pihak yang telah menuduh dan membuat kesimpulan tentang rapuhnya hubungan perkauman di Malaysia berdasarkan wujudnya parti politik yang berasaskan kaum di Malaysia. Keadaan sebegini dijadikan kambing hitam sebagai penyebab timbulnya rasa perkauman antara ahli masyarakat.
 
Hakikatnya di peringkat rakyat biasa, hubungan antara kaum telah berlangsung secara selesa dan mesra antara satu sama lain. Kemesraan yang wujud atas dasar kejiranan, semangat setia kawan dan rasa kekeluargaan antara ahli masyarakat telah lama wujud secara tersusun pada peringkat rakyat biasa. Pelbagai aktiviti pada peringkat komuniti telah berjaya mengeratkan ahli masyarakat untuk sama-sama berusaha membangunkan ekonomi di kawasan mereka.
 
Isu perkauman ataupun masalah perpaduan kaum yang rapuh amat berkait dengan keadaan sosio-ekonomi. Banyak kes yang cuba disebut sebagai masalah perpaduan kaum yang berlaku di Malaysia sebenarnya adalah masalah perpaduan dari aspek sosio-ekonomi. Hal ini termasuk juga dalam kes 13 Mei 1969 yang dihebohkan sebagai pergaduhan kaum yang berpunca daripada perpaduan kaum yang rapuh. Namun hakikatnya peristiwa tersebut adalah masalah pertembungan antara golongan miskin dan golongan kaya. Iaitu kesan daripada jurang ekonomi yang besar yang mewujudkan orang kaya yang semakin kaya dan orang miskin papa kedana. Cuma secara kebetulannya golongan miskin tersebut terdiri daripada majoriti satu kaum manakala yang kaya juga majoritinya satu kaum.
 
Dalam keadaan Negara berhasrat mencapai apa yang ditetapkan dalam wawasan 2020 iaitu untuk menjadi sebuah Negara maju yang bersatu padu  kita tidak sepatutnya masih berfikiran seperti pada zaman sebelum merdeka atau pada zaman sebelum wujudnya kerajaan awal di Tanah Melayu. Pandangan sinis daripada kajian yang cetek berkaitan pelbagai isu yang cuba dikaitkan sebagai masalah perkauman perlu diketepikan. Perkara ini perlu hadir daripada peringkat pemimpin atasan dan diperturunkan kepada rakyat biasa. Sebagai pemimpin tidak sepatutnya mudah melatah untuk memberi komen apa sahaja isu yang melibatkan rakyat cuba dikaitkan sebagai masalah perpaduan kaum. Sebagai pemimpin juga tidak sepatutnya menjadi seolah-olah batu api antara kaum hanya kerana berhasrat meraih sokongan daripada kaum yang diperjuangkan. Walaupun pada hakikatnya perkara tersebut jauh terpesong.
 
Pelbagai pihak telah berusaha dengan banyak cara melalui dasar oleh pemerintah, kempen oleh pihak bukan kerajaan dan amalan oleh rakyat biasa berkaitan isu perpaduan ini tidak harus diruntuhkan hanya untuk meraih populariti daripada satu pihak sahaja. Realiti perpaduan kaum di Malaysia telah berada pada tahap yang baik sejak daripada merdeka hingga kini. Cuma apa yang perlu diperkuatkan adalah pemupukan dari semasa ke semasa serta penerapan nilai perpaduan agar lebih kukuh dan bertolak ansur.

No comments: