Tuesday, September 20, 2011

Unsur Sejarah dalam Subjek Pengajian Malaysia

Subjek Pengajian Malaysia adalah antara matapelajaran wajib bagi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Subjek ini telah diwajibkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai subjek wajib dipelajari dan wajib lulus, sebagai syarat untuk dianugerahkan ijazah dalam pelbagai bidang.
Kebayakan pelajar yang mengikuti kursus ini akan terarah untuk memberi nilai sejarah dan mengkelaskan subjek ini sebagai subjek sejarah. Kerana terdapat beberapa tajuk yang melibatkan fakta-fakta sejarah. Walaupun subjek ini sebenarnya lebih tertumpu kepada keadaan dan isu-isu Malaysia yang terkini.
Dengan melabelkan subjek ini sebagai subjek Sejarah menyebabkan terdapat sebilangan pelajar yang 'fobia' dengan istilah sejarah. Bagi kumpulan ini subjek sejarah merupakan salah satu matapelajaran yang susah kerana melibatkan fakta tentang tarikh, nama tempat, nama tokoh dan sebagainya.
Pengajian Malaysia secara umumnya adalah subjek yang mendedahkan pelajar kepada maklumat berkaitan Malaysia dari segi sistem pentadbirannya, aktiviti ekonomi, sosial dan isu-isu semasa yang melibatkan masyarakat secara keseluruhannya.
Oleh itu setiap pelajar yang mengikuti matapelajaran ini perlu sentiasa peka dengan setiap isu yang berlaku di Malaysia, sama ada isu berkaitan aspek politik, sosial, ekonomi, sukan dan sebagainya.
Ringkasnya, unsur sejarah yang terdapat dalam subjek Pengajian Malaysia adalah satu unsur yang diintegrasikan dengan isu terkini bagi memberi kefahaman yang jelas berkaitan Malaysia kepada pelajar.

No comments: