Tuesday, July 31, 2012

Phd.

Pass habis darjah? Tahap tertinggi dalam tingkat akademik. Matlamat terakhir bagi semua yang cintakan pendidikan. Tapi untuk mencapainya tidak semudah yang dijangka.
Phd. adalah proses pembelajaran ke tahap yang tertinggi bagi satu satu bidang pengkhususan. Kepakaran ini hanya perlu diterokai sepenuhnya melalui proses penyelidikan yang menyeluruh.
Proses ini memerlukan tahap disiplin yang hebat. Disiplin terhadap masa, jadual kerja, ilmu yang ditekuni serta masyarakat sekeliling. Keharmonian proses ini akan memungkinkan kejayaan mencapai matlamat terakhirnya.
Perjalanan ke arah itu tidak mudah dijangka. Tidak mudah diteroka dan amat susah dikuasai. Pengorbanan pada tahap yang maksimum dari semua perkara perlu ditangani sebaiknya.
Ilmu pengkhususan itu hanya laluan yang perlu dilalui. Prosesnya adalah usaha dalam pelbagai cara. Keperitannya adalah asam garam yang perlu ditempuhi.
Akhirnya tidak semua berjaya ke garisan terakhir. Walaupun proses ini bukanlah satu perlumbaan antara satu sama lain tetapi jika tewas sebelum ke garisan terakhir ia adalah satu kerugian yang besar.
Di mana tahap aku sekarang? Di awal garisan, pertengahan atau entah di mana mana. . .

*gambar di atas sekadar meminjam jubah phd. untuk suntikan semangat!!!

Published with Blogger-droid v2.0.6

Menanti

Sepatutnya temujanji ini berlaku pada jam 10 pagi. Oleh itu aku perlu tiba di sini sebelum waktu itu. Tapi sekarang aku tiba jam 10.45 pagi. Terlebih 45 minit dari yang dijanji. Kebiasaannya jika terlewat akan ada sedikit rungutan daripada yang menanti. Yang peliknya di sini tiada rungutan seperti kebiasaan itu. Pasangan kekasih akan pasti memuncungkan bibirnya jika berlaku begini. Di sini pihak yang menanti lebih selesa jika yang dijanji memungkirinya.
Kerana terlewat aku terpaksa menanti untuk  tempoh yang agak lama sebelum mendapat layanan  yang sepatutnya. Walaupun begitu aku tetap selesa menanti pabila disambut dengan senyuman mesra petugas di sini. Sebaik melanglah melintasi pintu kaca yang bersih dan berkilat aku terus disapa dengan ucapan selamat yang mesra. Sejuk mata memandang walaupun aku kepanasan kerana mengejar masa yang kelewatan tadi. Melangkah terus kebangku selepas menekan punat angka giliran. Disisi mesin pencetak angka giliran terpacak satu mesin pembancuh kopi. Oh capuchino! Biasanya jika sebelum ini aku akan membancuh segelas capuchino putih bagi melegakan saat menanti nombor dipanggil. Tapi hari ini masih ramadhan. Aku hanya mampu menjeling ke arah mesin tersebut.
Melabuhkan punggung kebangku separa lembut. Mata masih menjeling mesin pembancuh kopi, sambil menelan liur yang bergema. Deretan kereta honda model terbaru disusun kemas bagi menarik perhatian pelanggan. Honda: jenama yang diminati hanya pada nama. Rakyat  Malaysia memberi persepsi yang baik terhadap jenama ini. Walaupun keretanya biasa saja. Berbanding saingannya yang lain Honda seperti ketinggalan. Terutama aksesorinya. Tapi jenama honda tetap laris kerana kualitinya. Harganya sedikit mahal tetapi kepuasan memandunya seperti memiliki isteri yang jelita!
Seperti kebanyakan kita memilih berdasarkan persepsi. Pandangan pertama yang meyakinkan akan memikat hati naluri kita. Ditambah dengan pandangan masyarakat yang sentiasa memuji mujinya. Termasuk juga aku.
WUS8024!!! Laungan nombor plat keretaku dipanggil. Tersentak aku dari renungan kearah CRV yang seksi. Aku mengiyakan dan terus bergegas ke kaunter persis ke kaunter farmasi di klinik. Dengan nilai yang ditetapkan aku mengeluarkan not kelabu asap sebanyak 7 keping. Wah!! boleh tahan nilainya untuk aku menanti. Menanti untuk memberi nilai not yang berkeping itu.
Sekarang aku didalam kerata yang baru selesai diservice. Ternyata berbaloi penantian aku sebentar tadi. Kini keretaku meluncur melebihi had laju yang ditetapkan oleh JPJ. Harga sebuah kerja menanti! Hahaa

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, July 15, 2012

Friday, July 6, 2012

Sistem banyak semester setahun

Kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta telah mengubah sistem pengambilan pelajar agar selari dengan sistem di IPTA.
Sejak pengambilan pelajar sesi 2010/11 pelajar di IPTA bermula pada September. Sebelum ini pengambilan pelajar akan bermula pada Jun atau Julai.
Manakala di IPTS biasanya pengambilan akan bermula pada Mei dan Dicember/Januari.
Perubahan ini menyebabkan IPTS memperkenalkan pengambilan yang lebih kerap agar selari dengan kelender di IPTA. Misalnya di kebanyakan IPTS merangka kelender bermula pada Januari, Mei, Julai, September dan Dicember.
Bayangkan setiap semester berlangsung dalam 14 minggu tanpa henti. Tidak ada lagi cuti semester yang biasanya pada minggu ke 8 setiap semester.
Perubahan ini memaksa pelajar dan pengajar lebih laju dan pantas menangani setiap subjek yang dipelajari. Tidak ada lagi gaya sambil lewa di awal semester. Setiap minggu ada sahaja ujian, tugasan dan sebagainya yang perlu dihadapi.
Positifnya, sistem ini menjadikan tempoh belajar lebih singkat. Lebih cepat maknanya pelajar akan lebih teruja untuk menghadapi dunia kerjaya. Persedian seawal semester pertama lagi perlu disediakan.
Bagi pelajar yang masih lagi terikut ikut dengan gaya belajar yang lama untuk tempoh yang panjang akan ketinggalan. Setiap subjek yang diikuti perlukan perhatian serius walaupun hanya subjek wajib universiti.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Thursday, June 28, 2012

Terkenangkan arwah ayah

Tiba-tiba semalam teringatkan arwah ayah. Bukan bermakna sebelum ini dilupakan. Bukan juga kerana tidak mengingatinya. Aku tetap ingat setiap saat bersama arwah ketika manis dan juga sedih.

Ayah seorang yang tegas. Dalam tegasnya ada bicara yang penuh bermakna. Falsafahnya mudah terhadap keluarga. Setiap ahli perlu saling sayang dan pesan berpesan. Yang salah sama dibetul, yang betul sama diikut. Jangan bergaduh adik beradik. Hormat ayah dan emak selamanya. Keluarga kecil perlu dijaga. Gembirakan setiap ahli keluarga terlebih dahulu sebelum berfikir untuk gembirakan orang lain.

Ayah tak perlu pukul anak-anaknya untuk jadikan kami berjaya. Cukup sekadar tenungan tajam menusuk kalbu terus bertindak. Istimewanya ayah dalam mendidik kami adik beradik. Cukup bekalan untuk hidup tanpa susahkan orang lain.

Ayah, kami bangga menjadi anak anak ayah.

(catatan sempena rasa amat rindu pada arwah ayah, saat perlukan nasihat dan pedoman darimu. Aku berserah. Al-fatihah)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, May 6, 2012

Gangguan seksual di IPT

Di mana manapun aktiviti kurang sihat yang berkait dengan maksiat boleh berlaku. Jika hati telah rosak akan memudahkan lagi seseorang itu terdorong melakukannya. Walaupun di mana. Sama ada tempat yang sesuai atau tidak sesuai.


Di IPT ruang yang tenang dan kondusif telah disalah guna oleh warganya untuk  memuaskan hati seketika dengan cara yang salah.


Gangguan seksual di IPT boleh berlaku di dalam atau di luar kelas. Sama ada antara sesama pelajar ataupun pelajar dan pensyarah.


Gangguan seksual merujuk kepada keadaan tidak selesa yang dirasai oleh seseorang hasil daripada tindakan seseorang yang berunsur lucah. Gangguan ini boleh secara lisan, fizikal atau tindakan yang lebih agresif.


Bagi pelajar perempuan yang tidak selesa dengan pensyarahnya yang sering berlawak lucah di dalam kelas adalah contoh gangguan seksual secara lisan.


Bagi pelajar lelaki yang tidak selesa dengan pakaian pensyarah perempuannya yang berpakaian mencolok mata juga contoh gangguan seksual secara pakaian atau penampilan.


Bagaimanakah cara mengatasi atau mengelak perkara ini berlaku?


Bagi pelajar jika perkara seumpama ini berlaku antara cara untuk mengelak ialah dengan membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab. Sebaiknya laporkan kepada Ketua Jabatan, Timbalan Dekan Akademik, atau Dekan, atau jumpa kaunselor untuk minta nasihat sebenarnya.


Jika perkara tersebut berlaku secara berulang adalah dinasihatkan membuat laporan secepat mungkin.


Hal ini boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar. Jika tidak dibendung secara berhemah ia akan memudaratkan banyak pihak. Pelajar, pensyarah, dan universiti juga akan terjejas.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, April 30, 2012

Subjek Kenegaraan

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia mewajibkan kepada pelajarnya mengambil subjek bersifat kenegaraan dengan hasrat topik-topik yang dipelajari oleh pelajar akan meniupkan semangat patriotisme dan cinta negara lebih tinggi. Jika di peringkat sekolah menengah rendah dan atas para pelajar didedahkan dengan subjek Sejarah yang menghuraikan topik kenegaraan dan sejarah negara, juga berhasrat memupuk semangat cinta negara dengan kefahaman yang jelas. Di peringkat IPT pelajar sekali lagi disogok dengan topik kenegaraan.

IPT swasta juga tidak terkecuali dari menawarkan subjek kenegaraan ini kepada pelajarnya. Subjek ini menjadi salah satu keperluan bagi pelajar untuk melengkapkan kursus di peringkat ijazah pertama. Ia bukan saja wajib diikuti malah subjek ini merupakan subjek wajib lulus. Antara subjek kenegaraan yang ditawarkan di IPT adalah Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan di beberapa IPTS terdapat juga subjek seperti Perlembagaan Malaysia (Malaysian Constitution).

Semua subjek-subjek ini jika dilihat dari segi topik-topiknya hampir sama. iaitu menjelaskan kepada pelajar berkaitan sejarah negara bermula dari zaman sebelum penjajahan, menuntut kemerdekaan, penubuhan Malaysia, keadaan ekonomi, politik, sosial di Malaysia dan semua perkara yang berkaitan dengan Malaysia. Cuma tumpuannya berbeza berdasarkan fokus subjek tersebut.

Persoalannya, berjayakan subjek-subjek kenegaraan ini mencapai objektif penawarannya. Objektif utamanya untuk memupuk, mendidik, dan menggalakkan pelajar menyayangi negaranya serta wujud semangat partiotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar yang mengikutinya. Semangat patriotisme ini diharap mampu dicapai setelah para pelajar memahami dengan jelas setiap topik yang dibincangkan melalui subjek ini. Hal ini amat berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berlangsung di IPT tersebut. Sejauh mana pencapaian pelajarnya terhadap subjek ini boleh diukur kepada sejauh mana pencapaian proses P&P berlangsung.