Thursday, June 23, 2011

Mengurus Kesibukan



Minggu yang sibuk dengan pelbagai tugasan. Keadaan yang sibuk kadang-kadang menjadikan kita lebih kreatif dan bijaksana. Kesibukan bermakna kita perlu menyelesaikan beberapa tugasan dalam waktu yang terhad. Jumlah masa yang sedikit dengan tugasan yang berlambak secara positifnya memerlukan kreativiti yang baik. Kegagalan menguruskan tempoh masa ini bermakna kita gagal menjadi seorang pengurus yang baik.


Ukuran masa sentiasa sama walau apa keadaan sekalipun. Masa tidak pernah berubah dari dulu hingga kini. Tetapi kerana kita semakin dihimpit kesibukan dan pelbagai urusan menjadikan masa dirasa semakin suntuk. Sedar atau tidak kita telah berada di pertengahan tahun, minggu dirasa semakin pantas, hari juga terasa kurang dari 24 jam. Ini semua kerana kita sering dihimpit dengan segala macam kesibukan.


Isnin, Selasa dan Rabu dipenuhi dengan penyertaan di Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran 2011, anjuran CFGS Uniten. Kesibukan sebagai jawatankuasa penganjur menyebabkan kelas MASB113 terpaksa ditunda. Namun pelajar turut diberi tugasan yang perlu diselesaikan tanpa menghadiri ke dewan kuliah.


Dalam kesibukan mengendalikan Persidangan Antarabangsa ini, ada juga tugasan lain yang terpaksa diselesaikan. Selasa - terpaksa ke sebuah IPTS di Puchong untuk menjalankan tugasan sebagai Auditor bagi pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Hari kedua persidangan berlangsung, tugasan audit di Puchong pula berakhir hampir malam. Sehari suntuk dari jam 8 pagi hingga 7 malam bertungkus lumus menjalankan tugasan auditor. Sebelah malamnya pula dijemput oleh persatuan pelajar untuk mengendalikan satu forum anjuran mereka.


Rabu- Persidangan masih lagi berlangsung. hari terakhir persidangan dipenuhi masa dengan melayan peserta yang mula meninggalkan kampus Uniten. Sebelah petang majlis penutup telah disempurnakan oleh Y.Berusaha Dato' VC. Uniten.


Khamis - sepanjang hari berada di sebuah kolej di Petaling Jaya untuk tugasan audit bagi pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Hari yang sama juga dokumen penyertaan Seminar di Universiti Malaysia Sabah perlu diselesaikan untuk pengesahan penyertaan pada 13 dan 14 Julai 2011.


Kesibukan menjadikan kita lebih kreatif. Kreatif menyusun dan mengatur masa dengan pelbagai tugasan. Kreatif untuk cuba menjayakan semua tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan.


kita cuba!

No comments: