Sunday, September 14, 2014

UPSR Bocor?


Tragedi dalam sistem peperiksaan di Malaysia telah berlaku sepanjang tempoh perlaksanaan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru hari. Peperiksaan UPSR 2014 telah mencatatkan sejarah baru dalam kalender penilaian negara. Sejarah kerana peperiksaan yang bertujuan untuk menilai pada peringkat awal di sekolah rendah juga berlaku kebocoran soalan.

Soalan bocor bermakna calon mendapat maklumat berkaitan soalan bagi mata pelajaran tertentu lebih awal sebelum peperiksaan sebenar bermula. Maklumat yang bocor boleh sahaja sepenuhnya,  sebahagian  ataupun hanya satu soalan sahaja.  Namun ia memberi kesan kepada potensi calon untuk menjawab peperiksaan tersebut. Potensi berlakunya peniruan ini menjejaskan matlamat sebenar proses peperiksaan dijalankan. Sehingga pihak yang bertangungjawab mengendalikan peperiksaan terpaksa menjadualkan kembali peperiksaan bagi mata pelajaran berkaitan.

Setakat ini dua mata pelajaran telah disahkan akan dijalankan pada tarikh lain yang telah ditetapkan. Kertas Bahasa Inggeris dan Sains telah dijadualkan semula pada hujung bulan ini. Bagi kertas  Bahasa Inggeris, peperiksaan sebenar telahpun dijalankan baru-baru ini.  Manakala mata pelajaran Sains belum sempat dijalankan.
Persoalannya mengapa berlaku?  Semua pihak bising dengan soalan ini. Pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat semuanya menimbulkan persoalan,  mengapa? Dan semua pihak yang berkaitan juga mula menuding jari masing-masing mengarahkan kepada sesiapa sahaja. Budaya ‘bangau oh bangau’  sentiasa  berlaku  apabila sesuatu kes terjadi di Malaysia. Masing-masing akan menyalahkan antara satu sama lain. Sehingga bola kesalahan itu melantun ke merata-rata tempat yang sukar untuk dicari, akhirnya akan hilang dan senyap begitu sahaja. Kemudian isu yang sama tidak mustahil akan berlaku kembali.
Isu ini adalah isu nasional yang melibatkan hak masyarakat. Oleh itu jika kita ingin menyelesaikan   isu ini perlu   dilihat pada  peringkat yang paling asas dalam masyarakat kita.  Soalan-soalan asas berkaitan isu ini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum memikirkan cara penyelesaian yang terbaik. 
Ibarat sebuah perniagaan, isu ini juga berkait dengan permintaan dan penawaran.  Soalan  bocor kerana wujudnya  permintaan yang tinggi terhadap soalan tersebut.  Bayangkan jika tiada permintaan  adakah individu  atau pihak tertentu mengambil risiko yang besar untuk membocorkan soalan. Kebocoran soalan ini pastinya berbaloi bagi yang terlibat. Dengan risiko yang besar mereka sanggup melakukan juga kerana permintaan terhadap soalan ini sangat tinggi.
Logiknya bagaimana masih terdapat individu atau pihak tertentu yang sanggup melakukan  perkara  ini dalam suasana nilai integriti yang dipandang tinggi oleh semua pihak. Pelbagai usaha dan kempen telah berjaya mewujudkan suasana integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Namun masih ada pihak yang sanggup mengorbankan integriti dalam soal kebocoran soalan ini.
Mengapa  permintaan terhadap soalan UPSR ini tinggi?  Ini hanyalah UPSR. Iaitu satu proses  penilaian  yang  asas  bagi  pelajar sekolah rendah. Kejayaan di peringkat ini akan menempatkan pelajar ke sekolah terpilih di Malaysia. Kejayaan cemerlang dalam UPSR dijadikan tanda aras bagi pelajar untuk diasingkan mengikut tahap keupayaan mereka di peringkat sekolah menengah.
Walaupun UPSR hanya proses penilaian bagi penempatan pada peringkat sekolah menengah  kemudiannya, namun nilai kejayaan itu diletak pada tingkat yang penting oleh masyarakat. Ibubapa sanggup melakukan apa sahaja demi kejayaan anak-anak mereka di peringkat UPSR.  Kelas  tusyen  bermula dari tahun satu persekolahan, latih tubi yang bertubi-tubi dan pelbagai usaha lain dengan satu matlamat agar anak mereka beroleh keputusan cemerlang dalam UPSR.
Masyarakat kita telah memberi nilai kejayaan yang maha besar kepada setiap peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah. Nilai ini termasuk juga bagi UPSR. Dengan  nilai  yang  melampau  ini telah meletakkan pelajar yang beroleh kejayaan cemerlang dipandang sebagai pelajar terhebat dan mempunyai bintang masa depan yang amat cerah. Bagi pelajar yang gagal, walaupun di peringkat UPSR akan dilihat sebagai tidak berguna dan malap masa depan mereka. Tetapi realitinya amat berbeza. Kerana UPSR hanyalah saringan awal  dalam proses persekolahan di Malaysia. Saringan ini bukan indicator yang tepat bagi menilai kejayaan seseorang pada masa hadapan.
Budaya masyarakat terhadap peperiksaan ini telah mewujudkan rasa resah dan keinginan  yang  tinggi  dari  kalangan ibubapa terhadap kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu,  bukanlah  sesuatu  yang  luar  biasa  apabila  permintaan untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut sangat tinggi sehingga terdapat ibubapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi kejayaan anak-anak mereka, termasuk mendapatkan soalan awal dari pihak tertentu (soalan bocor).
Asasnya adalah persepsi masyarakat tentang peperiksaan. Masyarakat meletakkan kejayaan dalam sistem persekolahan di Malaysia pada nombor-nombor tertentu yang menentukan gred sesesorang. Penilaian diukur dari berapa banyak ‘A’ yang diperolehi. Semakin banyak  ‘A’ yang berjaya dikumpul bermakna semakin hebat dan bertuahlah ibubapa yang membesarkan anak-anak mereka. Ukuran berjaya-gagal yang dinilai adalah berdasarkan ukuran yang objektif. Walaupun ukuran objektif selamanya tidak tepat untuk mengukur sesuatu yang subjektif seperti kejayaan dalam hidup.
 Persepsi  hanya  dapat  diubah  dengan  pemupukan  nilai –nilai hidup yang berasaskan agama dan kepercayaan. Bermula dengan pegangan  yang kukuh terhadap nilai kepercayaan agama akan melahirkan nilai budaya yang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat. Oleh itu dalam menyelesaikan apa sahaja isu dalam masyarakat, perlu ditangani dengan konsep agama dan kepercayaaan. Nilai kejayaan dari perspektif agama akan sendirinya membentuk budaya dalam masyarakat.
Namun  proses  ini  terlalu  panjang  dan berperingkat-peringkat.  Bermula dari rumah dan membentuk ahli masyarakat, seterusnya negara. Proses ini yang perlu disuburkan kembali  dalam  kalangan  masyarakat kita hari ini. Persepsi nilai kejayaan pelajar perlu diberi definisi baru oleh masyarakat. Agar kita tidak terlalu taksub dengan sistem gred yang objektif, yang pastinya tidak tepat dan berbagai-bagai.
Dalam isu  ini, apabila soalan UPSR telah terlepas kepada pihak tertentu  dan dikongsi bersama melalui pelbagai media terutamanya media sosial popular, bermakna masyarakat memang memerlukan soalan tersebut. Jika ada kesempatan mereka akan menggunakannya. Permintaan dan keinginan terhadap gred yang bagus dalam peperiksaan telah mendorong mereka untuk berkongsi maklumat berkaitan soalan tersebut. Ini yang dikatakan berkait dengan nilai hidup dan persepsi masyarakat terhadap peperiksaan itu sendiri.
Cara terbaik untuk mengatasinya, disarankan pelbagai pihak mengubah persepsi tentang peperiksaan itu sendiri. Peperiksaan bukan sekadar menghitung jumlah gred yang berjaya  dikumpul  malah ia juga proses pembentukan kematangan pelajar. Para pelajar perlu diberi ruang dan peluang bagi mereka memilih kecenderungan yang mereka ada untuk masa depan mereka. Penilaian pula bukan hanya melalui bilangan ‘A’ yang berjaya dikumpul.
Sebaiknya, semua pihak mengambil pengajaran daripada isu ini. Hendaknya ini adalah kes terakhir yang membabitkan kebocoran soalan peperiksaan utama dalam sistem pendidikan kita. Tumpuan dan usaha pelbagai pihak termasuk ibubapa, guru dan masyarakat dalam menangani isu ini perlu juga mengambil kira emosi dan perasaan calon peperiksaan yang terpaksa menempuh sekali lagi demam peperiksaan yang telah ditunda. Sama-sama kita berfikir dan bersimpati untuk mereka.
 

 

No comments: