Thursday, June 9, 2011

MASB113: Tajuk 1 (Merdeka dan Pembentukan Malaysia



Bermula pilihanraya pertama yang memilih wakil untuk Majlis Tempatan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 1951 dan 1952 British bersetuju untuk mengadakan pilihanraya peringkat persekutuan pada 1955. Pilihanraya ini bagi menilai tahap penerimaan penduduk tempatan terhadap pemimpin tempatan pada masa itu. British berhak untuk tahu tahap penerimaan itu jika Tanah Melayu berhasrat untuk berunding tentang kemerdekaan.


Pilihanraya Persekutuan yang pertama itu telah mempertaruhkan 52 kerusi untuk direbut oleh beberapa parti politik ketika itu. Sejak tahun 1940-an di Tanah Melayu mula wujud kesedaran di kalangan pemimpin tempatan untuk berjuang membela kumpulan masing-masing berlandaskan parti politik. Maka ketika itu wujud parti-parti politik yang pada asalnya ditubuhkan sebagai sebuah badan kebajikan yang membela kaum dan kelompok masing-masing. Perubahan iklim politik ketika itu dengan cadangan dari British untuk melaksanakan Malayan Union. Keadaan ini telah membangkitkan semangat masyarakat tempatan berjuang berlandaskan parti politik.


UMNO, MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum utama di Tanah Melayu ketika itu telah sepakat untuk bersama-sama menyertai pilihanraya 1955 secara berpasukan dengan nama Perikatan. Gabungan ini ternyata berjaya dalam pilihanraya tersebut apabila Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Manakala 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS.


Kejayaan gabungan Perikatan dalam pilihanraya ini telah membuka ruang untuk British berbincang berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu. Penerimaan penduduk tempatan terhadap perjuangan gabungan Perikatan memberi makna yang besar terhadap suasana politik ketika itu. Juga memberi makna terhadap hubungan sosial masyarakat di Tanah Melayu. Kesepaduaan masyarakat juga diambil kira oleh British untuk memberi kemerdekaan kepada sesebuah tanah jajahannya.


Suruhanjaya Reid ditubuhkan juga hasil daripada perkembangan terkini tentang keadaan politik di Tanah Melayu ketika itu. Suruhanjaya ini ditubuhkan bagi membincangkan satu Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Suruhanjaya yang dianggotai oleh beberapa wakil dari pemimpin tempatan dan juga wakil dari negara Komenwelth dan diketuai oleh Lord Reid. Apabila suruhanjaya ini selesai dengan tugas mereka bermakna Tanah Melayu telah hampir kepada kemerdekaan.


31 Ogos 1957 - Merdeka!


*kredit gambar dari casamidacrew.blogspot.com

Wednesday, June 8, 2011

Makan




Ramai orang yang bekerja mengabaikan keperluan tubuh badan mereka. Bagi mereka cukup sekadar mengisi perut agar tidak kelaparan. Apa yang dipentingkan adalah kerja yang berkesan bagi memenuhi tuntutan material yang semakin mencabar. Keperluan badan sebenarnya lebih daripada sekadar makan sahaja. Malah makan juga perlu mengikut cara dan disiplin yang betul agar tahap kesihatan tubuh badan kita sentiasa sempurna dan bertenaga.


Berdasarkan kajian oleh pakar kesihatan menyatakan bahawa pengambilan sarapan pagi yang berkesan akan menentukan tahap dan mutu kerja seseorang sepanjang hari itu. Kepentingan mengambil sarapan pagi ini telah kerap kali dibincangkan di media. Namun masih ramai golongan yang bekerja mengabaikan sarapan pagi. Tabiat ini juga turut diamalkan oleh pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi. Mereka mula 'skip' pengambilan sarapan dengan alasan mempunyai kelas yang bermula seawal jam 8 pagi. Tabiat ini dibimbangkan akan mempengaruhi keupayaan pelajar-pelajar ini mengikuti proses pembelajaran mereka.
Peningkatan harga makanan kesan daripada kenaikan harga bahan mentah juga menjadi alasan bagi kumpulan pelajar di IPT untuk mengurangkan pengambilan makanan termasuk sarapan pagi. Jadual makan mereka selalu dijamakkan, iaitu makan pagi digabung dengan makan tengahari ataupun makan malam sekali dengan makan tengahari. Fenomena ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tahap tumpuan pelajar terhadap pembelajaran mereka.

Semua pihak harus melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang serius, kerana untuk menjadi sebuah negara yang maju bukan sahaja memerlukan persediaan dari segi fizikal yang kuat malah mental yang baik. Semua ini akan terhasil hanya dengan pemakanan yang berkhasiat.



Tuesday, June 7, 2011

Bila ada masa...


Bila ada masa yang tidak diisi dengan apa-apa perkara yang berfaedah, ada baiknya kita membaca. Aktiviti membaca tidak pernah dikelaskan sebagai membazir masa. Jika kita penat dengan bacaan yang terlalu banyak fakta dan nombor yang perlu diingat maka ada baik juga kita memilih untuk baca bacaan yang santai sifatnya. Tetapi tetap[ juga bermaklumat. Buku-buku motivasi misalnya boleh juga meningkatkan kembali semangat kita. Cadangan salah satu buku untuk dibaca bila masa kita rasa diri kita kurang menghargai diri sendiri dan orang-orang yang mengambil berat tentang kita buku ini amat sesuai.

Buku ini disampaikan secara bersahaja. Disertakan dengan cerita-cerita dari kisah benar masyarakat. Dan pengalaman tokoh-tokoh yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Salah satu key-word yang boleh dipetik dari buku ini ialah 'jangan sekali-kali kita menghukum diri kita untuk semua kesalahan kita, tetapi kita bermula dengan satu usaha baru bagi mengelak dari kita lakukan kesalahan yang sama'.

Sunday, May 29, 2011

Cuti Hujung Minggu

Di Malaysia, walaupun kita telah merdeka lebih daripada 50 tahun namun cuti hujung minggu kita masih tidak dapat diseragamkan di setiap negeri di Malaysia. Perkara yang dilihat paling 'simple' dan mudah untuk diubah namun kita masih tidak lagi mampu berbuat demikian.

Kesan pentadbiran penjajah, khususnya pada zaman pentadbiran British di Tanah Melayu masih lagi digunapakai sehingga kini. Ketika British mentadbir Tanah Melayu, negeri-negeri di Tanah Melayu telah diasingkan kepada 3 kumpulan, iaitu Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Singapura), Negeri Melayu Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, N. Sembilan), Negeri Melayu Tidak Bersekutu ( Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor). Pecahan kelompok negeri-negeri ini memberi kesan terhadap cara British mentadbir. Kesan tersebut masih dapat dilihat sehingga kini, selepas kita merdeka. Antaranya adalah berkaitan cuti hujung minggu. Negeri Melayu Bersekutu sehingga kini melaksanakan cuti hujung minggunya pada hari Sabtu dan Ahad, manakala Negeri Melayu Tidak Bersekutu pada hari Jumaat dan Sabtu. Cuma negeri Johor sahaja telah mengubah cuti hujung minggunya sama seperti Negeri Melayu Bersekutu.

Walaupun kini tiada lagi kelompok Negeri Melayu Bersekutu atau sebagainya, kini semua negeri satu Malaysia adalah di bawah pentadbiran kerajaan Malaysia yang telah merdeka lebih 50 tahun, tetapi kita masih lagi melaksanakan sistem yang dimulakan oleh penjajah pada zaman Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Perkara ini dilihat remeh bagi sesetengah pihak. Ia cuma cuti hujung minggu. Cuma berkaitan pemilihan hari untuk bercuti setelah seminggu bekerja keras di tempat kerja masing-masing. Namun ini secara tidak langsung sedikit mencacatkan kemeriahan kita meraikan tempoh kemerdekaan kita yang dicanang telah mampu mentadbir secara sendiri dengan pemimpin tempatan yang berwibawa.

Ini adalah contoh kecil yang kita dapat lihat kesan pentadbiran British di Tanah Melayu. Jika kita meninjau ke dalam sistem pendidikan yang kita gunapakai sekarang pastinya kita akan lihat contoh-contoh lain yang kita warisi dari penjajah.

Di kebanyakan negara yang pernah dijajah oleh kuasa besar akan mewarisi cara dan konsep pentadbiran yang dipraktiskan oleh penjajah tersebut. Hal ini termasuklah Malaysia. Kita tidak dapat berbeza 100% daripada kuasa yang pernah mentadbir kita. Mungkin tempoh lebih 50 tahun masih tidak cukup untuk kita berubah secara total. Kerana ada juga sistem yang digunakan oleh penjajah itu masih relevan dengan masa kini yang boleh terus dipraktiskan di Malaysia pada zaman ini. Tidak semua perkara yang dilaksanakan oleh British khususnya dan penjajah lain di Tanah Melayu sebelum ini perlu dibuang. Mungkin cuti hujung minggu yang kita warisi hingga kita dilihat tidak perlu diubah berdasarkan faktor-faktor yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sehingga kini.

Tidak kira hari apa yang kita pilih untuk bercuti hujung minggu apa yang lebih penting ialah bila tiba hari untuk kita memulakan kembali kerja kita telah bersedia dengan semangat dan idea baru, kesan dari rehat dan rekreasi kita semasa berhujung minggu. Dilihat di Malaysia cuti hujung minggu ini tidak memeberi kesan yang negatif kepada produktiviti kerja kita walau hari apapun yang kita berhujung minggu. Mungkin sebab itu rasanya tidak perlu kita bazirkan masa berfikir tentang hari cuti ini.

Monday, May 23, 2011

Tugasan Berkumpulan MASB113

Pilih 1 daripada tajuk-tajuk berikut;

1. Biodata Lengkap Pemimpin Politik Wanita di Malaysia
2. Biodata Lengkap Pemimpin Wanita dalam NGO/Perubuhan Sukarela di Malaysia
3. Biodata Lengkap Pemimpin Wanita dalam Institusi Pendidikan di Malaysia

Huraian:
Pelajar diminta menjalankan satu penyelidikan ilimiah berkaitan tajuk yang diberikan. Penyelidikan ilmiah bermakna pelajar perlu mengemukakan fakta yang diperolehi daripada sumber yang tepat, sama ada dari bahan rujukan bercetak atau melalui temuramah yang dijalankan. Pelajar perlu senaraikan 5 biodata lengkap pemimpin yang dipilih berdasarkan tajuk yang diberikan. Di akhir kajian pelajar diminta sediakan satu laporan ilimiah berkaitan kajian yang telah dijalankan. Serta dipersembahkan dalam bentuk power-point kepada kelas.

Format:
1. Tugasan ini adalah tugasan berkumpulan (4-5 orang)
2. Tugasan perlu disediakan dalam bentuk esei dan bertaip (arial 12, double spacing)
3. Tarikh penghantaran 18- 20 JULAI 2011
4. Penghantaran adalah dalam bentuk hard-copy dan soft-copy.

Saturday, May 21, 2011

Tajuk 1 MASB113

Sejarah dan Politik akan membincangkan beberapa sistem pentadbiran yang telah diamalkan oleh kerajaan di Tanah Melayu dan Malaysia. Tajuk ini akan dilihat dalam 3 tempoh masa yang penting dalam sejarah dan politik negara. Tempoh 1: Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tempoh 2:Zaman Penjajahan. Tempoh 3: Tanah Melayu selepas merdeka sehingga pembentukan Malaysia.

Ketiga-tiga tempoh ini melibatkan beberapa sistem pentadbiran. Sistem-sistem ini akan dibincang melibatkan cara kerajaan tersebut diurustadbir, pelantikan pembesar/pemerintah, keadaan ekonomi, sosial, politik pada masa tersebut serta cara kerajaan menggubal dasar-dasar kerajaan yang ditadbir.

Sebagai contoh, zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM) telah mencapai tempoh kegemilangannya sehingga menjadi antara pusat perdagangan utama di Asia Tenggara. jadi tempoh ini berlaku kerana Melaka telah ditadbir oleh pemerintah yang tersusun dan cekap. Sistem ekonominya mampu menarik pedagang dari seluruh pelosok dunia. Sistem yang cekap ini kerana pentadbirnya berjaya mengamalkan sistem pentadbiran yang baik. Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka misalnya telah menjadi unsur penting yang menyumbang kepada faktor kegemilangan Melaka.

Melaka ditadbir menggunakan Sistem Empat Lipatan. Semua pentadbir telah dilantik oleh Sultan Melaka. Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Sultan mempunyai kuasa terhadap keseluruhan pentadbiran negeri Melaka. Sultan yang cekap berserta pemimpin utama yang lain seperti bendahara, temenggong, shahbandar, laksamana dan lain-lain telah menyumbang kepada kejayaan Melaka.

Kejatuhan KMM kepada Portugis pada 1511 juga banyak dipengaruhi oleh pentadbir yang kurang cekap. Sistem pentadbiran yang diamalkan sebelum ini tidak dijalankan dengan baik oleh pentadbir ketika itu.

selepas ketajuhan KMM kepada Portugis maka bermulalah tempoh penjajahan dari kuasa luar di Tanah Melayu. Bermula dengan Portugis kemudian Belanda dan diikuti oleh British dan Jepun kemudian British kembali dan negara merdeka melalui British.

*sistem pentadbiran penjajah di Tanah Melayu akan dihurai kemudian.

Tuesday, May 17, 2011

semester baru 2011

tahun 2011 pengambilan pelajar di Uniten berlaku lebih kerap dalam tempoh yang panjang. Bermula dengan pelajar 'foundation' trimester 3 bermula bulan 3 dan semester khas bermula april kemudian pelajar semester 1 sesi 2011/12 pada mei. dan pada september nanti pelajar kemasukan baru sekali lagi mendaftar bersama pelajar senior. Pertindihan semester ini bertujuan untuk diselaraskan dengan kelender baru pengajian tinggi yang diperkenalkan oleh kerajaan bermula pada tahun ini iaitu kemasukan september.

walau bagaimanapun pensyarah masih mampu mengendalikan keadaan ini walau jadual pengajaran sedikit bertambah berbanding sebelumnya. Bagi yang mengajar subjek yang ditawarkan di setiap semester pastinya memiliki jadual pengajaran yang ketat. ini lah rutin pensyarah. selain dari terlibat pengajaran mereka juga perlu menjalankan penyelidikan dan memberi khidmat nasihat kepada yang berkaitan.

bagi pelajar jangan risau tentang jadual pensyarah. biarkan mereka dengan tugas mereka. Apa yang penting mereka tidak mengabaikan tugas membimbing pelajar-pelajar mereka.