Sunday, March 8, 2015

"Apakah Cita-cita anda?"- Soalan yang masih relevan kepada remaja


‘Apakah cita-cita anda?’ Ramai dalam kalangan mahasiswa tidak mampu menjawab dengan baik soalan di atas. Bagi mereka ini adalah satu soalan yang hanya layak ditanya kepada pelajar sekolah rendah. Kebanyakan mahasiswa merasakan tidak penting untuk mereka menjawab soalan tersebut.

Pertama kali semasa di kelas guru akan bertanya cita-cita kita. Dengan bangganya kita akan menjawab; apabila besar nanti saya bercita-cita menjadi seorang doktor, guru, polis, bomba dan pelbagai lagi kerjaya yang dekat dengan fikiran kita. Iaitu kerjaya yang biasa kita lihat, sama ada ia adalah kerjaya ibu bapa kita, saudara-mara kita ataupun jiran tetangga kita.

Namun apabila kita melangkah ke sekolah menengah, kita mula beranggapan bahawa soalan ini kurang penting untuk dijawab secara langsung dengan apa-apa sahaja kerjaya seperti jawapan yang diberikan semasa di bangku sekolah rendah.  Perkara ini berulang kembali sebaik kita berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, sama ada ke kolej mahupun ke universiti. Mahasiswa di institusi pengajian tinggi kebanyakkannya akan ketawa sebaik sahaja soalan, ‘apakah cita-cita anda?’ dikemukakan oleh pensyarah. Jika perlu juga menjawab soalan berkaitan cita-cita ini mahasiswa akan memberi jawapan yang umum seperti, ‘saya bercita-cita menjadi seorang yang berjaya’. Ada juga menjawab sebegini; ‘saya akan berusaha menjadi seorang yang boleh dibanggakan oleh keluarga’. Jawapan yang umum sebegini tidak akan memberi impak yang besar terhadap kerjaya seseorang pada masa hadapan.

Mengapa penting kita menjawab soalan; ‘apakah cita-cita anda?’ sebaik dan seikhlas hati? Jawapan perlu diberi secara tersusun dan tepat sebaik sahaja ditanya oleh seseorang. Ini kerana jawapan tersebut akan menjadi panduan sebenar ke mana arah tujuan seseorang selepas itu.

Cita-cita merujuk kepada harapan, perancangan, keinginan seseorang berdasarkan kemampuan yang realistik untuk kehidupan pada masa akan datang. Tempoh masa ini boleh sahaja jangka pendek selama lima tahun akan datang ataupun sepuluh tahun yang mendatang. Cita-cita sering dikaitkan dengan tempoh masa yang sesuai untuk kehidupan yang sebenar. Iaitu sebuah kehidupan yang berkaitan dengan kerjaya, keluarga dan masyarakat. Cita-cita seseorang akan melibatkan peluang kerjaya, pembinaan keluarga dan hubungan seseorang itu sebagai ahli masyarakat. Dengan kata lain, cita-cita adalah kehidupan seseorang selepas melalui satu tempoh ujian dan transisi seperti di alam persekolahan dan pengajian tinggi ke alam masyarakat.

Penentuan sebuah kehidupan selepas melalui tempoh transisi dari alam persekolahan secara formal kepada kehidupan yang melibatkan sistem keluarga, sistem ekonomi, sistem sosial dan politik serta sosio-budaya memerlukan perancangan yang terbaik. Perkara ini akan menentukan kejayaan seseorang sepanjang kehidupannya yang akan diwarisi oleh keturunannya dari satu generasi ke satu generasi akan datang. Penentuan kejayaan ini adalah perancangan yang dimotivasikan oleh pembentukan cita-cita semasa tempoh usia remaja.
p/s: teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2015 - terbitan Dewan Bahasa & Pustaka

Sunday, September 14, 2014

UPSR Bocor?


Tragedi dalam sistem peperiksaan di Malaysia telah berlaku sepanjang tempoh perlaksanaan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru hari. Peperiksaan UPSR 2014 telah mencatatkan sejarah baru dalam kalender penilaian negara. Sejarah kerana peperiksaan yang bertujuan untuk menilai pada peringkat awal di sekolah rendah juga berlaku kebocoran soalan.

Soalan bocor bermakna calon mendapat maklumat berkaitan soalan bagi mata pelajaran tertentu lebih awal sebelum peperiksaan sebenar bermula. Maklumat yang bocor boleh sahaja sepenuhnya,  sebahagian  ataupun hanya satu soalan sahaja.  Namun ia memberi kesan kepada potensi calon untuk menjawab peperiksaan tersebut. Potensi berlakunya peniruan ini menjejaskan matlamat sebenar proses peperiksaan dijalankan. Sehingga pihak yang bertangungjawab mengendalikan peperiksaan terpaksa menjadualkan kembali peperiksaan bagi mata pelajaran berkaitan.

Tuesday, July 8, 2014

Bayar dan Terima Zakat

      Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, antara perkataan yang paling popular adalah zakat. Setiap hari di media massa sering menonjolkan peri pentingnya setiap Muslim yang berkemampuan itu berzakat. Tambahan pula zakat fitrah adalah satu perkara yang wajib ditunaikan oleh umat Islam pada bulan Ramadhan ini. Manakala zakat yang lain boleh dilakukan sepanjang tahun pada bila-bila masa. Namun persoalannya sejauhmana pengetahuan tentang zakat itu mampu dipupuk dengan pelbagai kempen dan iklan di media massa?

Tuesday, July 1, 2014

Ajaibnya Ramadhan

Alhamdulillah.
Segala puji dan syukur setingginya kepada Tuhan Yang Maha Esa, di atas kesempatan yang diberikan untuk sekali lagi menjalani hari-hari yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan Al Mubarak, bulan puasa yang berkat dan ajaib.


Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang diwajibkan kepada seluruh umat Islam untuk berpuasa. Iaitu menahan diri dari mengikut hawa nafsu yang melampau. Pada bulan Ramadhan ini kita dilatih untuk merasai kehidupan yang sederhana dalam semua perkara. Siangnya kita dilarang makan dan minum serta ditegah dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Manakala di malamnya kita digalakkan menghidupkan suasana malam dengan beribadah serta berserah diri kepada Tuhan sebaiknya dan semampunya.


Bulan ini adalah pentas latihan untuk kita menjalani kehidupan yang tersusun pada sebelas bulan yang lain. Bulan ini juga adalah ujian kepada semua umat Islam tentang kesetiaan dan kesediaan kita mengubah gaya hidup seharian dengan bercirikan kehidupan seorang yang beragama Islam yang terbaik.

Tuesday, June 17, 2014

Mengajar dan belajar

Cerdik pandai sering menyarankan agar kita mengajar apa yang kita tahu untuk mendapat lebih kefahaman tentang sesuatu. Ini bermakna kita akan menjadi lebih faham dan arif tentang sesuatu perkara jika kita berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain. Sama ada melalui perbincangan kumpulan atau sembang-sembang akademik secara tidak formal.  Secara teknikalnya kita lebih bersedia apabila berbincang tentang sesuatu yang kita telah mendalami dan memahami isu atau topik
tersebut.

Friday, May 2, 2014

Menulis Satu Aktiviti

Rutin harian kita sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dipengaruhi oleh keinginan hati dan emosi untuk melakukannya. Jika kita seorang pekerja, kita akan sarat dengan aktiviti berkaitan dengan kerja dan tugasan harian kita. Jika kita seorang pelajar maka kita akan memenuhi aktiviti rutin kita dengan belajar. Manakala aktiviti sampingan atau hobi yang kita lakukan pula bergantung kepada beberapa factor yang mempengaruhinya.

Saturday, September 28, 2013

Baca dan Membaca

Sejak dari kecil kita didedahkan dengan kebaikan membaca. Langkah pertama menjejakkan kaki ke sekolah kita telah diwarwarkan dengan kebaikan membaca. Membaca jambatan ilmu, membaca meluaskan pandangan, nikmati pengalaman dengan membaca. Ini adalah sebahagian slogan indah tentang aktiviti membaca dan kebaikannya.

Di sekolah kita membaca kerana wajib membaca. Aktiviti membaca bukan sesuatu yang menarik dan dilakukan secara sukarela. Waktu itu aktiviti membaca bermatlamat untuk mengetahui sebagai persediaan untuk ditanya kembali dalam peperiksaan dan sebagainya. Oleh itu proses membaca lebih kepada aktiviti mengingat dan menghafal sesuatu. Biasanya aktiviti menghafal tidak akan memberi pengajaran yang lebih daripada mengingat sahaja. Maknanya seseorang akan mengingati apa sahaja yang dibaca untuk tempoh tertentu sehingga segala yang diingat itu diluahkan atau dikemukakan semula seperti dalam peperiksaan contohnya. setelah selesai peperiksaan kebiasaannya kita akan lupa kembali apa sahaja yang diingat dan dihafal sebelumnya. Ini adalah hasil daripada proses membaca di sekolah. Iaitu membaca untuk tujuan peperiksaan. Oleh itu tidak menjadi sesuatu yang pelik jika pelajar kita hari ini dilihat sebagai pelajar cemerlang tetapi tidak berpengetahuan. Mereka dilihat bijak jika diukur dari keputusan peperiksaan utama, tetapi tidak faham dan tahu perkara lain yang berkaitan dengan ilmu yang dipelajari yang diluar silibus yang dihafal. Mereka juga lemah dari segi penggunaan pengalaman membaca untuk mengemukakan pendapat sendiri berkaitan sesuatu isu penting.

Jika tidak diuji dengan peperiksaan berkemungkinan pelajar kita tidak akan membaca serajin sekarang. Mereka mampu membaca kesemua topic yang disediakan mengikut sukatan mata pelajaran yang dipelajari. Mereka juga sanggup membaca bahan lain yang berkaitan dengan sukatan mata pelajaran tersebut. Mereka memang rajin membaca, namun semuanya adalah persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Tumpuan, teknik, dan kaedah yang diaplikasikan berlandaskan topic yang telah ditetapkan. Perkara yang diluar bidang dan topic kebiasaannya tidak diberi tumpuan dan bacaan mereka.
Proses membaca pasca peperiksaan berbeza daripada sebelumnya. Keinginan untuk memahami serta mengetahui apa yang dibaca melebihi ketakutan dan gemuruh menghafal serta mengingati untuk peperiksaan. Nilai ini menjadikan proses tersebut lebih kekal dan berguna kepada pembaca. Bahan yang dibaca kebiasaannya mampu untuk mengubah pemikiran, ideology, pegangan serta pemikiran seseorang, yang mampu diterjemahkan dalam bentuk amalan seharian.

Perbezaan yang ketara dalam proses membaca dan keinginan untuk membaca. Motivasi yang berbeza dalam proses pembacaan telah menghasilkan kesan yang juga berbeza. Pada peringkat awal proses pembacaan di sekolah juga boleh dipupuk sehingga menjadi amalan dan kebiasaan yang mampu menggerakkan minat untuk terus membaca walaupun tidak lagi diuji dengan peperiksaan.

Jom membaca!

Monday, September 16, 2013

Dasar Luar Perdana Menteri Malaysia

Sehingga kini Malaysia telah mempunyai enam orang Perdana Menteri bermula YM. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Husin Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan terkini Dato'Seri Mohd Najib Tun Razak.

Setiap Perdana Menteri ini mempunyai kelebihan yang tersendiri terutamanya dalam aspek menjalin hubungan diplomatic dengan Negara luar. Pembentukan sesebuah dasar luar bagi sebuah Negara merdeka adalah menjadi tanggungjawab Perdana Menteri. Oleh itu apabila kita membicarakan perkara berkaitan dasar luar pastinya kita akan kaitkan dengan Perdana menteri yang mentadbir Negara pada tempoh tersebut.