Loading...

Sunday, May 6, 2012

Gangguan seksual di IPT

Di mana manapun aktiviti kurang sihat yang berkait dengan maksiat boleh berlaku. Jika hati telah rosak akan memudahkan lagi seseorang itu terdorong melakukannya. Walaupun di mana. Sama ada tempat yang sesuai atau tidak sesuai.


Di IPT ruang yang tenang dan kondusif telah disalah guna oleh warganya untuk  memuaskan hati seketika dengan cara yang salah.


Gangguan seksual di IPT boleh berlaku di dalam atau di luar kelas. Sama ada antara sesama pelajar ataupun pelajar dan pensyarah.


Gangguan seksual merujuk kepada keadaan tidak selesa yang dirasai oleh seseorang hasil daripada tindakan seseorang yang berunsur lucah. Gangguan ini boleh secara lisan, fizikal atau tindakan yang lebih agresif.


Bagi pelajar perempuan yang tidak selesa dengan pensyarahnya yang sering berlawak lucah di dalam kelas adalah contoh gangguan seksual secara lisan.


Bagi pelajar lelaki yang tidak selesa dengan pakaian pensyarah perempuannya yang berpakaian mencolok mata juga contoh gangguan seksual secara pakaian atau penampilan.


Bagaimanakah cara mengatasi atau mengelak perkara ini berlaku?


Bagi pelajar jika perkara seumpama ini berlaku antara cara untuk mengelak ialah dengan membuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab. Sebaiknya laporkan kepada Ketua Jabatan, Timbalan Dekan Akademik, atau Dekan, atau jumpa kaunselor untuk minta nasihat sebenarnya.


Jika perkara tersebut berlaku secara berulang adalah dinasihatkan membuat laporan secepat mungkin.


Hal ini boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar. Jika tidak dibendung secara berhemah ia akan memudaratkan banyak pihak. Pelajar, pensyarah, dan universiti juga akan terjejas.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Monday, April 30, 2012

Subjek Kenegaraan

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia mewajibkan kepada pelajarnya mengambil subjek bersifat kenegaraan dengan hasrat topik-topik yang dipelajari oleh pelajar akan meniupkan semangat patriotisme dan cinta negara lebih tinggi. Jika di peringkat sekolah menengah rendah dan atas para pelajar didedahkan dengan subjek Sejarah yang menghuraikan topik kenegaraan dan sejarah negara, juga berhasrat memupuk semangat cinta negara dengan kefahaman yang jelas. Di peringkat IPT pelajar sekali lagi disogok dengan topik kenegaraan.

IPT swasta juga tidak terkecuali dari menawarkan subjek kenegaraan ini kepada pelajarnya. Subjek ini menjadi salah satu keperluan bagi pelajar untuk melengkapkan kursus di peringkat ijazah pertama. Ia bukan saja wajib diikuti malah subjek ini merupakan subjek wajib lulus. Antara subjek kenegaraan yang ditawarkan di IPT adalah Pengajian Malaysia, Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan di beberapa IPTS terdapat juga subjek seperti Perlembagaan Malaysia (Malaysian Constitution).

Semua subjek-subjek ini jika dilihat dari segi topik-topiknya hampir sama. iaitu menjelaskan kepada pelajar berkaitan sejarah negara bermula dari zaman sebelum penjajahan, menuntut kemerdekaan, penubuhan Malaysia, keadaan ekonomi, politik, sosial di Malaysia dan semua perkara yang berkaitan dengan Malaysia. Cuma tumpuannya berbeza berdasarkan fokus subjek tersebut.

Persoalannya, berjayakan subjek-subjek kenegaraan ini mencapai objektif penawarannya. Objektif utamanya untuk memupuk, mendidik, dan menggalakkan pelajar menyayangi negaranya serta wujud semangat partiotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar yang mengikutinya. Semangat patriotisme ini diharap mampu dicapai setelah para pelajar memahami dengan jelas setiap topik yang dibincangkan melalui subjek ini. Hal ini amat berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berlangsung di IPT tersebut. Sejauh mana pencapaian pelajarnya terhadap subjek ini boleh diukur kepada sejauh mana pencapaian proses P&P berlangsung.

Thursday, April 26, 2012

Bertuahnya menjadi rakyat Malaysia

Bab 1 buku 'Notes to the Prime Minister' karya Wong Sulong menggambarkan suasana kegembiraan, kejayaan, dan keharmonian masyarakat Malaysia menyambut tahun baru 1997.

Digambarkan kehebatan ekonomi Malaysia ketika itu. Gaya hidup golongan kelas menengah yang agak mewah hasil daripada pelbagai dasr ekonomi yang diperkenalkan oleh pemerintah seperti DEB. Golongan ini hidup di bandar bandar besar seperti Kuala Lumpur dengan cara hidup yang mewah. Digambarkan masyarakat Malaysia di bandar besar sentiasa keluar makan di restoran mewah bersama keluarga dan kawan kawan. Berhujung minggu di pusat membeli belah yang besar yang tumbuh di segenap ceruk bandar. Juga bercuti di luar negara. Mampu memiliki kereta mewah dan tinggal di perumahan yang hebat, paling kurangpun memiliki rumah teres yang mewah.

Gambaran ekonomi masyarakat Malaysia pada awal tahun 1997 itu bukan saja menampakan kemewahan hidup rakyatnya. Malah masyarakat asing juga iaitu imigran yang bekerja di sini digambarkan hidup secara senang dan berusaha agar kekal lama di Malaysia.

Kehebatan Malaysia menurut penulis buku ini banyak bergantung kepada kepemimpinan yang menerajuinya. Senarai pemimpin negara bermula daripada Perdana Menteri pertama sehinggalah yang terkini semuanya memiliki keupayaan dan kehebatan tersendiri, terutamanya dalam pengurusan sumber dan ekonomi negara. Berbanding dengan negara Asian yang lain Malaysia secara relatifnya lebih berjaya dalam pengurusan negara.

Buku ini adalah catatan berkaitan kejayaan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara negara Asian di akhir tahun 1997. Krisis tersebut dapat dikendalikan dengan baik oleh beliau tanpa bantuan daripada badan dunia seperti IMF sebagaimana yang dipraktikan di negara lain. Catatan kejayaan itu dibukukan dalam tersebut.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Tuesday, April 24, 2012

Seni Meniru

Kebanyakan pelajar di peringkat pengajian tinggi akan terpikat untuk meniru semasa peperiksaan. Walaupun di peringkat sekolah juga berlaku gejala ini. Namun meniru yang berseni lebih banyak berlaku di IPT.

Persoalannya kenapa meniru?

Meniru adalah satu aktiviti menyalin, mengambil, dan mengaplikasikan sesuatu yang dilihat, dibaca atau disembunyikan dalam satu keadaan ia tidak sepatutnya berbuat demikian seperti waktu peperiksaan dan ujian.

Di peringkat IPT seni meniru pastinya berbeza dengan meniru di sekolah. Bezanya pelajar IPT akan menggunakan teknik yang lebih kreatif. Kekreatifan ini boleh dikategorikan sebagai seni. Walaupin aktiviti tersebut adalah seni yang tidak bermoral.

Teknik meniru berkait rapat dengan jenis dan bentuk soalan yang disediakan. Soalan objektif kebiasaannya agak mudah untuk meniru berbanding soalan subjektif.

Teknik menjeling, menegakkan leher, menggelengkan kepala, batuk, isyarat tangan dan sebagainya adalah antara seni meniru yang popular.

Bagi soalan subjektif biasanya teknik kertas jatuh, sakit perut, jelingan mata, nota kecik dan terbaru alat elektronik seperti handphone.

Meniru sebenarnya lebih susah daripada berfikir sendiri tentang jawapannya. Buat sendiri, selesaikan secara matang soalan yang dikemukakan adalah lebih senang berbanding menggunakan seni meniru. Kepakaran meniru akan meninggalkan kesan secara psikologi kepada pelajar. Kesan ini akan berlarutan untuk tempoh yang lama jika jawapan yang ditiru itu tidak tepat atau salah.

Peniru dan pemberi tiru adalah dua individu yang sama tarafnya. Sama sama tidak mampu berdikari menjawab secara ilmiah dan kefahaman. Oleh itu kesan psikologi akan dirasai oleh kedua dua watak ini. Cuma pemberi tiru biasanya akan mengalami kesan yang leboh berbanding peniru.

Banyak kes meniru semasa peperiksaan dapat dikesan dengan mudah oleh pengawas peperiksaan. Kerana seni meniru bersifat global dan neutral. Ia satu aktiviti yang kebanyakan orang tahu dan mempunyai pengalaman berkaitannya. Oleh itu amat mudah untuk mengesan aktiviti ini. Mungkin juga teknik baru masih lagi tidak mampu dicipta oleh pencinta seni meniru.

Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Nasib baik kita terlepas. Namun aktiviti meniru ini kebnyakkannya bernasib tidak baik, dan ditangkap. Memang tidak berbaloi jika terperangkp dengan aktiviti ini.

Yakin pada diri. Pasti ada jalan penyelesaiannya tanpa perlu meniru.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, April 20, 2012

AUKU - Benarkah mengongkong kebebasan pelajar

Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tempoh pentadbiran Dr Mahathir sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mencadangkan satu akta bagi menghalang pelajar pengajian tinggi dari terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan di luar kampus, terutamanya parti politik.

Suasana politik ketika itu menjadikan pelajar universiti begitu ghairah untuk membela masyarakat sekeliling yang dihimpit pelbagai masalah ekonomi dan sosial.

Waktu itu pelajar universiti merupakan kumpulan yang dihormati serta diyakini oleh masyarakat sebagai anak muda yang bijak dan mampu menyelesaikan masalah mereka. Kesannya pelajar universiti lebih banyak terlibat dengan aktiviti persatuan di luar kampus yang tidak berkait secara langsung denhan pembelajaran mereka di universiti.

Atas alasan menghidarkan pelajar dari menghabiskan banyak masa menyelesaikan masalah masyarakat sehingga terganggu pembelajaran mereka di universiti, Dr Mahathir mencadangkan satu akta yang sesuai iaitu AUKU.

Akta ini telah dipinda pada tahun 1975 dan1995. Bagi disesuaikan dengan keadaan semasa.

Kini isu berkaitan AUKU bergema lagi sehingga mewujudkan polemik di kalangan pelajar universiti yang terlibat secara langsung dengan akta ini, serta orang awam yang melihat akta ini seperti mengongkong kebebasan pelajar.

Pelajar universiti adalah kelompok anak muda yang relatifnya berumur sekitar 20-an. Kumpulan ini merupakan harapan setiap masyarakat sebagai pemimpin, pentadbir dan pembela negara pada masa akan datang. Oleh itu kejayaan dan kegagalan negara pada masa depan terletak sepenuhnya kepada keupayaan masyarakat kini membentuk masyarakat akan datang.

Secara umumnya sistem pendidikan kita telah melahirkan kimpulan terpelajar yang terpisah dengan masyarakat. Bermula seawal sekolah menengah rendah pelajar cemerlang telah diasingkan dengan menempatkan mereka di asrama penuh. Dari sekolah berasrama penuh mereka terus ke universiti. Dalam situasi tersebut apabila mereka keluar dari universiti kita mengharapkan mereka faham dan menyelesaikan masalah dalam masyarakat. Berjayakah mereka?

AUKU perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Mungkin benar alasan pengenalannya dulu bagi memberi peluang kepada pelajar menumpukan kepada pelajaran di universiti daripada terlibat masalah di luar kampus. Namun pelaksanaan akta tersebut menyebabkan pelajar kita tidak peka situasi di luar kampus. Dengan senario sistem pendidikan sekolah kita tadi, agak sukar kita melahirkan pelajar yang bijak diluar kampus. Atau mampu menjadi pembela masalah dalam masyarakat.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, April 19, 2012

Basmi Kemiskinan cara DEB dan DPN

Dua dasar ekonomi jangka panjang yang diperkenalkan oleh pemerintah ini bermatlamat untuk membasmi kemiskinan. Pemerintah merasakan antara punca utama berlaku masalah dalam perpaduan kaum disebabkan oleh kemiskinan rakyatnya. Oleh itu apabila berlaku rusuhan kaum pada 13 mei 1969, pemerintah terus sahaja memperkenalkan DEB sebagai salah satu ubat mengatasi masalah perpaduan. Namun setelah tamat tempoh DEB dilaksanakan dan diteruskan dengan DPN, pemerintah masih lagi meletakkan matlamat basmi kemiskinan sebagai perkara yang penting. Dan dasar-dasar ekonomi yang lain juga diperkenalkan sebagai sambungan kepada dua dasar ini masih juga menjadikan kemiskinan sebagai masalah sehingga ke hari ini. Kenapa? Siapakah kumpulan miskin yang ingin dibela oleh DEB dan DPN? Adakah kumpulan sasar tersebut telah keluar daripada zon kemiskinan setelah tamat tempoh pelaksanaannya?

Inilah persoalannya. Bagaimanakah cara DEB dan DPN membela kumpulan termiskin.

Pemerintah mentafsirkan kumpulan utama yang miskin adalah masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar. Oleh itu DEB diperkenalkan dengan fokus membantu masyarakat luar bandar. Pelbagai agensi ditubuh dan dinaik taraf bagi memberi tumpuan yang lebih terhadap masyarakat luar bandar. Agensi seperti Felda, Felcra, Risda dan sebagainya digiatkan fungsinya agar mampu memberi bantuan kepada kumpulan misksin di luar bandar. Contoh agensi-agensi ini berfungsi agar masyarakat yang tidak mempunyai tanah dan rumah mampu memilikinya apabila mengikuti sekim yang diperkenalkan.

Manakala DPN pula memberi tumpuan yang lebih meluas termasuk masyarakat miskin di bandar. Peranan sektor swasta juga digalakkan terlibat sama dalam proses pembangunan negara. Pendidikan dan latihan menjadi teras utama pelaksanaan DPN khususnya dalam aspek membasmi kemiskinan.

Dua dasar ini secara terperincinya memberi fokus kepada aspek kemiskinan. Walaupun matlamat tersebut tidak sepenuhnya berjaya dilaksanakan namun peranannya sedikit sebanyak berjaya mengubah ekonomi masyarakat.

Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, masyarakat Malaysia sebenarnya bukan sepenuhnya bermasalah dari segi perpaduan kaum. Tetapi masalah tafsiran pemerintah terhadap kumpulan masyarakat, yang dilihat hanya pada bangsa sahaja tetapi tidak kepada kelas ekonomi masyarakatnya.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Thursday, April 12, 2012

Ketegasan diri dan Kepuasan hidup

Ramai orang tidak memberi perhatian yang baik terhadap aspek kepuasan diri. Bagi yang bersikap sambil lewa terhadap diri sendiri akan sentiasa hidup berdasarkan apa yang akan terjadi. Maknanya perjalanan hidup mereka ditentukan oleh masa dan keadaan. Bukan berdasarkan apa yang dirancang serta dicita-citakan.

Ketegasan diri adalah kebolehan seseorang menentukan kehendak dan permintaan diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain ataupun persekitaran.

Manakala kepuasan diri pula merujuk kepada keadaan seseorang yang gembira dengan apa yang diperolehinya. Walaupun perasaan ini berbentuk subjektif namun ukurannya dapat dinilai dari pencapaian yang dikecapinya.

Biasanya, kepuasan diri seseorang amat berkait dengan ketegasan diri mereka. Dan apabila kepuasan diri dikecapi makanya pencapaian seseorang akan meningkat.


Published with Blogger-droid v2.0.4