Tunku Abdul Rahman Putra telah mencadangkan penubuhan Malaysia dalam satu ucapan di Singapura pada 27 Mei 1961. Dalam ucapan tersebut, Tunku telah menjelaskan tentang faedah-faedah yang bakal diperoleh oleh negeri-negeri yang menganggotainya.
Cadangan penubuhan itu telah menimbulkan reaksi yang pelbagai dari banyak pihak terutamanya negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun negeri-negeri yang terlibat dalam cadangan penggabungan tersebut seperti Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak pada dasarnya menyambut baik cadangan tersebut.
Namun begitu, Brunei pada saat-saat akhir telah menarik diri sebelum perisytiharan Persekutuan Malaysia berlangsung. Singapura pula menimbulkan masalah selepas menganggotai Malaysia. Tidak kurang juga tentangan daripada Filipina.
Negara Filipina menimbulkan masalah dengan membuat tuntutan ke atas negeri Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Manakala Indonesia tidak menyokong penubuhan Malaysia kerana presidennya, Sukarno mempunyai agendanya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman Putra dan rakan-rakannya (para pemimpin tempatan yang lain)telah dapat mengatasi semua rintangan dan penubuhan Malaysia telah diisytiharkan pada 16 September 1963.
No comments:
Post a Comment